Rakyat Malaysia menanti sentuhan Sultan Ibrahim

 

Rakyat Malaysia menanti sentuhan Sultan Ibrahim
Oleh AZNAN BAKAR
21 Julai 2024, 9:01 am

SEMALAM rakyat Malaysia sekali lagi menyaksikan peristiwa penting dalam sejarah negara yang mengamalkan sistem pentadbiran raja berperlembagaan apabila Sultan Ibrahim ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Walaupun ada yang melihat peristiwa ini sebagai rutin atau tradisi yang berlaku setiap lima tahun, namun proses itu yang bermula sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah simbol kepada keunikan sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Dengan bersemayamnya Sultan Ibrahim di Istana Negara, baginda akan menjadi pengimbang kepada sistem demokrasi berparlimen negara yang pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, suasana politik negara tidak stabil hingga memaksa campur tangan pihak istana.
Sultan Ibrahim adalah tokoh kedua daripada kesultanan Johor yang dipilih untuk menerajui negara selepas ayahanda baginda memikul tanggungjawab itu pada penghujung 1980-an.

Sudah pasti dalam tempoh lima tahun perkhidmatan baginda sebagai ketua negara rakyat mengharapkan sentuhan baginda yang sering dilihat sebagai seorang Sultan yang dekat dengan orang awam dan sentiasa menekankan kesederhanaan dalam apa juga perbuatan dan tindakan demi menjaga keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Tentunya juga ikrar baginda untuk memerintah negara dengan seadilnya mengikut lunas undang-undang Perlembagaan Persekutuan memberi inspirasi kepada setiap penduduk negara ini yang sentiasa mahukan tata kelola pentadbiran dan telus dan bebas daripada salah guna kuasa.

Pada masa sama, baginda juga memberi jaminan untuk menjaga kestabilan terutama politik kerana ia adalah asas kepada keharmonian seperti mana yang telah ditegaskan dalam titah diraja ketika pembukaan sesi Dewan Rakyat, Februari lalu.


Setiap wakil rakyat yang disifatkan baginda sebagai budiman dan bijak telah diminta mempertimbangkan supaya segala ucapan, tingkah laku dan gerak langkah mereka adalah selari dengan keperluan rakyat.

Sebab itu, baginda bertitah agar kerajaan terus berusaha meringankan beban rakyat serta membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur. Semua itu amat bergantung kepada kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Perkara yang sama ditegaskan oleh baginda dalam titah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara semalam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan untuk terus meringankan beban hidup rakyat negara ini.

Baginda mahu kerajaan membangunkan Malaysia lebih maju, aman dan makmur dengan melaksanakan tanggungjawab secara jujur, ikhlas dan adil serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat Malaysia demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Berdasarkan kepada setiap titah ucapan baginda, jelas Sultan Ibrahim meletakkan rakyat keutamaan mengatasi segala-galanya.

Untuk memastikan rakyat hidup sejahtera, negara mesti ditadbir dengan baik dan bersih daripada perkara-perkara yang menjejaskan kepentingan mereka terutama yang berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pemimpin.

Ahli Penasihat Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Prof. Dr. Kassim Thukiman dalam temu bual dengan Bernama mengakui baginda selalu menegaskan tadbir urus negara yang baik dan memastikan negara bersih daripada rasuah, penyelewengan.

Kalau ditinjaukan dalam hantaran-hantaran di laman sosial, rakyat boleh lihat yang baginda sentiasa mengambil tahu mengenai hal ehwal kerajaan yang berkaitan pentadbiran dan perkembangan semasa negara.

Segala perancangan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan sentiasa diperhati supaya ia dilaksanakan mengikut jadual demi untuk kepentingan rakyat.

Selain itu, baginda juga dilihat akan memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian kaum dan agama di negara ini kerana sentiasa menekankan keperluan bersederhana dalam negara dengan masyarakat majmuk ini.

Sebab itu, sebaik sahaja bersemayam di Istana Negara, baginda segera berhubung dengan Perdana Menteri untuk menyatakan teguran dan pandangan berkaitan perkara yang kurang senang pada perhatian baginda.

Dan Seri Paduka dan Perdana Menteri kelihatan mempunyai mempunyai hubungan kerja yang rapat dan berkongsi kebimbangan yang sama, terutamanya mengenai keperluan untuk menangani rasuah dan meningkatkan ekonomi dan pelaburan.

Hubungan akrab dua institusi penting ini diharapkan akan dapat memperbaiki situasi semasa negara terutama dalam mengembalikan kekuatan ekonomi supaya rakyat tidak perlu bimbang akan masa hadapan mereka.

“Ini adalah perbezaan yang besar. Perdana menteri sebelum ini mahu segala-galanya melalui KL (Kuala Lumpur). Jelas, ini bermakna bahawa Agong dan Anwar mempunyai hubungan baik dan itu akan membantu kedua-dua mereka, bersama-sama, memperbaiki keadaan untuk negara,” kata pensyarah di jabatan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura, Serina Rahman kepada Al Jazeera.



Sultan Ibrahim dilihat sentiasa menitikberatkan tentang perjalanan setiap perancangan yang dibuat supaya rakyat akhirnya akan mendapat manfaat hasil sistem pentadbiran yang telus dan teliti.

Baginda sendiri tidak mahu institusi diraja itu dilihat oleh rakyat sebagai lambang semata-mata, sebaliknya secara terbuka mengatakan mahu memainkan peranan lebih besar untuk memastikan konsep negara bangsa kita ini dihormati pada peringkat antarabangsa.

Secara jelas Sultan Ibrahim menegaskan terdapat keperluan untuk menangani rasuah, untuk “menyemak dan mengimbangi” kerajaan dan untuk mengawal “kemampuan ahli politik yang mementingkan diri sendiri” hingga negara turut bergegar disebabkan perbalahan politik.

Tempoh lima tahun Sultan Ibrahim bersemayam di Istana Negara pasti akan membawa dimensi baharu kepada institusi Yang di-Pertuan Agong terutama yang membabitkan hubungan dengan rakyat dan hubungan dengan para pemimpin politik.

Dalam keadaan politik negara yang rencam sekarang di mana tidak ada satu pun parti yang mampu membentuk kerajaan secara sendirian sudah tentu akhirnya nasihat Yang di-Pertuan Agong akan menjadi penentu kepada hala tuju pentadbiran negara.

Seperti kata Dr. Kassim, baginda sentiasa memberi teguran kepada ahli politik, sama ada peringkat negeri atau Persekutuan bahawa ahli politik ini tidak perlu bermain politik sepanjang masa, kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan sebuah negara.

Ini kerana pada akhirnya yang paling penting adalah rakyat disantuni supaya mereka mempunyai kehidupan lebih bahagia.

Biar hebat mana sekalipun institusi kesultanan, pemimpin, ahli politik dan pentadbir, tanpa rakyat ia tidak akan bermakna. Rakyat adalah tonggak kepada apa juga sistem yang ada.
Justeru, rakyat yakin baginda sebagai Ketua Utama Negara akan terus memacu kemajuan negara untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat di negara ini.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Ulasan