Atasi segera kecanduan digital generasi muda
PENGGUNAAN peranti digital yang berlebihan boleh mengubah struktur dan fungsi otak remaja yang masih berkembang.
Oleh Meja Rencana
8 Ogos 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
DALAM era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), apabila teknologi digital menjadi nadi kehidupan moden menjadikan generasi muda sedang berhadapan dengan cabaran kecanduan digital.
Fenomena ini, yang kini diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam serius oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bukan sekadar isu penggunaan berlebihan peranti elektronik, tetapi merupakan sindrom kompleks yang memberi impak mendalam terhadap perkembangan kognitif, emosi dan sosial generasi muda.
Menurut laporan 2023, purata masa skrin harian untuk remaja Malaysia mencecah sembilan jam sehari, meningkat sebanyak 30 peratus berbanding lima tahun lalu. Angka ini bukan sahaja membimbangkan dari segi produktiviti tetapi mencetuskan kebimbangan serius tentang kesihatan fizikal dan mental generasi muda.
Penggunaan peranti digital yang berlebihan juga boleh mengubah struktur dan fungsi otak remaja yang masih berkembang. Keadaan ini boleh menjejaskan kemahiran berfikir aras tinggi, kawalan diri dan keupayaan untuk berempati. Kenyataan ini disokong oleh kajian neurosains terkini yang menunjukkan perubahan dalam litar ganjaran otak akibat penggunaan media sosial dan permainan dalam talian yang berlebihan.
Lebih membimbangkan lagi, kecanduan digital dikaitkan dengan fenomena baharu yang digelar ‘kemabukan emosi digital’ iaitu keadaan individu mengalami turun naik emosi yang ekstrim akibat interaksi dalam talian. Individu ini kelihatan seolah-olah mabuk, bukan kerana alkohol, sebaliknya oleh penggunaan media digital yang berlebihan.
Dr. George Lynn, seorang pakar psikoterapi dari Seattle, menjelaskan bahawa 80 peratus daripada kes yang dirawatnya berpunca daripada penggunaan skrin yang tidak terkawal. Ini termasuk permainan video, menonton video dalam talian dan penggunaan media sosial yang berlebihan sehingga menjejaskan kawalan diri dan keupayaan untuk mengawal emosi.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan bagi membendung kecanduan digital daripada terus merebak. Antaranya, amalan ‘detoks digital’ selama 24 jam setiap minggu dapat membantu untuk menurunkan tahap tekanan individu sebanyak 30 peratus.
Kedua, individu perlulah mempraktikkan kesedaran semasa menggunakan media sosial. Mereka boleh melatih diri dengan menetapkan had masa untuk melayari media sosial dan patuh pada ketetapan tersebut. Seterusnya, penglibatan dalam aktiviti fizikal.
Di sebalik bahaya kecanduan digital, masih terdapat potensi besar dalam bidang komunikasi media sosial dan teknologi yang perlu diterokai. Cabarannya adalah untuk mengintegrasikan teknologi dalam kehidupan seharian secara lebih sihat dan bermakna, bukan mengelakkannya sepenuhnya.
Maka adalah penting untuk semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan literasi digital yang komprehensif. Hal ini termasuk kemahiran berfikir kritis, etika dalam talian dan keupayaan untuk menggunakan teknologi secara produktif.
Memandangkan landskap digital sentiasa berubah, pendidikan tentang penggunaan teknologi yang sihat perlu menjadi proses berterusan yang meliputi semua peringkat umur, bukan hanya tertumpu kepada remaja.
Perlu ingat matlamat kita bukanlah untuk menghapuskan teknologi dari kehidupan generasi muda, tetapi untuk membimbing mereka ke arah penggunaan yang seimbang, bertanggungjawab dan bermakna.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD SHAH
dan MOHD RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Ulasan
Catat Ulasan