Pengundi hilang tanpa sebab?
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
8 Julai 2024, 8:00 am
PERIKATAN Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail meraih majoriti 4,267 undi, lebih besar berbanding pada pilihan raya lalu.
Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu meraih 14,489 undi, manakala pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Joohari Ariffin memperoleh 10,222 undi dalam saingan satu lawan satu.
Apa yang dapat dilihat, daripada hampir 40,000 pengundi di pekan di selatan Pulau Pinang itu, hanya 62.9 peratus keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Malah Sabtu lalu, jumlah yang keluar mengundi berkurangan kira-kira 4,500 pengundi berbanding pilihan raya negeri (PRN) setahun lalu.
Berdasarkan jumlah pengundi yang kurang, analisis menunjukkan bahawa sokongan kepada PN hanya berkurangan sebanyak 944 tetapi PH menerima tamparan terbesar apabila sokongan terhadap kerajaan pemerintah itu mengurang daripada 47.3 peratus kepada 41.4 peratus.
PN pula meningkatkan majoriti mereka sebanyak 2,704 undi kepada 4,267 tetapi kerana jumlah pengundi yang kurang petunjuk kepada kekalahan PH ialah kehilangan lebih 3,600 undi.
Berdasarkan perkiraan, pengundi Cina merosot dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow merujuk kepada isu nasional sebagai punca kekalahan wakil Kerajaan Perpaduan itu.
Katanya, peratusan pengundi kedua-dua kaum itu merosot antara 10 hingga 13 peratus, berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
“Tiada kena mengena dengan calon. Ini isu negara, subsidi, inflasi yang dilihat, kos sara hidup, beban yang terpaksa dihadapi rakyat,” katanya.
Pemimpin Pas dengan pantas meraikan kemenangan itu dan mendakwa ia adalah protes orang Melayu terhadap kegagalan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya. Sekali lagi naratif Melayu. PN ketika tewas di PRN Kuala Kubu Bharu pada Mei lalu turut memberi alasan sama – undi rendah punca kekalahan.
Pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu, calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi. Pada PRK itu peratusan keluar mengundi sekitar 61 peratus. Di Sungai Bakap ia menghampiri 63 peratus. Jumlah pengundi antara Sungai Bakap dan Kuala Kubu Bharu adalah hampir sama. Jadi apakah punca penurunan jumlah pengundi di dua PRN?
Mungkin pengundi sudah bosan dengan politik. Ramai memikirkan undi di PRK tidak akan membawa perubahan kepada kerajaan negeri. Perubahan sebenar hanya akan berlaku dalam empat tahun.
Kepada pengundi Cina, isu ekonomi selalunya menjadi pendorong sama ada mereka keluar mengundi atau tidak. Kaum itu sejak dahulu mendahulukan faktor ekonomi sebelum hal berkaitan pendidikan dan budaya ketika mengundi. Mungkin peratus rendah di Sungai Bakap adalah suara mereka mengenai keadaan ekonomi. Kepada masyarakat Melayu, semangat ‘hijau’ ditambah dengan isu subsidi diesel dan kos sara hidup menjadi pembakar semangat untuk memenangkan calon Pas. Selepas ini PRK Nenggiri akan berlangsung diikuti mungkin satu di Selangor dan enam di kerusi Parlimen.
Jika berdasarkan trend peratusan 60 peratus yang keluar mengundi di dua PRK terakhir ini, bermakna 40 peratus pengundi tidak peduli atau sudah muak dengan politik. Isu harian lebih penting daripada menghabiskan kira-kira dua jam hanya untuk memangkah sekeping kertas. Demokrasi gagal bukan kerana pemimpin tetapi di peti undi.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan