PRU UK: Rishi Sunak kekal PM atau ada kejutan?

 
PRU UK: Rishi Sunak kekal PM atau ada kejutan?
PILIHAN raya United Kingdom kali ini merupakan pertarungan sengit antara Konservatif dan Buruh menerusi dua calon Perdana Menteri iaitu Rishi dan seteru politiknya, Keir Starmer yang kini merupakan Ketua Pembangkang.-AGENSI
Oleh Juani Munir Abu Bakar

4 Jun 2024, 8:00 am

KEPUTUSAN luar jangka Perdana Menteri Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum pada 4 Julai mengundang 1,001 persoalan terhadap niat sebenar Ketua Parti Konservatif UK itu berbuat demikian.

Walaupun Rishi dikatakan memilih jalan tersebut kononnya parti pimpinannya atau turut dikenali sebagai Tories mampu meraih kemenangan besar, namun ramai para penganalisis di samping kajian awal menjangkakan andaian itu adalah meleset.

Apatah lagi banyak mempersoalkan langkah berani Rishi itu sedangkan parti kepemimpinannya mencatatkan prestasi buruk ketika pilihan raya tempatan yang berlangsung baru-baru ini.

Tambahan pula, satu badan bebas YouGov menjangkakan Tories bakal mengalami kekalahan lebih teruk di tangan seteru utama mereka iaitu Parti Buruh di bawah pimpinan Keir Starmer.

Analisis tersebut meramalkan Tories bakal menempah kekalahan walaupun di kubu kuatnya termasuk melibatkan kawasan Parlimen dimenangi barisan Kabinetnya.

Malah, indikator lain mendorong faktor kejatuhan Tories ekoran ramai pemimpin utama parti itu termasuk bekas Perdana Menteri, Theresa May mengambil keputusan untuk mengundur diri sejak kebelakangan ini.


Selain Theresa, seorang Menteri Kabinet Britain iaitu Michael Gove yang boleh dikatakan orang kanan Tories memutuskan mengambil langkah sama untuk berundur sebagai ahli Parlimen sekali gus menambah tekanan kepada Rishi untuk mengekalkan penguasaan Parti Konservatif sejak 14 tahun lalu.

Namun begitu, pengunduran beberapa tokoh Parti Konservatif merupakan bakal punca kecil kekalahan Tories, sebaliknya ada beberapa faktor lain yang boleh dikatakan mendorong rakyat UK memilih Parti Buruh atau beberapa parti lain seperti Demokrat Liberal, Parti Kesatuan Demokratik dan Parti Hijau dalam pilihan raya itu nanti.

Antaranya ketidaktentuan ekonomi UK, dasar penghantaran pulang migran ke Rwanda dan beberapa isu antarabangsa seperti pendirian Rishi terhadap konflik Palestin dan Israel serta janji beliau mahu mengadakan program latihan khidmat negara sekiranya menang sekali gus menimbulkan perasaan tidak puas dalam kalangan belia negara itu.

Isu membelenggu itu menyebabkan rakyat UK tiada pilihan sama ada untuk terus mengekalkan prestasi kepimpinan Tories di bawah Rishi atau memilih calon parti lain khususnya Parti Hijau yang belum pernah diberikan peluang menerajui kerajaan.

Bagaimanapun, ramai melihat pilihan raya umum itu merupakan pertarungan sengit antara Konservatif dan Buruh menerusi dua calon Perdana Menteri iaitu Rishi dan seteru politiknya, Keir Starmer yang juga kini merupakan Ketua Pembangkang.

Namun, ramai masih kurang keyakinan terhadap kepimpinan Keir Starmer walaupun Parti Buruh kepimpinannya dikatakan mampu meraih kemenangan besar pada 4 Julai ini sekali gus bakal mengulangi rekod bekas Perdana Menteri daripada parti itu, Tony Blair 27 tahun lalu.

Kehadiran Keir Starmer dalam pentas politik masih baharu dan tidak pernah menjawat jawatan menteri ketika Buruh berkuasa pada era kepemimpinan Tony Blair, apatah lagi beliau sebelum ini hanyalah merupakan Pengarah Pendakwa Raya sekali gus menunjukkan beliau langsung tidak mempunyai rekod pencapaian dan pengalaman mentadbir kerajaan.

Seandainya Keir Starmer menang pada 4 Julai ini, maka ia menunjukkan rakyat hanya ingin menunjukkan mesej kepada Rishi dan Tories di atas prestasi buruk sepanjang menerajui kerajaan UK sehingga menyebabkan ekonomi negara itu meleset sepanjang 2023 di samping rakyat berdepan kenaikan inflasi.

Tambahan pula, data rasmi sebelum menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK menyusut 0.3 peratus pada suku keempat 2023 selepas menguncup 0.1 peratus dalam tiga bulan sebelumnya, yang selama ini berlaku di bawah tampuk kepemimpinan Rishi dan Tories.

Ada pandangan sinis mengatakan sama ada Tories atau Buruh, kedua-duanya dilihat sama sahaja khususnya dalam membabitkan konflik Palestin dan Israel apabila masing-masing dilihat bersikap berdiam diri terhadap genosid berskala besar kepada penduduk Gaza sedangkan jutaan rakyat negara itu saban hari lantang membantah terhadap kezaliman Zionis Israel.

Parti Buruh yang selama ini menerima sokongan padu dalam kalangan majoriti rakyat beragama Islam dikatakan kecewa terhadap kepimpinan Keir Starmer kerana bersikap ‘acuh tidak acuh’ terhadap kesengsaraan yang menimpa penduduk Palestin sehingga sanggup mengantung keahlian dua ahli Parlimennya kerana mengkritik Israel.

Keputusan bekas Ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn yang mahu bertanding sebagai calon Bebas seolah-olah menggambarkan akan ada blok ketiga selain Tories dan Buruh untuk membentuk kerajaan UK. Malah Jeremy yang dilihat Pro Palestin dilihat lebih dikenali kebanyakkan rakyat negara itu, sekali gus berpotensi menjadi Perdana Menteri jika blok ketiga membentuk pakatan untuk menumbangkan Tories dan Buruh. 

Maka pilihan raya kali ini mencetuskan pelbagai andaian terhadap masa depan politik UK sama ada keputusan pilihan raya umum akan menyebelahi Tories atau Buruh, atau Parlimen tergantung. Ia secara tidak langsung menunjukkan pebagai andaian antaranya tidak tolak kemungkinan parti-parti baharu seperti Parti Hijau dikatakan mampu mencipta kejutan dalam pilihan raya itu nanti.

Sama Tories atau Buruh, mahupun Demokrat Liberal atau parti-parti lain akan diberikan mandat menerajui UK akan segalanya terjawab dalam masa baki sebulan lagi sebelum ketua-ketua parti masing-masing mendapat perkenan Raja UK, Raja Charles untuk memasuki 10th Downing Street untuk tempoh lima tahun mendatang.-UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Ulasan