Jangan kita lupakan Palestin

Jangan kita lupakan Palestin
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
12 Julai 2024, 7:11 am


Hari ini sudah masuk 275 hari Israel menyerang penduduk Islam terutama di Gaza dan Rafah. Setakat semalam, 38,295 rakyat Palestin dibunuh, 88,241 cedera dan 11,000 lagi masih hilang, Entah hidup, entah mati. Hanya Allah yang tahu. Semoga mereka dalam peliharaan Allah.

Selepas lebih sembilan bulan bermula 7 Oktober 2023, media-media arus perdana antarabangsa terutama yang dikuasai Barat semakin kurang menyiarkan berita tentang keganasan dan penderitaan rakyat Pa­lestin.

Yang masih terus melaporkan dan boleh diyakini faktanya adalah AlJazeera. Dan antara blog yang mengemas kini laporannya adalah The Palestine Chronicle.

Demikianlah ‘keadilan’ media-media Barat dalam melaporkan berita penindasan dan penganiayaan ke atas penduduk Gaza. Mereka dengan mudah menggunakan kuasa ‘news blackout’. Tujuannya, supaya dunia tidak dapat berita sebenar kezaliman tentera Zionis ke atas penduduk Gaza dan Rafah.

Tentera Israel ini tidak kenal perikemanusiaan apabila menyerang dan menembak anak-anak kecil, golongan wanita dan orang awam. Kematian berpuluh-puluh rakyat Palestin bagaikan tiada nilai berita lagi untuk media-media Barat.

Semalam, empat kanak-kanak terbunuh dalam serangan bom tentera Israel yang disasarkan ke sebuah khemah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.


Bayangkan, kesengsaraan yang terpaksa dilalui oleh saudara seagama kita di Gaza. Saban hari terpaksa menghadapi ‘neraka dunia’ yang dicipta oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Di sebalik serangan ke atas Gaza, pencerobohan Israel ke atas tanah-tanah milik rakyat Palestin tidak terhenti. AlJazeera melaporkan, dalam tahun 2024 ini, Israel telah merampas 23.7 kilometer persegi tanah rakyat Palestin di Tebing Barat. Jumlah itu adalah pendudukan haram yang lebih banyak dalam tempoh 20 tahun.

Terbaharu, Amerika Syarikat pula mahu menghantar kira-kira satu tan bom kepada Israel, sekutu kuat mereka untuk terus ‘membunuh’ rakyat Palestin yang kini terpaksa berpindah-randah mencari tempat selamat. Walaupun sebenarnya, tiada lagi walau seinci pun tanah yang selamat daripada serangan puak zionis di Gaza dan Rafah.

Sempadan Rafah di Mesir juga masih ditutup sekaligus menyukarkan penghantaran masuk bantuan kemanusiaan. Bayangkan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza. Sudahlah diserang, bekalan air dan makanan pula amat terhad. Yang sakit dan cedera tidak dapat dirawat yang akhirnya membawa kepada kematian. Hospital turut dibedil oleh tentera Zionis.

Buat masa ini, hanya laluan udara yang boleh diguna untuk menghantar bantuan makanan. Kita berterima kasih kepada Arab Saudi dan Jordan yang menghantar 30 tan bantuan makanan sedia dimakan untuk rakyat Palestin di Gaza melalui udara, Isnin lalu.

Bagaimanapun, keperitan dan kesengsaraan rakyat Palestin tidak akan berakhir selagi tiada tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa. Bagi kita umat Islam, teruskan berdoa untuk keselamatan mereka. Jangan kita lupakan nasib saudara seagama kita.

Mohd. Radzi Mohd Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan