Kemenangan tercapai, tapi bukan tiket untuk berehat




Kemenangan tercapai, tapi bukan tiket untuk berehat
June 1, 2024

KUALA KEDAH: Hasil kerja keras disertai pengorbanan di semua peringkat, hasrat PAS Kawasan Kuala Kedah mencapai kemenangan 4-0 dalam pilihan raya akhirnya menjadi kenyataan dengan izin Allah.


Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mengungkap demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Kedah Kali Ke-50 di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, di sini hari ini.

Menurutnya, sumbangan daripada semua khususnya ahli PAS di peringkat PAS Cawangan sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga, masa, buah fikiran dan lain-lain menjadi perpaduan hingga mencapai kemenangan itu.

“Inilah yang dikatakan bersabar berusaha, tak jemu-jemu sehingga Allah SWT memberikan kemenangan kepada kita pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 yang lalu.

“Para petugas yang bekerja di kubu-kubu (Unit Daerah Mengundi) bekerja keras dengan penuh sabar hingga akhirnya Allah memberi kemenangan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Sungguhpun begitu peringatnya, kemenangan tersebut bukanlah tiket untuk berehat, sebaliknya gerak kerja perlu disusun lebih giat lagi terutama dalam mengemaskini Cawangan-cawangan.

“Tugasan mengemaskini cawangan serta memperbanyakkan PAS Cawangan bukan hanya harapan pemimpin di peringkat Kawasan, sebaliknya ia juga hasrat PAS Negeri Kedah sendiri, agar komitmen ahli di akar umbi diperkuatkan.

“Dalam masa yang sama ahli-ahli bawahan juga perlu didedahkan dengan info serta isu terkini agar dakyah-dakyah musuh terhadap PAS tidak berjaya meresap mempengaruhi pemikiran ahli-ahli kita di kampung-kampung,” tambahnya.

Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah mahukan semua amilin dan amilat dapat memberi contoh terbaik serta komitmen padu dan juga membina wehdatul-fikr (kesatuan fikiran) yang jitu.

“Fikiran dan pandangan perlulah berasaskan yang dikehendaki oleh parti Islam, selain menjadi benteng kukuh mempertahankan jemaah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

Ulasan