Jangan sampai pembuli menjadi samseng siber



Jangan sampai pembuli menjadi samseng siber

WALAUPUN hanya menggunakan papan kekunci sebagai alat, ia boleh membunuh mangsa secara senyap dengan serangan-serangan di media sosial melalui hantaran-hantaran dan komen-komen dan boleh diibaratkan seperti racun yang menyerang tubuh sedikit demi sedikit. – UTUSAN
Oleh Roslan Rusly
18 Julai 2024, 8:15 am

DUNIA siber tanpa batasan membuka satu ruang besar bagi seseorang melontarkan pandangan, ketidakpuasan, rasa marah, sedih, gembira dan sebagainya tanpa mempedulikan perasaan. Ia juga boleh diibaratkan sebagai baling batu sembunyi tangan.

Terdapat kajian yang dilakukan pada 2018 menerusi Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan oleh Hootsuit dan We Are Social pada ketika itu menunjukkan bahawa jumlah pengguna Internet di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial. Laporan berkenaan turut mendedahkan jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding 2017, menjadikan Malaysia sebagai negara kesembilan dunia paling aktif di laman sosial pada 2018.

Pada 2020, akibat daripada penularan pandemik Covid-19 yang membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyarakat Malaysia, angka pengguna media sosial di negara ini meningkat.
Penggunaan media sosial ini impaknya adalah sangat besar. Ia sebesar dengan kebanjiran aplikasi media sosial yang mana setiap aplikasi media sosial tersebut mempunyai penghuninya atau netizen dan antara yang paling besar dan ramai penghuninya ialah Facebook, aplikasi X, Instagram dan kini di aplikasi Tik Tok yang mana fokus utamanya adalah ruangan bersosial.

Impak penggunaan media sosial adalah amat besar sekiranya ia tidak dibendung. Ia akan menjadi barah yang semakin lama semakin membesar dan akhirnya akan membunuh. Terdapat impak dari segi positif dan negatif. Positifnya, ia merapatkan jurang keterlibatan antara rakyat melalui dasar-dasar kerajaan, sebagai medan dakwah, perkongsian dan penyebaran maklumat dan sebagai alat serta medium pengajaran dan pembelajaran.

Impak negatifnya seperti masalah perkembangan fizikal dalam kalangan kanak-kanak jika tidak dikawal sejak kecil, keruntuhan akhlak dan akidah serta ancaman jenayah siber. Namun ia bergantung kepada penghuninya itu sendiri, pilihan di tangan masing-masing.

ADAB DI DUNIA MAYA

Kehidupan di dunia ini, setiap agama meminta umat mereka supaya berkelakuan baik sama ada sesama manusia, haiwan dan bahkan alam sekitar. Inikan pula di dunia maya. Apa yang dapat dilihat rata-rata komen-komen serta hantaran di media sosial oleh netizen semakin lama semakin tidak terkawal dan tiada timbang rasa atau belas kasihan.

Hentaman dan kecaman semakin menjadi-jadi tanpa memikirkan impak yang akan ditanggung oleh mereka yang terkesan. Jika hilang rasa tertib dan nilai yang baik di media sosial, ia akan melahirkan generasi-generasi pembuli siber. Di alam maya, mereka yang nakal ini akan digelar sebagai pembuli siber.

Buli siber atau gangguan siber adalah sejenis buli yang berlaku dalam talian. Ia dilakukan melalui teks, imej atau video untuk memalukan, mengugut, atau memaki hamun mangsa. Mangsa mungkin mendapati sukar untuk melarikan diri kerana pembuli siber ini gigih mengganggu di Internet.

Pembuli siber ini akan sentiasa hadir di mana-mana sahaja platform media sosial untuk menyerang pemangsa kerana sifat media sosial itu sendiri beroperasi 24 jam. Impak kepada mangsa pembuli siber ini sangat menyakitkan. Walaupun tidak cedera secara luaran, namun tekanan atau kesakitan dalam akan ditanggung terutama dari segi mental.

Jika kita tidak mengawal pembulian siber ini, mungkin akan ramai mereka yang akan digelar sebagai samseng siber. Walaupun hanya dengan menggunakan papan kekunci sebagai alat, ia boleh membunuh mangsa secara senyap dengan hanya serangan-serangan di media sosial melalui hantaran-hantaran dan komen-komen dan boleh diibaratkan seperti racun yang menyerang tubuh sedikit demi sedikit.

Kebelakangan ini perihal pembuli siber banyak dilaporkan di media dan ia semakin lama semakin menjadi-jadi. Kesan-kesan akibat daripada pembulian siber ini mereka akan menanggung penderitaan mental seperti tekanan dan kemurungan yang melampau sehingga ada yang membunuh diri.

USAHA YANG BAIK

Penulis menyambut baik usaha-usaha kerajaan ketika ini yang mana kini seperti yang dilaporkan di media bahawa kini Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mempertimbangkan cadangan pindaan kepada kanun keseksaan dengan mewujudkan peruntukan yang spesifik dan khas untuk kesalahan buli siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa cukup tidak puas hati dan kecewa terhadap kejadian-kejadian buli siber dan meminta supaya pihak Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang sangat tegas. Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Kementerian Komunikasi akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang lain yang berkaitan.

Semua pihak termasuk rakyat Malaysia perlu menyambut baik langkah-langkah yang kini sedang dilakukan oleh pihak kerajaan kerana masalah pembulian siber ini semakin parah.

Peranan ibu bapa juga amat penting bagi memantau ahli keluarga terutama anak-anak apabila mereka melayari media sosial.

Kita perlukan masyarakat dan generasi yang mempunyai nilai-nilai adab yang baik bukan sahaja di dunia yang nyata malah di dunia maya yang kini tidak bersempadan. Platform dan ruang yang diberikan perlu digunakan sebaiknya agar kita tidak melahirkan samseng siber yang menjadi pembuli di media sosial. Walaupun hanya hantaran di media sosial, namun berwaspadalah agar hantaran cacian, makian serta hemburan kata-kata kesat yang dibuat tidak menempah lubang neraka akhirnya nanti. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ulasan