Isu Muhyiddin: ADUN PN Pahang mahu siasatan adil
August 20, 2024
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung ucapan Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak mohon agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
“Kami ADUN Pahang dari PN menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam menjalankan tugas baginda sebagai ‘payung’ tempat kami semua bernaung,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka berkata, pihaknya telah meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka.
“Justeru, semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap Titah Tuanku,” ujarnya.
Terdahulu, Muhyiddin Yassin menegaskan ucapannya ketika kempen PRK DUN Nenggiri tidak berniat menghina Institusi Raja dan memaklumkan ucapan berkenaan adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.
Beliau dalam pada itu berjanji memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan yang dikeluarkan.
Susulan itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN, Akmal Zahin Zainal Zahir membuat laporan polis berhubung suatu video yang dimuat naik di platform sosial media YouTube oleh pemegang akaun Suara Keadilan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, tadi.
Akmal Zahin berkata, keratan video yang digunakan itu bukanlah ucapan penuh Muhyiddin Yassin tetapi adalah ucapan yang telah disunting dan diambil di luar konteks.
Sementara itu, Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berharap siasatan pihak polis dan apa sahaja yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa mampu membersihkan semula nama Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahmad Fayhsal berkata, berlakunya ketegangan antara institusi diraja dengan PN adalah berpunca daripada laman-laman media sosial yang telah menyunting secara salah.
“Saya rasa ini adalah satu benda yang tidak bertanggungjawab malah bagi saya bacul kerana mengambil sekerat-sekerat memotongnya dan melagakan dengan menyebarkan kepada rakyat.
“Sedangkan kita tahu Perikatan Nasional dan Bersatu adalah parti yang mempertahankan agama, bangsa dan negara. Mana mungkin kami akan meruntuhkan institusi Raja-raja Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan