Hentikan budaya cabutan bertuah tarik kehadiran mesyuarat PIBG
KEHADIRAN ibu bapa ke mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sepatutnya didorong oleh kesedaran tentang kepentingan membantu dan menyokong proses pendidikan anak-anak. – GAMBAR HIASAN
Oleh Meja Rencana
17 Ogos 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
SESETENGAH sekolah terpaksa mengadakan cabutan bertuah sebagai tarikan dalam usaha untuk menarik kehadiran ibu bapa ke mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Walaupun pendekatan ini kelihatan berkesan untuk menarik perhatian ibu bapa tetapi mencerminkan budaya yang tidak sihat dan mengabaikan tujuan utama mesyuarat tersebut berkaitan isu pendidikan yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Wang yang digunakan untuk menyediakan hadiah cabutan bertuah sepatutnya dialokasikan untuk kelestarian pendidikan. Dana tersebut boleh digunakan untuk membeli buku rujukan, peralatan pendidikan atau memperbaiki kemudahan sekolah.
Dengan cara ini, setiap ringgit yang disumbangkan dapat dimanfaatkan langsung kepada pelajar dan meningkatkan kualiti pendidikan.
Selain itu, amalan cabutan bertuah boleh memberi tanggapan bahawa kehadiran ibu bapa di mesyuarat agung PIBG perlu diberi ganjaran material, sedangkan ia sepatutnya didorong oleh kesedaran tentang pentingnya mereka dalam membantu dan menyokong proses pendidikan anak-anak.
Sebaliknya, ibu bapa seharusnya menghulurkan bantuan kepada tabung PIBG secara sukarela dan ikhlas. Sumbangan sama ada dalam bentuk wang, tenaga atau idea penting untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan di sekolah.
Dengan mengambil bahagian secara aktif dan menyumbang kepada tabung PIBG, ibu bapa menunjukkan komitmen dan keprihatinan mereka terhadap pendidikan anak-anak.
PIBG juga perlu mencari pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan untuk menarik kehadiran ibu bapa tanpa bergantung kepada cabutan bertuah. Ini termasuk mengadakan program-program menarik seperti bengkel keibubapaan, sesi dialog bersama guru serta pentadbir sekolah atau aktiviti-aktiviti yang melibatkan anak-anak dan ibu bapa.
Program-program sebegini bukan sahaja akan menarik minat ibu bapa, tetapi juga akan memperkukuh hubungan antara sekolah dan komuniti.
Di samping itu, komunikasi yang baik antara sekolah dan ibu bapa adalah kunci kepada kehadiran yang tinggi di mesyuarat berkenaan. Sekolah perlu memastikan bahawa maklumat mengenai mesyuarat disampaikan dengan jelas dan tepat kepada semua ibu bapa.
Penggunaan media sosial, emel dan surat rasmi boleh membantu menyebarkan maklumat dengan lebih berkesan.
Dengan mengubah pendekatan ini, kita dapat mewujudkan suasana ibu bapa terlibat secara aktif dan ikhlas dalam pendidikan anak-anak. Ini akan memberikan manfaat yang lebih besar kepada murid-murid dan memastikan bahawa setiap sumbangan yang diberikan digunakan dengan bijak untuk kelestarian pendidikan anak-anak.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan
Ulasan
Catat Ulasan