Speaker DUN Melaka jumpa Jailani Jumaat
Datuk Ibrahim Durum
Oleh MEDIA MULIA
18 Julai 2024, 7:33 am
MELAKA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka belum menerima pemakluman rasmi berhubung status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Ini termasuk sama ada notis keahlian terhenti dikemukakan wakil UMNO atau notis pertukaran parti daripada Muhammad Jailani sendiri.
Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, keputusan sama ada kerusi berkenaan perlu dikosongkan atau tidak hanya boleh dibuat selepas beliau bertemu dengan Muhammad Jailani, Jumaat ini.
Menurut beliau, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri itu perlu mengemukakan bukti, jika benar beliau menyertai Pas sebelum Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.
“Setakat ini saya belum terima surat daripada mana-mana ADUN berkenaan kerusi DUN Rembia termasuk daripada Muhammad Jailani. Saya akan berjumpanya Jumaat ini. Ketika perjumpaan itu, Muhammad Jailani perlu mengemukakan bukti bahawa beliau telah menyertai Pas pada Jun 2023 seperti didakwa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, parti itu mencabar DUN Melaka mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Rembia, jika kemasukan Muhammad Jailani adalah bertentangan dengan undang-undang antilompat parti.
Pada 31 Julai 2023, DUN Melaka sebulat suara meluluskan RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan antilompat parti.
Terdapat lima fasal dipinda daripada RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.
Antara yang ditekankan pada fasal itu adalah sekiranya ADUN bertukar parti politik seperti yang disenaraikan oleh Perkara 13A, maka mereka akan kehilangan kelayakan sebagai ahli.
Oleh itu, kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan di bawah Fasal (3) Perkara baharu 13A jika setelah dipilih ke DUN sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu.
Perkara yang sama juga terpakai bagi calon Bebas yang setelah dipilih ke DUN, menyertai suatu parti politik. Perkataan ‘anggota suatu parti politik’ yang disebut dalam Perkara baharu 13A hendaklah termasuk ADUN yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota gabungan itu. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan