EAIC siasat Jabatan Perikanan


EAIC siasat Jabatan Perikanan
ISMAIL BAKAR
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM, MASZUREEN HADZMAN dan MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
18 Julai 2024, 8:01 am

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa­an (EAIC) sedang menyiasat Ja­batan Perikanan (DOF) selepas terdapat peningkatan aduan oleh pihak-pihak berkaitan terhadap jabatan berkenaan.

Antara aduan adalah pe­nguat kuasa tidak memantau penceroboh yang memasuki zon bot nelayan atau mema­suki zon berbeza dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) antara punca berlaku ketirisan hasil laut.

Susulan itu, sebuah jawatan kuasa kajian ditubuhkan sejak April tahun lalu di bawah Kajian Berkaitan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia Dalam Melaksanakan Penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 (Akta 1985) Di Perairan Negara.

DOF adalah antara 20 agensi penguatkuasaan di bawah selia­an EAIC yang bertanggungjawab memantau dan menjalankan siasatan terhadap aduan orang ramai berhubung salah laku penguat kuasa serta agensi pe­nguatkuasaan di bawah Akta Su­ruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, ketika ini, pihaknya dalam peringkat untuk melihat cadangan dan penambahbaikan yang perlu diambil agensi tersebut bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut peraturan agar ketirisan hasil laut tidak lagi berulang.

Katanya, sejak 2011 hingga Julai lalu, aduan terhadap DOF menunjukkan peningkatan daripada keseluruhan aduan yang diterima melibatkan 20 agensi itu iaitu sebanyak 7,555 kes.


Jumlah itu meliputi 6,559 aduan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan seliaan dan 996 aduan terhadap lain-lain agensi yang bukan di bawah seliaan EAIC.

“Aduan terhadap DOF meningkat selepas kita banyak melaksanakan pertemuan dengan pihak nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan. EAIC juga boleh menyiasat dakwaan yang dibuat melalui media sosial termasuk laporan akhbar.

“Jadi, kita akan ambil keterangan daripada DOF, apa cadangan penambahbaikan supaya tidak berlaku lagi perkara ketirisan ini. Kalau berlaku lagi maknanya ada kesalahan.

“EAIC sedang menyiapkan kajian ini. Jadi, dengan laporan yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia ini juga selari dengan siasatan yang sudah dijalankan, tetapi kita akan sahkan dan dimasukkan dalam laporan kajian itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, pencerobohan nelayan asing mengakibatkan Malaysia menanggung kerugian sehingga RM823.88 juta selepas hasil laut negara dicuri oleh golongan terbabit sepanjang 2020 hingga 2023.

Lebih malang, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh dan Laporan Sea Around Us, hanya 50 peratus hasil laut negara mendarat di Malaysia manakala selebihnya dicuri oleh nelayan asing ke negara masing-masing.

Berdasarkan rekod DOF, Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, sebanyak RM225.22 juta kerugian dicatatkan berlaku pada tahun 2020, RM238.69 juta (2021), RM200.19 juta (2022) dan RM159.77 juta (2023).

Menurut Ismail, antara skop kajian yang dijalankan pihaknya itu ialah pencerobohan bot-bot nelayan negara asing di perairan negara; pencerobohan bot nelayan bagi kategori Zon B (kawasan 5 hingga 12 batu nautika dari pesisir pantai) ke Zon A (kawasan kurang dari 5 batu nautika dari pesisir pantai).

Ini termasuk Zon C2 (kawasan 30 batu nautika dari pesisir pantai sehingga sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)) / Zon C (kawasan 12 hingga 30 batu nautika dari pesisir pantai) ke Zon B (kawasan 5 hingga 12 batu nautika dari pesisir pantai).

Selain itu ialah kajian berhubung penggunaan peralatan menangkap hasil laut yang tidak mematuhi undang-undang; dan pencerobohan tapak pembenihan kerang semula jadi.

Kegiatan-kegiatan pencerobohan itu boleh memberikan implikasi kepada ketirisan hasil laut negara sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Ismail berkata, antara penemuan daripada siasatan dijalankan pihaknya itu ialah kurang pemantauan dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) daripada pasukan penguatkuasaan agensi itu antara punca berlaku ketirisan hasil laut.

Berdasarkan aduan yang diterima, katanya, penguat kuasa tidak memantau penceroboh yang memasuki zon bot nelayan atau memasuki zon berbeza.

Katanya, apabila nelayan mengadukan masalah itu kepada DOF, agensi itu dikatakan tidak mengambil apa-apa tindakan seolah-olah memejamkan mata terhadap jenayah berkenaan.

“Kita masih ada siasatan penuh terhadap DOF antaranya nelayan mendakwa berlaku pindah milik bot tanpa ikut SOP dan sebagainya yang mana orang jabatan itu sendiri terlibat dalam pemindahan milik, menukar zon, membuat ubah suai permohonan bot nelayan dan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata, EAIC akan memperhalusi lagi sebelum pihak jawatankuasa kajian mengeluarkan syor-syor menerusi laporan kajian itu kepada DOF untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Apabila gagal dalam pemantauan atau pengabaian tugas, maka tentunya akan berlaku ketirisan.

“Jika ada pihak mereka mempertikai punca ini, buktikan perkara itu. Berapa kali dalam sehari penguat kuasa turun laut? Jadi kena tengok balik SOP di laut. Berapa kali kapal nelayan datang dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Ulasan