Penguasaan Bahasa Kebangsaan bukti semangat patriotik





Penguasaan Bahasa Kebangsaan bukti semangat patriotik
June 7, 2024


JOHOR BAHRU: Sikap mencintai Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan merupakan satu bukti bahawa seseorang rakyat Malaysia itu mencintai negaranya.

Jabatan Penerangan PAS Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, dalam masa yang sama penguasaan terhadap bahasa ibunda masing-masing tidak terhalang.

“Umum mengetahui dan maklum bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa pengantara utama di Malaysia memandangkan bangsa Melayu adalah bangsa majoriti dan merupakan penduduk asal di Malaysia di samping penduduk Bumiputera yang lain.

“Jika kita ke sesebuah negara di seluruh dunia dan berada di situ melebihi tiga bulan, lumrahnya kita akan mempelajari dan berjaya menguasai bahasa rasmi negara tersebut tanpa kita melupakan bahasa ibunda sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, situasi yang sama juga sewajarnya berlaku di dalam negara ini yang mana Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan.

“Maka seharusnyalah bagi setiap warganegara tanpa mengira bangsa perlulah mencintai Bahasa Kebangsaan tersebut,” ujar kenyataan itu.

Perkara ini dinyatakan Jabatan Penerangan PAS Negeri Johor dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya hari ini.

“Perasaan cinta kepada negara perlulah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi dengan mempelajari Bahasa Kebangsaan yang sekali gus meningkatkan patriotisme dan cintakan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2024

Ulasan