Kesan kenaikan diesel jejaskan sektor pertanian negara
June 12, 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pada hari ini dilihat cuba memberi gambaran seolah-olah kenaikan 56 peratus harga diesel tidak memberi kesan kepada rakyat khususnya dalam konteks kenaikan harga barang.
Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin berkata, hakikatnya, belum pun 48 jam pengumuman dibuat, kita telah mula melihat syarikat-syarikat dan pembekal barangan dan perkhidmatan telah mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan mereka khususnya bagi sektor-sektor yang tidak menerima subsidi diesel.
“Kerajaan menceritakan seolah-olah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melalui ‘fleet card’ dapat menyelesaikan kenaikan kos logistik dan seterusnya mengawal harga barangan,” katanya.
Namun menurutnya, kerajaan ibarat buat-buat lupa kerana pada 1 Mac 2024, kerajaan telah memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus untuk sektor logistik.
“Pada waktu itu, saya dah bercakap berkali-kali bahawa pengenalan cukai SST enam peratus kepada sektor logistik akan menyebabkan kesan berganda dan bertingkat-tingkat dalam rantaian bekalan, seterusnya akan memberi kesan kepada harga barangan.
“Hakikatnya, kos bagi sektor logistik telah dan sedang meningkat, dan ini memberi kesan kepada harga barangan yang sampai kepada pengguna,” tegasnya.
Tambah Radzi menerusi hantaran video di laman Facebook miliknya, sektor yang paling terkesan dengan kenaikan harga diesel adalah sektor pertanian.
“Kerajaan bercerita seolah-olah dengan ada SKDS, BUDI Individu dan BUDI Agri Komoditi, maka kos logistik dalam sektor pertanian akan terkawal dan harga seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tidak akan meningkat.
“Jelas sebenarnya, pemimpin kerajaan tidak turun ke bawah untuk memahami sektor pertanian ini. Tahukah kerajaan berapa ramai mereka yang terlibat dalam pertanian menggunakan trak pikap diesel untuk pelbagai tujuan termasuklah penghantaran hasil pertanian?” soalnya.
Oleh yang demikian menurutnya, kenyataan kerajaan kononnya kenaikan mendadak harga diesel tidak akan memberi kesan kepada kos pengeluaran pertanian dan harga hasil pertanian adalah sembang kayangan yang tidak pernah bergelumang dengan tanah.
“Ini saya baru bercakap tentang sektor pertanian. Belum masuk lagi sektor-sektor lain seperti sektor pembinaan, sektor pelancongan domestik khususnya bas persiaran.
“Jadi kepada kerajaan, bukalah mata. Seharusnya sebelum menaikkan harga minyak, telah difikirkan pendekatan menyeluruh untuk mengurangkan beban kepada rakyat. Sedarlah rakyat tengah susah,” katanya. –HARAKAHDAILY 12/6/2024
Ulasan
Catat Ulasan