PRK Nenggiri cermin masa depan orang Melayu



PRK Nenggiri cermin masa depan orang Melayu
July 20, 2024

GUA MUSANG: Tiupan wisel Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Perikatan Nasional (PN) bermula secara rasmi malam ini dengan Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia Pertahan Nenggiri di Kampung Limau Kasturi.

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan penduduk tempatan biarpun diadakan di kawasan jauh di pedalaman.

Hadir sama Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Bentara kanan Ustaz Ahmad Yakob, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor dan Setiausaha PAS negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Annuar berkata, PRK Nenggiri bukan sekadar pilihan raya kecil, sebaliknya ia sesuatu yang cukup besar bagi rakyat Gua Musang.

Kata beliau, PRK tersebut sebenarnya bukan sekadar pertembungan antara calon PN dan Umno sahaja, sebaliknya masa depan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Menurutnya juga, setakat ini sejarah PRK selepas Pilihan Raya Umum ke-15 memperlihatkan undi orang Melayu kepada PN semakin meningkat.

“PRK Kuala Terengganu, Kemaman dan terakhir di Sungai Bakap undi orang Melayu kepada PAS dan PN makin meningkat,” katanya pada ceramah tersebut bagi mempertahankan DUN Nenggiri.

Menurutnya lagi, Muafakat Nasional antara Umno dan PAS dipecahkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mahu mewujudkan jajaran baru dengan PKR dan DAP.

Sebelum itu, Ustaz Ahmad berkata, sebelum ini ada pihak menganggap Kerajaan PAS hanya bertahan hanya tiga bulan di Kelantan namun andaian itu ternyata meleset. – HARAKAHDAILY 20/7/2024

Ulasan