Kehebatan kita ‘makan’ plastik sukar ditandingi
Oleh Ismail Daud
10 Julai 2024, 7:26 am
Sembilan bilion tan plastik dibuang setahun. Itu tajuk utama Utusan Malaysia semalam. Keadaan itu membawa Malaysia di tangga kelima tertinggi di dunia dalam isu pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin akibat pembuangan plastik.
Jumlah itu bermakna, secara purata setiap rakyat Malaysia membuang hampir 273 kilogram plastik setahun. Cuba bayangkan berapa banyak plastik diperlukan untuk mencapai berat 273 kilogram.
Plastik adalah satu ciptaan yang menakjubkan. Ringan, pelbagai guna, tahan lasak dan paling penting, murah. Semua rumah mesti ada barangan plastik. Kerana sifatnya itu, hampir semua barangan dibungkus dengan plastik.
Faktor itu telah mendorong kepada penggunaan bahan itu secara berleluasa. Walaupun kempen dilaksanakan sejak 10 tahun lalu tetapi kesannya tidak begitu ketara dan tidak meluas.
Memang kita boleh nampak semakin ramai yang membawa beg sendiri ketika membeli-belah tetapi hanya tertumpu di pasar-pasar raya. Itupun bukannya tidak disediakan beg plastik tetapi kena bayar. Dengan sekadar 20 sen, ramai yang tidak kisah membayarnya.
Di kedai-kedai biasa, penggunaan plastik seolah-olah tiada kawalan. Pengusaha restoran pula semakin ramai yang mengalas pinggan mereka dengan plastik supaya tidak perlu membasuh pinggan atas alasan memakan masa dan tenaga yang banyak dan kos yang tinggi.
Selain itu, timbunan plastik turut disumbangkan oleh penggunaan gelas, botol dan bekas plastik yang berleluasa terutama apabila budaya memesan makanan secara dalam talian menjadi trend ketika ini.
Justeru, apa yang perlu dilakukan? Kalau kita google, kita akan jumpa ada banyak cara untuk mengurangkan penggunaan plastik dan semuanya boleh kita laksanakan, malah sebahagiannnya sudah pun kita buat. Cuma, isunya ialah masih kurang kesedaran.
Tingkatkan kesedaran adalah langkah yang sangat penting. Sudah tiba masanya kempen tiada plastik diperhebatkan terutama dalam kalangan generasi muda. Setakat ini, kempen-kempen di sekolah sifatnya bermusim.
Selain itu, kerajaan perlu memperkenalkan undang-undang atau mengenakan levi bagi menyekatkan peningkatan penggunaan plastik terutama dalam kalangan industri yang dilihat tidak pernah mengambil berat isu alam sekitar.
Kitar semula juga perlu disegarkan semula. Kita bukan tiada industri kitar semula, malah industri ini pernah mengimport sisa plastik dari negara lain untuk diproses di sini sehingga Malaysia pernah dilabel sebagai pusat lambakan sisa plastik dunia.
Pelaksanaan kitar semula perlu menyeluruh dengan fokus di kawasan perumahan terutama di kawasan berpenduduk padat. Dalam masa yang sama, syarikat konsesi kutipan sampah perlu turut membantu dengan menetapkan hari untuk kutipan sisa boleh kitar semula.
Jawatankuasa penduduk atau masjid dan surau juga wajar menjuarai isu ini. Setiap rumah pasti ada bahan buangan plastik yang boleh dikitar semula. Jika semua penduduk menyumbang, kitar semula boleh menjadi sumber pendapatan yang konsisten kepada persatuan.
Julai adalah bulan bebas plastik. Marilah kita bersama-sama berusaha mengurangkan penggunaan bahan tersebut walaupun ‘kehebatan’ plastik sangat sukar ditandingi.
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan