Bagaikan ‘Abu Bakar’ digantikan dengan ‘Umar Al-Khattab’
August 7, 2024
Muhammad Nadir (kanan) dan Yahya Sinwar
KUALA LUMPUR: Keputusan Gerakan Pejuang Islam Palestin, Hamas memilih Yahya Sinwar menggantikan Ismail Haniyeh sebagai Ketua Biro Politik menggambarkan ‘Abu Bakar’ yang bersifat lemah lembut digantikan dengan ‘Umar Al-Khattab’ yang bengis dan kasar.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, meremang bulu roma apabila mendapat berita bahawa Yahya Sinwar dilantik menggantikan Ismail Haniyeh.
“Ketika ditanya ketika muncul dalam sebuah program televisyen tempatan dua hari lepas mengenai siapakah yang akan menggantikan Haniyeh, saya menyebutkan bahawa ia bergantung kepada strategi pembawaan Hamas selepas ini.
“Kalau Hamas mahu ‘ride the wave‘, perubahan politik antarabangsa dan sokongan yang semakin meningkat kepada Palestin, mereka akan melantik diplomat iaitu Khaled Mesha’al.
“Kalau mereka mahu memberikan kuasa dan fokus kepada Gaza, mereka akan melantik Khalil Al-Hayyh,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.
Beliau lebih cenderung kepada Khalil kerana pertamanya, Khalil anak kelahiran Gaza yang berdepan 1,001 ujian di Semenanjung Gaza bersama-sama penduduknya dan mereka mahukan orang dari dalam.
Kedua katanya, sentimen Khalil dekat kepada rakyat kerana mempunyai anak yang mati syahid dan anak-anak lain terkenal berada bersama barisan mujahidin.
Ketiga tambahnya, Khalil mengetuai negosiasi gencatan senjata saat ini.
“Rupa-rupanya Hamas mengambil tindakan lebih agresif dan genius. Kenapa Yahya calon paling layak saat ini dan apa mesej Hamas dengan pelantikan beliau?
“Pertamanya, HamasS sudah puas bertarik tali dan berdiplomasi, keputusan-keputusan mendatang akan lebih keras dan tegas, hitam atau putih.
“Keduanya, Yahya orang paling sesuai berdepan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Mereka sama-sama keras kepala dan susah bertolak-ansur.
“Kalau Haniyeh terkenal dengan slogan ‘kami tidak akan mengiktiraf Israel’, Sinwar pula dikenali terkenal dengan perkataan ‘khawah rughma anfih’ iaitu ‘lantak kau nak ke tak nak, aku akan buat juga’,” jelas beliau.
Ketiga katanya, perang di Gaza adalah perang pembebasan dan bukan perang ke arah langkah pembebasan, justeru catur digerakkan untuk sampai ke tahap ‘checkmate’ (mematikan langkah).
Mesej keempat tambahnya, kuasa dikembalikan kepada Gaza kerana selayaknya mereka menentukan masa depan gerakan pada masa ini.
“Yahya lebih dikenali sebagai mujahid dan bukan orang politik, justeru kuasa sayap bersenjata disatukan dengan kuasa politik.
“Yahya antara pengasas briged Al-Qassam dengan nama Al-Majd pada awalnya,” kongsi beliau.
Mesej kelima menurutnya, komunikasi antara pimpinan sayap bersenjata dan sayap politik ternyata tidak putus walaupun Yahya tidak pernah dilihat sejak secara umum sejak 7 Oktober 2023.
“Mesej yang terakhir ialah, berapa lama Yahya boleh bertahan di dalam terowong Hamas, mengetuai perang?
“Yahya telah dipenjara selama 23 tahun oleh Zionis Israel, 4 tahun daripadanya beliau duduk di dalam ‘solitary confinement’ seorang diri dan hanya bercakap dengan semut, bermakna setakat memerintah dari dalam terowong ibarat syurga untuk beliau,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan