Tujuh juta risiko maut



Tujuh juta risiko maut
ORANNG ramai perlu segera ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan perubatan sekiranya bacaan tekanan darah melebihi 140/90.
Oleh FITRI NIZAM dan FATIN NORIZATI MAT ISA
13 Jun 2024, 8:00 am

PETALING JAYA: Hampir tujuh juta daripada kira-kira 23 juta orang dewasa di negara ini dikesan mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi yang berisiko membawa maut.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, jumlah itu merangkumi satu dalam tiga orang dewasa mengalami masalah kesihatan tersebut.

Tinjuan itu juga mendapa­ti sebanyak 17.3 peratus dalam kalangan individu sedar me­re­ka mempunyai masalah te­­kanan darah yang kronik hingga menyebabkan risiko komplikasi kesihatan tinggi ma­nakala 11.9 peratus tidak ta­hu mereka mengalami hiper­tensi.

Daripada jumlah tersebut, golongan berusia 18 hingga 39 tahun meliputi peratusan ter­tinggi tidak tahu mereka menghidap tekanan darah tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, terdapat pelbagai faktor menyum­bang kepada masalah tekanan darah tinggi dihadapi rakyat Malaysia antaranya pemaka­nan tidak sihat, keturunan, kurang tidur, stres keterlaluan dan sebagainya.

Menurutnya, berdasarkan kajiannya, pemakanan tidak sihat sering dikaitkan dengan golongan berpendapatan rendah membabitkan penghuni rumah kos rendah yang kerap mengambil makanan proses seperti mi segera, sosej dan banyak lagi.


“Petanda awal kepada tekanan darah tinggi ini adalah seseorang sering mengalami sakit kepala, tegang urat di bahagian tengkuk dan rasa melayang yang kerap. Ia boleh bertambah serius sehingga mengakibatkan jantung bengkak dan kerosakan buah pinggang jika tidak diatasi segera.

“Kebanyakan kes yang berlaku adalah disebabkan obesiti atau kolestrol dalam badan terlalu tinggi akibat pemakanan tidak sihat selain kuat merokok,” katanya ketika dihubungi.

Bagi mengelak daripada berterusan, Sharifa Ezat mencadangkan setiap rumah menyediakan kit pemeriksaan kesihatan merangkumi alat pemeriksaan tekanan darah dan gula khususnya terhadap golongan berisiko.

Selain itu, katanya, amalan hidup sihat seperti bersenam tiga kali seminggu dan pemakanan sihat juga amat perlu bagi mengatasi masalah tekanan darah tinggi daripada berterusan sehingga bertambah serius.

“Pada masa sama, pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan juga perlu dilakukan bagi mengetahui tahap kesihatan diri khususnya kepada golo­ngan berisiko tinggi dan mereka yang berusia 30 tahun ke atas,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah di Jabatan Perubatan dan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Azmawati Mohammed Nawi berkata, tekanan darah tinggi atau hipertensi sering terjadi akibat pengambilan makanan tidak sihat yang berlebihan se­perti garam dan bahan perasa.

Katanya, diet yang dipilih mestilah mengikut panduan piramid makanan dengan kuantiti garam yang sedikit dan menggantikan bahan pe­rasa dengan sayur-sayuran atau buah-buahan semula jadi dan bukan produk diproses.

“Pola pemakanan rakyat Malaysia telah mengalami banyak perubahan kerana makanan yang sepatutnya sihat sering kali ditambah dengan bahan-bahan tidak sihat.

“Sebagai contoh, buah pisang yang asalnya merupakan makanan sihat menjadi kurang sihat apabila digoreng kerana penambahan lemak dan garam yang berlebihan dan terdapat juga variasi seperti pisang goreng keju yang meningkatkan kalori serta meningkatkan risiko hipertensi,” jelasnya

Tambahnya, iklan secara fizikal dan dalam talian turut memberi pengaruh besar kepada tabiat pemakanan yang tidak sihat di mana setiap makanan perlu dimakan dalam kuantiti yang betul mengikut panduan piramid makanan untuk memastikan keseimba­ngan dan kesihatan optimum.

Mengulas lanjut, Azmawati berkata, pengaruh media sosial yang menampilkan trend makanan tidak sihat memberi kesan besar kepada golongan muda kerana mudah terdorong untuk mencuba berulang kali dalam kuantiti berlebihan.

“Orang ramai perlu berhati-hati sekiranya bacaan tekanan darah melebihi 140/90 dan segera ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga hipertensi perlu lebih berjaga-jaga dan memantau bacaan tekanan darah mereka dengan lebih kerap,” katanya. – UTUSAN

Ulasan