'Kalau mak rindu Along, tengoklah pingat-pingat Along'
Suraya Roslan dan Mohd Saufi Hassan - Ogos 4, 2024 @ 12:39pm
KUALA LUMPUR: "Along (Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain), mak berdoa demi awak depan Kaabah, mak bawa sapu tangan dan gambar, moga Allah beri keadilan untuk kami."
Itu luahan ibu kepada arwah Zulfarhan, Hawa Osman, 61, menceritakan perjuangan mereka sekeluarga untuk mendapatkan keadilan buat anak sulungnya yang meninggal dunia akibat dibuli.
"Kali terakhir arwah pulang ke rumah, dia letakkan semua pingatnya di dalam bilik saya dan dia cakap, kalau mak rindu dengan Along, mak tengoklah pingat-pingat Along.
"Sekarang, saya banyak habiskan masa di dalam bilik, saya renung pingat arwah, saya rasa macam dia ada bersama, betul kata arwah, kalau saya rindu, saya tengok pingat dia," katanya.
Disyorkan Untuk Anda
Menceritakan lanjut doanya, Hawa berkata, dia membawa sapu tangan berwarna putih milik arwah anaknya itu dan sekeping gambar di depan Kaabah sambil berdoa kepada Allah supaya mendapat keadilan untuk anaknya itu.
Katanya, dia bersama suami pergi menunaikan umrah di Makkah sebelum keputusan Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.
"Sapu tangan arwah ini memang sentiasa berada dengan saya, ia menjadi penguat semangat dan sapu tangan bersama gambar arwah ini saya bawa di depan Kaabah untuk berdoa.
"Semasa berdoa, saya cakap 'Ya Allah Ya Tuhanku, Kau kembalikanlah Seksyen 302 (Kanun Keseksaan) buat pesalah yang membuat anak saya, membuli anak saya iaitu menekap dengan seterika dan kemaluannya, kalau boleh saya mahu hukuman setimpal untuk mereka.'
"Itu adalah lafaz doa saya ketika di depan Kaabah dan Alhamdulillah, Allah kabulkan doa serta permintaan saya, suami dan juga adik-adiknya," katanya.
Sepanjang tempoh tujuh tahun selepas tragedi yang meragut nyawa anaknya, Hawa tidak pernah meninggalkan solat hajat serta bacaan Yasin untuk keadilan buat anak sulungnya itu.
Sementara itu, bapa arwah, Zulkarnain Idros, 60, sanggup menangguhkan pembedahan rawatan jantungnya semata-mata mahu menghadiri setiap perbicaraan serta berjuang untuk keadilan buat arwah.
"Pada 2018, saya kena serangan jantung, doktor maklumkan saya perlu buat rawatan pintasan jantung sebab tidak boleh buat stent lagi, saya sudah buat rawatan sama sebanyak tiga kali.
"Kalau saya jalani rawatan pintasan jantung ini, saya perlu berehat selama enam bulan, jadi tidak dapat menghadiri perbicaraan dan memperjuangkan keadilan untuk arwah.
"Saya akan buat rawatan jantung ini selepas semuanya selesai dan arwah mendapat keadilan sewajarnya," katanya.
Selain itu, Hawa berkata, beliau dua kali keguguran sebelum berjaya mendapat cahaya mata diberi nama Farhan yang bermaksud kegembiraan.
"Dengan linangan air mata kerana anak tersayang yang dilahirkan sempurna pergi dalam keadaan menyayat hati dengan 90 kesan tekapan seterika wap panas. Hanya Allah SWT mengetahui 'kesakitan' yang dirasai apabila anak sulung pergi dalam keadaan terseksa.
"Saya lahirkan Along dalam keadaan sempurna tapi dia meninggal dalam keadaan menyayat hati.
"Sebelum saya dapat Zulfarhan, dua kali saya mengalami keguguran, disebabkan itu apabila saya disahkan mengandung, saya memang jaga betul-betul.
"Saya masih ingat tanggal 29 November 1996, maka lahirlah seorang putera diberi nama Farhan bermaksud kegembiraan, tapi saya letak nama depannya Zul kerana ayahnya nama Zulkarnain.
"Dan Osman pula nama ayah saya supaya mengikut jejak arwah ayah yang sungguh menyenangkan," katanya kepada Harian Metro.
Hawa berkata, pada mulanya mereka tidak pernah restu Along memilih melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
"Saya kalau boleh tak nak anak-anak masuk tentera, sebab pengalaman arwah abang yang susah dapat cuti.
"Jadi dia balik daripada diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan mengatakan mak, Along nak masuk UPNM," katanya.
Menurutnya, dia memberitahu anaknya itu dia tidak berapa restu, tetapi arwah tetap bertegas kerana ketika di Tingkatan Empat dan Lima gagal memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD).
"Tiga hari saya tidak bertegur dengan arwah, saya ke depan dia ke belakang dan sebaliknya, sehinggalah saya terpaksa mengalah kerana itu cita-citanya.
"Saya bawa arwah pergi buat pemeriksaan kesihatan dan mendaftar di UPNM, ketika saya tinggalkan anak di sana, dia dalam keadaan sihat dan gembira," katanya.
Ditanya adakah dia menyesal apabila memberi 'restu' itu, Hawa berkata, dia reda kerana itu takdir sudah tertulis buat anaknya.
"Tak (menyesal), bagi saya apa minat anak-anak, mereka putuskan sendiri, saya terima ini sebagai ketentuan Allah, sudah sampai ajal anak dan terpaksa reda," katanya.
Akui Hawa, kematian anaknya itu sangat dicemburui kerana dalam tempoh satu hingga dua minggu anaknya pergi, mereka sekeluarga kerap berbau wangi.
"Arwah anak suka berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis serta mengamalkan surah Al-Kahfi.
"Saya diberitahu, dalam tempoh dia diseksa itu pun, arwah berpuasa sebab itu dia tidak makan dan minum sehingga menyebabkan kekurangan air dalam badan.
"Ketika saya, suami dan abang mahu membuat laporan polis, semua orang dapat menghidu bau wangi, jadi betullah Zulfarhan Osman ni memberi kegembiraan, sehinggakan dia meninggal pun arwah menggembirakan saya dalam perjalanan menuntut keadilan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan