Harga diesel tak berubah: Rakyat dirompak?



Harga diesel tak berubah: Rakyat dirompak?
August 1, 2024


Chegubard menyatakan harga gas minyak ketika ini mencecah AS$99.32 yang mengikut kadar pertukaran RM4.61 RM4.61 bermakna berharga RM457.87 satu tong.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), CheGuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin menyifatkan kerajaan memerintah ketika ini sedang merompak rakyat melalui harga diesel.

Menurutnya, sejak harga diapungkan apabila subsidi dihapuskan pada 10 Jun 2024, harga diesel tidak pernah berubah sepanjang tujuh minggu berturut-turut pada paras RM3.35 satu liter.

“Biarpun Menteri Kewangan II hari itu kata harga akan disemak setiap minggu, biarpun harga diesel dunia ada penurunan dan nilai ringgit naik sedikit, walaupun masih teruk. Maka logiknya harga diesel wajib turun.

“Namun, kerajaan umum harga bahan api diesel tidak ada perubahan, (termasuk) minggu ini juga,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Menurutnya, harga gas minyak ketika ini adalah AS$99.32 yang mengikut kadar pertukaran RM4.61 bermakna berharga RM457.87 satu tong iaitu setiap tong mengandungi 159 liter.

Tambah beliau dengan harga RM2.88 satu liter iaitu meliputi RM0.954 sen bagi kos operasi dan RM0.225 sen untuk margin syarikat minyak serta RM0.10 sen kepada margin stesen minyak dan RM0.4 sen kadar alpha bagi diesel, maka harga sepatutnya adalah RM3.14 satu liter.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu menyatakan, ia adalah mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM) kerajaan, tetapi harga dijual ketika ini adalah harga pam RM3.35.

“Bermakna kerajaan sedang rompak rakyat 21 sen setiap liter atas diesel sebab harga pam diesel masih RM3.35 satu liter untuk beberapa minggu ini.

“Kerajaan gagal ini bukan saja gagal bantu rakyat, malah terus rompak rakyat terang-terangan bagi tanggung regim campuran,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

Ulasan