Pemimpin jangan sombong, kata rakyat ‘bahlol’
July 15, 2024
KUALA LUMPUR: Para pemimpin terutama yang berada dalam kerajaan tidak wajar bersikap sombong sehingga mencaci rakyat dengan perkataan-perkataan tidak wajar seperti ‘bahlol’ atau ‘bodoh’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, pemimpin harus menggunakan kata-kata yang baik dan memujuk jika ingin meraih sokongan rakyat.
“Janganlah berlagak sombong sangat kepada rakyat. Bila sombong dengan mengatakan kata-kata cacian yang tak sedap didengar. Hari ini rakyat boleh nampak dengan nyata.
“Ini zaman media sosial. Kalau dulu 10 ataupun 20 tahun dahulu mungkin rakyat boleh digula-gulakan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.
Kata beliau, segala apa yang diperkatakan oleh pemimpin pada hari ini akan cepat tersebar kepada rakyat menyebabkan perkara seperti itu tidak akan dapat ditutup atau dilindungi.
Beliau diminta mengulas ucapan seorang Menteri Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Harapan (PH) yang mengeluarkan kata-kata kesat sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini.
“Bagi saya sebagai peringatanlah kepada parti-parti politik dibelah sana terutama yang pro kerajaan, jangan jadikan rakyat macam ayam, boleh dibagi makan, sudah kenyang ia senyap.
“Tidak… Hari ini rakyat bukannya ayam, bukannya lembu kenyang, ataupun sebagainya. Tetapi rakyat adalah rakyat yang sedar dan juga akan membuat perubahan di dalam masa terdekat ataupun dalam PRU16 nanti,” ujarnya.
Bercakap mengenai kemenangan Perikatan Nasional di PRK DUN Sungai Bakap, Ustaz Fairuz berkata, ia adalah satu ‘signal’ daripada rakyat terhadap pemerintahan PH-BN.
“Apa yang berlaku ini adalah signal yang rakyat inginkan kepada perubahan. Apa yang berlaku hari ini di atas suasana sama ada politiknya; begitu juga ekonominya; begitu juga soal-soal yang bersangkut dengan rakyat.
“Rakyat sudah pun mengambil langkah ataupun tindakan dan diterjemahkan di dalam PRK di Sungai Bakap pada kali ini. Ini adalah signal daripada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, walaupun sudah diberi ‘signal’ oleh rakyat, namun pemimpin PH-BN tetap degil menafikan bahawa kekalahan mereka antaranya disebabkan oleh kemarahan rakyat kepada kenaikan kos sara hidup sebahagian besarnya akibat penyasaran subsidi diesel.
Katanya, keputusan di beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) yang mempunyai majoriti bukan-Melayu menyaksikan undi PH merosot teruk dan mereka mula memberi undi kepada Perikatan Nasional.
Perkara itu jelasnya dapat dilihat di UDM Ladang Sempah bermajoriti pengundi-pundi India dan UDM Puteri Gunung yang sebelum ini dimenangi PH dengan majoriti besar tetapi kini merosot teruk.
“Ini menunjukkan tidak lain dan tidak bukan bahawa bukan hanya orang Melayu, tetapi pengundi bukan-Melayu pun sudah pun memberi signal yang sama.
“Jadi jangan kata tidak ada kena-mengena dengan penyasaran harga diesel. Sebab golongan bukan-Melayu mereka berniaga, mereka mesti banyak menggunakan pengangkutan dan sebagainya,” kata beliau.
Jelasnya ia menunjukkan bahawa isu kenaikan harga akibat penyasaran subsidi diesel adalah sesuatu yang benar-benar wujud dan bukan hanya sentimen semata-mata. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan