Perubahan iklim ancam kesihatan golongan berisiko



Perubahan iklim ancam kesihatan golongan berisiko
2023 direkod tahun paling panas dalam tempoh lebih 170 tahun.- ANADOLU
Oleh Wartawan Luar Negara
6 Jun 2024, 5:26 pm

GENEVA: Wanita hamil, bayi, kanak-kanak, remaja dan warga emas berisiko menghadapi komplikasi kesihatan yang serius akibat perubahan iklim pada waktu ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi artikel Journal of Global Health diterbitkan semalam mendokumenkan bukti saintifik mengenai bahaya perubahan iklim kepada kesihatan, seperti gelombang haba, pencemaran udara, bencana alam, kebakaran hutan dan banjir.

“Ini menunjukkan bahawa risiko kesihatan berkaitan iklim bagi kumpulan berkenaan dipandang remeh, terutama pada fasa kehamilan dan golongan tua yang berisiko implikasi serius dan mengancam nyawa,” kata WHO.

Merujuk cuaca panas ekstrem, WHO berkata, kelahiran pramatang yang menjadi punca utama kematian bayi, meningkat ketika gelombang haba manakala orang tua lebih cenderung mengalami serangan jantung atau gangguan pernafasan.

Setiap tambahan satu darjah Celsius dalam suhu minimum harian melebihi 23.9 darjah Celsius, terbukti meningkatkan risiko kematian bayi sebanyak 22.4 peratus.

Menurut artikel berkenaan, pencemaran udara berisiko meningkatkan tekanan darah tinggi bagi wanita hamil, kelahiran pramatang dan kesan negatif terhadap perkembangan otak serta paru-paru janin dalam kandungan.


Bahkan, bencana alam berkaitan iklim juga memberi kesan kesihatan mental dan fizikal selain mengurangkan akses bekalan air bersih serta meningkatkan penyakit vektor bawaan air dan kekurangan zat makanan.

“Kajian ini jelas menunjukkan bahawa perubahan iklim bukanlah ancaman kesihatan yang jarang berlaku, kerana ada populasi tertentu yang terkesan dengannya.

“Walaupun kesedaran mengenai perubahan iklim meningkat, tindakan melindungi golongan paling berisiko gagal diambil dan ini mesti diselesaikan segera,” kata Pengarah Kesihatan Ibu, Bayi, Kanak-Kanak dan Remaja WHO, Dr. Anshu Banerjee.

WHO berkata, 2023 adalah tahun paling panas dalam rekod lebih 170 tahun dengan pelbagai darurat iklim seperti kebakaran hutan, taufan, banjir dan gelombang haba melampau.- ANADOLU

Ulasan