Kematian Esha akibat buli siber, PAS rakam takziah



Kematian Esha akibat buli siber, PAS rakam takziah
July 18, 2024

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pempengaruh TikTok, Rajeswary Appahu yang juga dikenali Esha yang meninggal dunia susulan buli siber.


“Saya mohon izin untuk rakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan kita sendiri merasai keperitan kesedihan keluarga mangsa yang terpaksa menerima kehilangan anggota keluarga tersayang,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Beliau juga menyentuh keputusan mahkamah yang mengenakan denda hanya RM100 terhadap seorang pembuli siber sewajarnya membuka mata semua pihak.

“Isu ini juga diulas oleh YB Menteri sebelum ini berhubung denda RM100 untuk pesalah merupakan isu yang sepatutnya membuka mata kita semua.

Tambahnya, keputusan mahkamah harus dihormati, namun semua pihak harus mengakui bahawa memang terdapat kelemahan dalam undang-undang sedia ada.

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhli dalam sesi tersebut turut meminta penjelasan menteri tentang apakah jaminan sekiranya mangsa buli itu adalah daripada pihak pembangkang, adakah juga akan turut dibela.

“Sebagaimana kita lihat hari ini bagaimana ada pempengaruh-pempengaruh yang mempromosikan atau pun berada di pihak pembangkang, tetapi turut dibuli di dalam alam siber,” katanya.

Beliau juga turut meminta penjelasan menteri bagaimana untuk mengintegrasikan antara sekatan terhadap buli siber ini dengan kebebasan bersuara.

“Saya tontonkan bagaimana dalam Facebook Bernama dalam berita tentang YB Menteri sendiri pun ada komen yang ditutup, yang tidak boleh dikomen.

“Jadi bagaimana nak integrasikan di antara kebebasan bersuara dengan sekatan terhadap buli siber?” soalnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam jawapannya memberi jaminan bahawa tiada siapa sepatutnya menjadi mangsa buli walaupun dari blok pembangkang.

Menurutnya, dalam banyak kes siber buli itu kebanyakan pembuli-pembuli siber itu berselindung di sebalik akaun palsu.

Fadhli dalam soalan asalnya meminta Menteri Komunikasi menyatakan apakah inisiatif terkini Kerajaan dalam menggubal undang-undang khusus melibatkan kerjasama rentas Kementerian bagi menangani insiden buli siber yang sedang berleluasa hari ini. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

Ulasan