Ada perkara perlu diteliti oleh Speaker – Takiyuddin


Ada perkara perlu diteliti oleh Speaker – Takiyuddin
July 18, 2024

Share
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mempunyai kuasa di bawah standing orders (aturan tetap) 36(11) menolak dengan pertimbangan berkenaan apa-apa usul atau pindaan atau perbahasan yang akan dijalankan tujuannya melanggar peraturan dan dibenarkan memerintahkan untuk tidak dibahaskan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, ada perkara yang perlu diteliti oleh Speaker dan ada jalan keluar diberikan oleh undang-undang.

Beliau berkata, pertamanya Speaker perlu membuat ruling (aturan) untuk memastikan pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disebutkan itu boleh ditakrifkan atau didefinisikan sebagai salah satu daripada Perkara 36(9).

“Kalau kita lihat terdapat tujuh perenggan (dalam usul tersebut), satu sehingga tujuh, perenggan tiga, empat, lima adalah pertuduhan yang boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah Standing Order 36(9).

“Iaitu yang berbunyi dalam apa-apa perbahasan tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat siapa-siapa Ahli-ahli Parlimen atau siapa-siapa pegawai kerajaan selain daripada kelakuan pada menjalankan urusannya sebagai Ahli Parlimen atau pegawai kerajaan.

“Perkara pertama yang telah disentuh oleh Beluran. Sepatutnya Tan Sri Speaker memperbetulkan atau memastikan adakah orang yang disebutkan di dalam usul,” ujar beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional.

Takiyuddin mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan usul dibentang oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat, hari ini.

Kedua, menurutnya merujuk kepada perenggan enam daripada usul tersebut yang berbunyi bahawa Ahli Parlimen Machang telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan telah melanggar aturan tetap 36(10).

“Adakah dengan seorang Ahli Parlimen merujukkan satu dokumen walaupun disebut dalam ucapannya sebagai satu surat layang daripada orang dalam KWSP, adakah itu dianggap sebagai mengucapkan perkataan yang derhaka pada negeri?

“Adakah itu perkataan perkara, dokumen yang membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan? Adakah itu merupakan satu perkara yang menaikkan bersakit-sakit bermusuhan antara kaum? Akta Hasutan? tidak.

“Jadi tidak ada di dalam pertuduhan ini Tan Sri Speaker ianya mempunyai elemen atau intipati yang menjurus kepada kesalahan di bawah sama ada 36(9) ataupun 36(10).

“Saya dengan rendah diri supaya Tan Sri Speaker menggunakan kuasa 36(11) untuk menolak usul daripada kerajaan berdasarkan kepada undang-undang dan fakta yang telah saya sebutkan ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

Ulasan