Kes bunuh Zayn Rayyan: Keterangan pengasuh, ahli keluarga selesai diambil
ZAYN RAYYAN
Oleh MASZUREEN HADZMAN
3 Jun 2024, 5:31 pm
PETALING JAYA : Polis mengesahkan sudah selesai mengambil keterangan bekas pengasuh kanak-kanak kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan pengasuh bersama dua lagi ahli keluarganya selesai diambil petang ini.
Kata beliau, tiada tangkapan terhadap mana-mana individu dilakukan dan mereka dirakam keterangan hanya bagi membantu siasatan.
“Ya, kita selesai ambil keterangan mereka dan tidak tahan mana-mana individu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, polis mula memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan selepas penahanan ibu bapa Zayn Rayyan pada Jumaat lalu.
Antara yang dipanggil hari ini adalah pengasuh dan dua ahli keluarganya.
Tindakan memanggil kesemua individu ini adalah bagi melengkapkan siasatan yang dilakukan selain polis tidak menolak kemungkinan untuk panggil individu lain selepas ini, bergantung kepada soal siasat.
Semalam, media melaporkan polis merampas telefon bimbit ibu dan bapa Zayn Rayyan bagi siasatan lanjut.
Rampasan yang dilakukan adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam siasatan.
Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan peguam yang mewakili kedua-dua pasangan suami isteri itu, Mahmud Abdul Jumaat berkata, pasangan berusia 28 tahun itu masih direman di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Kata beliau, kedua-dua mereka dilihat agak tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Penahanan pasangan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam pada pukul 10.25 pagi Jumaat lalu dan perintah reman diperoleh semalam.
Kedua-dua mereka direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ulasan
Catat Ulasan