Kerajaan Persekutuan, negeri Selangor berdepan krisis perlembagaan
July 15, 2024
Share
Azmin Ali
TANJUNG KARANG: “Kerajaan Persekutuan dan kerajaan di peringkat negeri Selangor hari ini sedang berdepan bukan sahaja dengan krisis ekonomi yang begitu parah, tetapi mereka juga berdepan dengan satu lagi krisis iaitu krisis perlembagaan.”
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perlembagaan negara telah ‘dinodai’ oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor berikutan enam kerusi Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang beralih sokongan tidak dikosongkan.
“Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, sebagai Speaker DUN Selangor, sebagai Ahli-ahli Parlimen, sebagai ADUN, tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan perlembagaan, dan mempertahankan undang-undang negara serta undang-undang negeri.
“Ini antara prinsip utama yang harus kita pegang. Kita adalah penggubal undang-undang, dan kita juga adalah penjaga kepada undang-undang dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ceramah Krisis Perlembagaan: Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi, di sini, lewat malam tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar; dan ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.
Namun menurut beliau yang juga merupakan ADUN Hulu Kelang, apa yang berlaku sekarang ini, sebahagian daripada Ahli Parlimen dan ADUN Selangor, termasuk Speaker Dewan Rakyat dan Speaker DUN adalah ‘lawbreaker’ (pelanggar undang-undang).
“Mereka telah menodai (perlembagaan) dan telah mengambil keputusan yang bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara serta negeri pada hari ini.
“Inilah kerajaan Madani, kerajaan yang tidak bersandarkan pada negara hukum. Kerajaan yang tidak berpegang kepada perlembagaan dan undang-undang.
“Tetapi kerajaan Madani adalah kerajaan yang mengamalkan undang-undang rimba, yang kuat menindas yang lemah, yang majoriti menghina minoriti sehingga perlembagaan negara dan perlembagaan, undang-undang tubuh negeri Selangor dicabuli oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, Umno dan juga DAP,” katanya. – HARAKAHDAILY
Ulasan
Catat Ulasan