Sultan Ibrahim ikrar perintah dengan adil, pelihara Islam
SULTAN Ibrahim memimpin Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turun singgahsana selepas Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara, semalam.
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
21 Julai 2024, 8:00 am
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berikrar akan memerintah negara ini dengan seadilnya mengikut lunas undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Ibrahim turut berikrar akan memelihara pada setiap masa agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
“Saya Sultan Ibrahim bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya saya dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Saya akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Saya juga akan memelihara dengan sempurnanya setiap masa agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara,” ikrar Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Istana Negara, semalam.
Sultan Ibrahim yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Januari lalu.
Pelantikan baginda bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.
Raja-raja Melayu berangkat tiba di Istana Negara, bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim.
Berangkat tiba di Anjung Utama Istana Negara ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Berangkat sama, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Arif.
Turut berangkat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat pertabalan Sultan Ibrahim turut dihadiri Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Keberangkatan tiba semua kerabat diraja dan Yang Dipertua Negeri bermula jam 8.50 pagi itu disambut Menteri Komunikasi selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.
Baginda Raja-raja, Pemangku Sultan, Pemangku Raja dan Tengku Mahkota kemudian berangkat ke Dewan Seri Maharaja disertai empat Yang Dipertua Negeri bagi meneruskan Istiadat Pertabalan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara tiba bersama isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Anjung Utama Istana Negara pada pukul 8.45 pagi.
Turut hadir Menteri Kanan yang juga bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan