Satu dalam enam kanak-kanak alami masalah mental


Satu dalam enam kanak-kanak alami masalah mental
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
6 Jun 2024, 7:30 am

PETALING JAYA: Lebih satu juta kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun dianggarkan mengalami masalah kesihatan mental di negara ini.

Anggaran itu berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 baru-baru ini yang mendapati satu daripada enam kanak-kanak dalam usia itu mengalami masalah terbabit.

Selain itu, beban masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak kini meningkat dua kali ganda sejak 2019.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Bustam Kamri tidak menolak kemungkinan ketagihan gajet menjadi antara punca kanak-kanak kumpulan itu berhadapan dengan masalah kesihatan mental.

Katanya, sikap ibu bapa yang membekalkan gajet kepada kanak-kanak menyebabkan mereka berasa tertekan, beremosi dan tidak berkomunikasi.

“Menggunakan gajet (pada peringkat awal) itu sudah memberi tekanan kepada kanak-kanak, dan kurangnya komunikasi sudah berlaku.


“Apabila mereka menggunakan gajet secara tidak terkawal menyebabkan mereka terasing, jadi bagaimana mahu meluah perasaan sebab hanya berkomunikasi dengan dunia sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tinjauan itu mendapati, antara faktor masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah dengan rakan sebaya (46 peratus), tingkah laku (25 peratus), emosi (17 peratus) dan hiperaktif (8 peratus).

Mereka yang mempunyai masalah dengan rakan sebaya itu sukar bergaul dengan kanak-kanak lain; tiada kawan rapat; dibuli oleh kanak-kanak lain; tidak disukai oleh kanak-kanak lain dan lebih selesa bergaul dengan orang dewasa.

Kanak-kanak mengalami masalah tingkah laku pula dikesan selalu mengalami tantrum; selalu tidak mematuhi arahan; selalu berbohong atau menipu; selalu mempunyai tabiat mencuri dan selalu bergaduh dengan kanak-kanak lain.

Masalah emosi pula menyebabkan kanak-kanak itu selalu mengadu sakit kepala; cenderung berasa terlampau bimbang; selalu berasa tidak gembira; selalu berasa gementar dan cenderung berasa takut.

Kanak-kanak mempunyai masalah hiperaktif selalu berasa gelisah; bergerak dengan resah; perhatian mudah terganggu; kurang tumpuan dan tergesa-gesa menurut kata hati (impulsive).

Dalam isu sama, isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan susulan banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur dilaporkan kebelakangan ini.

Pada 21 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terbaharu, satu kes yang merunsingkan kita adalah kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak usia seawal lima tahun. Dia bukan didera, bukan dipaksa untuk melakukannya. Ini bukan sakit fizikal, tetapi (sakit) mental.

“Saya lihat hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama oleh masyarakat. Ini kerana kita tiada tempat khas untuk rawat, pulihkan mereka,” kata beliau

Mengulas lanjut, Dr. Bustam berkata, kanak-kanak kemudiannya akan menghadapi tekanan ketika mula belajar di peringkat tadika bagi memenuhi tuntutan ibu bapa.

Katanya, ini kerana ibu bapa meletakkan harapan terlalu tinggi supaya mereka dapat membaca dengan kadar segera di peringkat terbabit.

“Sedangkan pada peringkat awal, kanak-kanak berumur bawah empat tahun masih perlu memenuhi lima deria awal iaitu fizikal, bahasa, kognitif (akademik) dan sosial emosi.

“Guru mengajar, memberi tekanan dan apabila beri tugasan, maka tertekan lagi. Jadi itu sesuatu perkara tidak sihat berlaku dari awal.

“Oleh itu, kesedaran ibu bapa tentang keperluan anak kecil perlu bermula dari awal. Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah perlu berkomunikasi dengan lebih untuk mengimbangi lima deria itu.

“Kadangkala kena faham, bukan semua orang cerdik, jadi mana yang tidak berkemampuan tekanan mental itu akan tertinggal,” katanya.

Dr. Bustam berkata, masalah kesihatan mental yang membelenggu kanak-kanak dikhuatiri melahirkan generasi delinkuen atau protes.

“Pada mereka, tindakan betul sebab komunikasi kurang berikutan perkara betul atau salah tidak pernah ditegur sejak awal,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mastura Badzis berkata, ibu bapa perlu memahami perkembangan kanak-kanak mengikut umur dan ciri semula jadi mereka.

Katanya, perkara itu merupakan perkara paling asas bagi membantu anak-anak mereka menangani isu kesihatan mental.

Ulasan