DUN MAHKOTA MEMPUNYAI KEISTIMEWAANNYA TERSENDIRI



DUN MAHKOTA MEMPUNYAI KEISTIMEWAANNYA TERSENDIRI

Muqaddimah

1. Belum sempat penamaan calon di DUN Nenggiri berlangsung pada pagi tadi, negara dikejutkan dengan berita kematian ADUN Makota, almarhum Dato’ Sharifah Azizah Syed Zain telah kembali ke ramatullah tengahari semalam. Almarhum telah dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang pada malam 30 Julai dan dirawat di ICU akibat pendarahan dalaman.

2. Walaupun pada mulanya dilaporkan keadaan Dato’ Sharifah telah semakin stabil pada 31 Julai namun dikhabarkan keadaan semakin membimbangkan pada sebelah pagi  yang membawa kematian arwah pada tengahari semalam. Segalanya telah ditentukanNya, kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama golongan mereka yang beriman.

Pertama Kali ADUN Mahkota Meninggal Ketika Dalam Jawatan

3. Buat pertama kalinya, ADUN Mahkota meninggal dunia ketika sedang menjalankan khidmatnya. Jika sebelum ini, allahyarham Datuk Haji Gapar bin Gurrohu yang telah dipilih menjadi ADUN pada tahun 2004 sehingga 2008 telah meninggal dunia pada 11 September 2021 iaitu selepas tempoh perkhidmatan sebagai ADUN, tiada mana-mana ADUN Mahkota yang menghembuskan nafas terakhir semasa sedang berkhidmat.

4. DUN Mahkota telah diwujudkan pada tahun 2003 selepas berlakunya persempadanan semula Parlimen di seluruh negara yang mana negeri Johor telah menambah enam Parlimen dan 16 DUN berbanding dengan jumlah Parlimen/DUN sebelum persempadanan berlaku.

5. DUN Mahkota sebenarnya telah membuka ruang kepada pengundi Kluang untuk memilih seorang wakil rakyat daripada kalangan orang Melayu. Jika sebelum ini, UMNO tidak berjaya menghantar calon kerana calon Parlimen/DUN dikuasai oleh calon daripada MCA, maka apabila wujudnya DUN Mahkota telah memberikan ruang kepada UMNO untuk meletakkan calon.

Sejarah Parlimen Kluang

6. Parlimen Kluang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Johor Tengah ketika PRU kali Pertama pada tahun 1955 sebelum diubah kepada Parlimen Kluang Utara pada tahun 1959 telah dikuasai oleh Perikatan/BN. Pertembungan calon di antara Perikatan/BN dan DAP berterusan di Parlimen Kluang sehingga ke tahun 2022 (PRU15) yang menyaksikan DAP pernah memang empat kali iaitu pada tahun 1978, 2013, 2018 dan 2022.

7. Sejak wujudnya Parlimen Kluang, hanya lima kali sahaja calon Parlimen ditandingi oleh calon Melayu. Hj Anwar Hj Abdul Malik (Parti Negara) telah bertanding pada tahun 1955, Abu Bakar Kathom (PAS) pada tahun 1978, Abu Hassan Umat @ Ahmad (PAS) pada tahun 1986, Muhammad Hasbullah Md Najib (PAS/GS) pada tahun 2018 dan Dzulkarnain Alias (BERSATU/PN) pada tahun 2022.

8. Ini disebabkan Parlimen Kluang adalah majoritinya adalah penduduk daripada kalangan masyarakat Cina. Sebelum ini, di dalam Parlimen Kluang juga didominasi oleh calon daripada parti MCA/BN dan DAP kerana majoriti komposisi kaumnya adalah pengundi Cina.

Desakan Untuk Wujudkan Kerusi Untuk Orang Melayu di Kluang

9. Disebabkan kerusi Parlimen dan DUN di Kluang didominasi oleh calon daripada parti bukan Melayu maka desakan untuk mewujudkan satu DUN untuk ditandingi oleh calon Melayu khususnya daripada calon UMNO telah dibuat dan akhirnya DUN Mahkota wujud pada tahun 2003.

10. Berikut adalah keputusan Pilihan Raya Umum di DUN Mahkota sejak PRU11;



11. Kewujudan DUN Mahkota juga telah memberikan ruang kepada PAS untuk meletakkan calon. Walaupun ada usaha dari parti rakan dalam Barisan Alternatif (BA) untuk meletakkan juga calon namun akhirnya ianya diberikan kepada PAS. Sejak itu, PAS tidak pernah terlepas untuk meletakkan calon sejak DUN Mahkota diwujudkan kecuali pada PRU15 kerana memberikan ruang kepada calon BERSATU yang merupakan rakan politik di bawah Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan PAS Kluang tidak meletakkan mana-mana calon untuk kerusi di dalam Parlimen Kluang sejak tahun 2004.

Pilihan Raya Kecil Kedua di Johor

12. Dengan kematian ADUN Mahkota, maka tidak dapat dielakkan untuk diadakan sekali lagi PRK di negeri Johor. Ini adalah kerana PRN Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022 masih lagi belum melepasi tempoh 3 tahun yang membolehkan lagi PRK diadakan.

13. Johor baru sahaja setahun berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada tahun lalu selepas kematian kematian penyandangnya, almarhum Datuk Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai 2023. PRK tersebut telah diadakan pada 26 Ogos 2023.

Penutup

14. Kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota ini akan menyebabkan akan berlakunya PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kematian. Speaker DUN Johor akan memaklumkan kepada SPR pada hari esok (Ahad) bagi tindakan lanjut termasuk mengadakan PRK.

15. Dengan berlakunya PRK ini, Kluang akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia selepas ini. Apapun, tumpuan kita ketika ini adalah untuk memenangkan calon PN di DUN Nenggiri yang baharu sahaja selesai penamaan calon pada pagi tadi. Semangat kemenangan bergaya di PRK Sungai Bakap di bawa ke DUN Nenggiri, nanti bawalah semangat kemenangan di DUN Nenggiri untuk kami di sini, insya Allah.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
3 Ogos 2024

Ulasan