Tidak bawa Sabah ke lembah politik kepura-puraan
Oleh ZULKIFLI JALIL dan MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
2 Jun 2024, 7:33 am
Mukadimah
SELEPAS empat ahli Parlimen dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah didalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninggalkan parti, lanskap politik Sabah berubah yang membuka jalan kepada pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tinggallah Ahli Parlimen Beluran merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE mengemudi parti seorang diri. Mahu keluar pun tidak boleh kerana undang-undang yang melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti, malah beliau satu-satunya calon bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya lalu di Sabah.
Tetapi, iman politiknya teguh. Tidak seperti wakil-wakil rakyat GRS itu kini selesa berada dalam kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dibantu jurugambar, SYAKIR RADIN baru-baru ini, Ronald percaya, Bersatu Sabah kini lebih kuat selepas dikhianati.
Bangkit semula
MINGGUAN: Boleh kongsi perkembangan terkini Bersatu Sabah mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang?
RONALD: Bersatu Sabah baru pulih selepas melalui proses yang mencabar kerana sebahagian besar dalam kalangan pemimpin parti termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meninggalkan parti. Tetapi, saya gembira kerana hanya selepas tujuh bulan ditinggalkan, Bersatu mampu membentuk dan mengaktifkan semula bahagian dan cawangannya di seluruh Sabah.
Diakui kami sebelum ini mempunyai 2,000 cawangan, tetapi, selepas menghidupkannya semula kita berjaya mengaktifkan lebih 600 cawangan dan proses ini terus berjalan.
Saya juga melihat maklum balas amat menggalakkan dalam kalangan anak muda untuk berjuang bersama-sama Bersatu. Saya percaya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bertindak sebagai kerajaan alternatif kepada kerajaan yang sedang memerintah.
Mengapa Yang Berhormat (YB) tidak mengikuti mereka keluar parti?
Saya mempunyai matlamat jelas dalam politik negara. Sebahagian besar mentaliti ahli politik Sabah lebih cenderung mengikuti kerajaan hari ini. Jika kerajaan Persekutuan adalah PN, mereka ikut PN. Jika ada perubahan, kerajaan negeri pun terikut-ikut dengan rentak sebegitu. Mereka ini tidak tahan, tidak sanggup berada di blok pembangkang atas sebab itu mereka meninggalkan Bersatu.
Namun, harus diingat, bukan semua rakyat di peringkat bawah bersetuju dengan pendekatan diambil ahli politik terutama golongan muda. Sebab itu, apabila kami ditinggalkan dan membina semula kekuatan, sebahagian besar yang sertai parti ialah generasi muda.
Buktinya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, saya satu-satunya calon PN berdepan calon parti lain di Beluran dan yang mengundi di saluran 3, 4 dan 5 kebanyakannya ialah golongan muda cenderung kepada PN. PN hanya bertanding di Beluran dan menang (atas logo PN).
Saya membayangkan jika bertanding 10 hingga 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mungkin kita boleh menang lebih banyak lagi kerusi. Tetapi, ada keadaan yang tidak dijangka berlaku ketika itu.
Apakah keadaan itu?
Bersatu mengizinkan pembentukan gabungan baharu iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini dan Hajiji menggunakan gabungan itu untuk membentuk dan membawa kesemua ADUN Bersatu keluar daripada tampuk pimpinan kerajaan negeri. Sebenarnya, keputusan ini yang memberi kesan terhadap keseluruhan lanskap politik di Sabah.
Mengapa PN bertanding satu kawasan Parlimen (Beluran) sahaja?
Situasi di sini agak kompleks kerana sebahagian besar kerusi dipertandingkan menggunakan logo GRS yang merupakan gabungan politik di bawah PN. Ia berbeza dengan parti-parti komponen PN di peringkat nasional di Semenanjung.
Entah bagaimana, kita (Bersatu) membenarkan pembentukan gabungan baharu di Sabah yang terdiri daripada GRS, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Bersatu adalah komponen PN pada masa sama parti komponen dalam GRS. Kemudian, pada PRU15 lalu, Bersatu di Sabah menggunakan logo GRS dan bukannya logo PN kerana kami beranggapan tidak kisahlah sama ada PN atau GRS, kesemuanya ialah PN.
Namun, apabila PN tidak dapat membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, maka, GRS memisahkan diri mereka dan menyerahkan kerusi kepada Pakatan Harapan (PH). Mereka mendakwa sudah keluar parti sebelum pilihan raya dan bukan lagi sebahagian daripada PN. Oleh itu, kami mencabarnya di mahkamah dan kini di peringkat rayuan.
KESILAPAN BERSATU?
Adakah dengan membenarkan pembentukan itu menjadi kesilapan oleh Bersatu dan PN?
Tidak juga. Kami membenarkan pembentukan baharu ini atas niat baik untuk mengukuhkan PN di Sabah ketika itu, selain desakan Hajiji bahawa perlu ditauliahkan pembentukan GRS sebagai satu gabungan baharu di bawah PN.
Maka, PN akan lebih kukuh di Sabah dengan satu identiti dan jenama baharu. Tetapi, rupa-rupanya, ia menjadi punca PN hilang kuasa, selepas gagal membentuk kerajaan. Mereka guna gabungan itu untuk pisahkan diri daripada Bersatu.
Takkanlah pimpinan tertinggi Bersatu di Semenanjung tidak menyedari perkara itu?
Bukan soal sedar atau tidak, saya katakan, kami izinkan pembentukan GRS atas niat yang baik untuk kukuhkan PN. Kami tidak tahu selok-belok politik Hajiji yang menjadikan kami tersisih daripada kerajaan negeri.
YB dan Bersatu menyesal?
Tidak sesekali. Dalam politik tiada istilah sebegini. Apa jua tindakan akan mengundang pelbagai reaksi dan kami sedang menguruskan masalahnya.
Bukankah lebih baik ikut kerajaan?
Saya lebih berfikir ke hadapan dan melihat Sabah perlu dinasionalkan. Tetapi, Kerajaan Perpaduan ini bukan kerajaan mutlak secara majoriti. Mereka dibentuk atas satu gabungan yang mudah selepas pilihan raya kerana tiada satu pun parti politik memperoleh majoriti.
Di dalam gabungan parti politik itu pula mempunyai fahaman, perjuangan dan matlamat berbeza. Gabungan ini tidak akan kekal, sebaliknya hanya atas dasar kelangsungan politik. Kami sudah nampak bibit perbalahan dalam kalangan mereka kerana walaupun parti politik ini bekerjasama di peringkat Persekutuan, tetapi di peringkat negeri mereka saling bercakaran.
Jika saya ikut kerajaan, takkanlah saya membawa rakyat Sabah di dalam satu gabungan yang tidak jelas dan kukuh? Sebab itu, saya berpendirian sebegini berbanding membawa Sabah ke dalam lembah politik kepura-puraan.
Apa maksud dinasionalkan?
Sekarang trend politik di Sabah mereka menggunakan pendekatan Sabah for Sabahan, terikut-ikut dengan gerakan Sarawak for Sarawakian sedangkan keadaan kedua-dua negeri ini berbeza. Sarawak tidak pernah ada UMNO, manakala UMNO di Sabah sudah lebih 30 tahun. Begitu juga parti-parti lain dari Semenanjung yang sudah bertapak di Sabah. Maknanya, pemikiran Sabah lebih terbuka.
Jika benar pendekatan parti berasaskan rakyat Sabah atau parti tempatan berjaya, sudah tentu PBS yang sudah ada sejak 1986 kekal hingga hari ini. Malangnya, PBS hanya bertahan menjadi kerajaan negeri selama sembilan tahun. Lihat Star, parti yang berasaskan Sabah cuma ada dua kerusi, tetapi selepas bergabung dengan PN, mereka miliki enam kerusi DUN.
Apa sumbangan YB dalam menasionalkan Sabah?
Saya pernah berada di dalam Kabinet Persekutuan dan menggunakan pendekatan menurunkan kuasa ketua pengarah perikanan meluluskan lesen perikanan. Maknanya, apabila menyandang jawatan sebagai menteri di dalam Persekutuan, masalah Sabah dapat diangkat dan diselesaikan dengan lebih berkesan jika pemimpin Sabah berada dalam konteks politik yang lebih besar di peringkat nasional.
Saya percaya, jika pemimpin Sabah berfikir seperti ini, banyak perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditangani. Ia lebih mudah mengubah Sabah jika di peringkat nasional. Okay lah, Hajiji atau pemimpin lain boleh laungkan MA63 di peringkat negeri, tetapi melaungkannya hanya demi kepentingan politik berbeza dengan mengangkat menyelesaikannya di peringkat nasional.
YB tidak sertai kerajaan bukan disebabkan akta anti lompat parti?
Tidak. Saya boleh sahaja mengambil tindakan sama seperti ahli Parlimen menyokong perdana menteri tetapi kononnya masih kekal ahli Bersatu. Namun, saya tidak mahu terikut-ikut kerana saya percaya, PN masih lagi gabungan yang terbaik dan kukuh.
Siapa seteru Bersatu di Sabah? GRS, Parti Warisan (Warisan) atau UMNO?
Politik ini dinamik. Soal siapa seteru kami, tiada jawapan khusus. Saya tanya anda, adakah PN akan hadkan parti-parti yang menjadi kerajaan pada PN di Sabah? Sebab itu, kami akan terus berdiri di atas panji PN.
Adakah YB mahu bertanding dalam PRN Sabah?
Belum tahu lagi, masih terlalu awal. Saya sudah enam penggal menjadi ahli Parlimen. Anak muda seperti andalah yang sepatutnya berani keluar dan bertanding pilihan raya. Hahaha.
KURANG TOKOH POLITIK
Bersatu Sabah dikatakan kurang tokoh politik kecuali YB sahaja. Respons?
Ya, saya lihat banyak kritikan seperti ini. Ada yang kata hanya saya sahaja, itu pun belum cukup besar. Sebenarnya, pemimpin-pemimpin lain pun bermula dengan tiada apa-apa juga. Walaupun Bersatu Sabah dikatakan seperti ini, tetapi ia normal dalam politik. Kami akan tawarkan Sabah apa yang ditawarkan oleh PN untuk Malaysia.
Contohnya?
Sudah pasti kami mahu kerajaan yang stabil, bebas, pergerakan, pertuturan tidak disekat seperti yang berlaku sekarang. Sabah akan mempunyai agenda nasional seperti pembangunan yang setara negeri-negeri lain di Semenanjung dan jurang perbezaan akan dikecilkan.
Apa perkara yang Sabah sepatutnya peroleh namun masih tidak ditunaikan?
Tentu sekali dari aspek infrastruktur, bekalan air bersih, lampu, dan jalan raya adalah masalah kritikal yang mesti ditangani kerajaan negeri. Tiga tahun setengah terakhir ini yang kerajaan negeri gagal tanganinya. Memang ini menjadi masalah untuk Kabinet Negeri terdahulu, tetapi, di bawah pemerintahan Hajiji ia nampaknya semakin teruk dan kritikal.
PUNGUTAN CUKAI 40 PERATUS
YB berani tawarkan pulangan hasil cukai 40 peratus jika menang pilihan raya?
Tidak semudah itu. Ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Tetapi, secara asasnya, 40 peratus hasil kutipan cukai itu mesti diberikan. Persoalannya, berapakah jumlahnya? Berapa banyak yang sudah dikutip Kerajaan Persekutuan?
Baru-baru ini, di Dewan Undangan Negeri (DUN), Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan yang permohonan Sabah untuk mendapatkan pungutan cukai Sabah oleh Kerajaan Persekutuan tidak diberi maklum balas walaupun telah diminta sebanyak lapan kali. Jadi, apa yang menjadi kebanggaan GRS di dalam Kerajaan Perpaduan? Tiada yang istimewa pun.
Tentu sahaja mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan sekarang, mereka menggunakan kedudukan demi kebaikan negeri. Tetapi, kita tidak nampak pun hasilnya, malah masalah-sebelum ini menjadi lebih kritikal. Saya tidak melihat yang Sabah mendapat tempat istimewa di dalam Kerajaan Perpaduan.
NUSANTARA
Apa kesan kepada Sabah susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara (Kalimantan Timur)?
Saya percaya ini akan memberi kesan positif kepada Sabah. Sebelum ini, ramai rakyat Indonesia berhijrah ke Sabah dan Sarawak mencari pekerjaan. Jika Kalimantan dibangunkan, tentu memberi kesan pertumbuhan ekonomi yang drastik di kawasan berdekatan. Namun, pembangunan di Sabah juga mesti berjalan serentak seiring pembangunan di Kalimantan.
Jadi, isu penyeludupan semakin meningkatlah?
Saya tidak menafikannya, sebab itu penguatkuasaan mesti dilaksanakan. Cuma, ini isu lain. Saya bercakap soal ekonomi bagaimana Kalimantan ini dapat menyumbang kepada pembangunan di Sabah.
‘WARLORD’
Di Sabah masih ada ‘warlord’?
Warlord berlaku di Semenanjung dan kita tidak boleh lari. Tetapi, tidak mengapa, kami mendidik dan melatih orang muda dalam politik masa kini yang bukan bermotifkan politik dendam. Semua orang boleh menjadi warlord. Namun, warlord ini semula jadi akan hilang dalam politik era baharu kerana sesiapa pun mempunyai akses kepada maklumat.- MINGGUAN MALAYSIA
Ulasan
Catat Ulasan