‘Kalau nak tunjuk ‘bersih’, janganlah siasat diri sendiri’

‘Kalau nak tunjuk ‘bersih’, janganlah siasat diri sendiri’

TAN Sri Ismail Bakar.
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MASZUREEN HADZMAN
29 Julai 2024, 8:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


MUKADIMAH

RAMAI yang tahu tentang kewujudan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila memperkatakan soal penguatkuasaan integriti dan isu rasuah di negara ini.

Namun, masih ramai yang tidak tahu fungsi dan peranan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) walaupun ditubuhkan 13 tahun lalu sejak 2011.

Usaha mereformasikan semula EAIC menjadi tekad pengerusinya, TAN SRI DR. ISMAIL BAKAR sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Februari lalu supaya suruhanjaya itu lebih menyerlahkan ‘taringnya’ dalam menangani isu integriti.

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu berkongsi pandangan bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan MASZUREEN HADZMAN serta jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR dalam mengawasi 20 agensi penguatkuasaan di samping cadangan untuk menambah 100 lagi agensi di bawah seliaannya termasuk syarikat yang menerima konsesi daripada kerajaan.

JUMLAH ADUAN DITERIMA EAIC


Sejak penubuhan 2011 sampai Julai 2024, jumlah aduan ialah sebanyak 7,555.

ADVERTISING


Sebanyak 6,559 aduan dibuat terhadap agensi penguatkuasaan seliaan EAIC. Yang lain iaitu 996 adalah agensi yang bukan dibawah seliaan kita.

Paling tinggi daripada jumlah itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tapi PDRM sudah keluar daripada EAIC sejak 2023.

Sekarang, antara yang tertinggi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Perikanan (DOF).

Antara salah laku Jabatan Perikanan ialah tidak pantau nelayan di kawasan zon. Tiada tindakan diambil oleh DOF. Kita ada siasat dan memang ada siasatan yang tertangguh.

APA TINDAKAN EAIC?

Kita telah mencapai matlamat apabila siasatan telah dibuat dan berikan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT). Sebab kita tidak boleh pergi melebihi daripada itu. EAIC tidak ada akta yang membolehkan kita terus pergi ke agensi berkenaan.
Kalau ada akta sedemikian, kita akan pergi. Jadi apabila kita sudah selesai membuat satu cadangan, maka disitulah tamatnya (tugas) kita.

Tapi ia tidak bermakna akan selesai sepenuhnya sebab apabila sampai (laporan dan hasil siasatan) kepada satu-satu agensi, maka perlu ‘disambut’. Apabila tidak ‘disambut’ ia tersangkut. Jadi akta perlu diubah.
Masalahnya pada masa sekarang, Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia sedang kita rangka. Ia masih di peringkat libat urus antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Saya tidak tahu bila akan siap. Tapi sementara menunggu (Ombudsman Malaysia), tugas perlu dilaksanakan seperti biasa dengan akta yang ada. Sebab itu kalau awak kata kita gagal, jawapannya ‘ya’ kita gagal.
Tetapi harus diingat, di peringkat EAIC, kita terikat dengan akta sedia ada. Sebenarnya, polisi kerajaan pada masa ini, sudah cukup dengan penubuhan EAIC di bawah Akta 700. Kita siasat dan kita syor. Maknanya ‘taring’ kita di peringkat siasatan sahaja.

EAIC TIDAK SIASAT KES RASUAH

Apabila ada melibatkan kes rasuah, ia sepenuhnya di bawah bidang kuasa SPRM dan mereka akan menemukan tatacara yang tidak terurus.
SPRM juga boleh memberi nasihat kepada sesebuah agensi yang disiasat melalui unit integriti agensi. Contohnya, jika ada ruang atau peluang (rasuah) dalam SOP. SPRM akan beritahu untuk dibuat penambahbaikan.

PERANAN UNIT INTEGRITI DALAM AGENSI?

Sebenarnya, unit integriti ini menjadi penghubung antara EAIC dan juga SPRM untuk pastikan bahawa program pengukuhan integriti jabatan berkenaan telah dilaksanakan.

Biasanya kita dapat maklum balas dalam mesyuarat koordinasi dengan agensi penguatkuasaan atau kawal selia.

Contoh, mereka akan melaporkan kepada pusat operasi tersebut program yang telah dibuat dan kita bantu juga berdasarkan kes-kes yang dalam siasatan SPRM.



Kita akan melihat sejauh mana program tersebut mencukupi untuk membendung salah guna kuasa di jabatan berkenaan. Ini kerana adakalanya program tidak sesuai dengan ketirisan kes rasuah atau integriti jabatan berkenaan EAIC akan bantu dari segi jurang.

Misalnya awak buat program macam ini, tapi ia tidak sesuai dengan kes tersebut. Jadi kita akan nasihatkan agensi itu agar menambah program lain dan pastikan ia dapat diatasi.

Bagaimanapun sekiranya kita nak ambil tindakan terhadap unit berkenaan, itu bukanlah tugas kita. Sebaliknya mereka perlu laksanakan program pengukuhan integriti.

KETUA PENGARAH, JABATAN TIDAK TERLEPAS TINDAKAN

Kita bukan mahu menjadi popular dengan menghukum orang atau bukan mahu susahkan hidup orang.

Kalau ikut peraturan semua jadi senang. Lagipun sesuatu dapatan (siasatan) bukan dipetik sesuka hati dan telah melalui beberapa proses kawalan, siasatan sehinggalah di bawa ke mesyuarat majlis. Tambahan pula, dapatan ini hasil bekas-bekas individu berlatar belakangkan undang-undang.

Segala merit dalam satu-satu hukuman tersebut telah dibincangkan sama ada patuh atau tidak.

Apabila kesalahan integriti itu kita bawa ke PBT agensi berkenaan dan tidak patuhi, maknanya kita boleh katakan bahawa mereka tidak berminat dengan usaha mengatasi masalah integriti.

Jadi, saya rasa agak kecewa selepas menggunakan segala sumber dan masa pegawai penyiasat (IO) yang buat kerja. Bukannya mudah jadi IO. Apabila proses-proses ini sudah berjalan dan bawa ke PBT, dia pula tidak serius, maka kita kecewa.
Justeru, apa yang kita fikirkan selepas ini, EAIC akan ‘pergi’ kepada pegawai, ketua jabatan dan ketua pengarah. Kalau mereka gagal untuk menyelia dua benda iaitu sistem penyampaian dan tidak pantau pegawai mereka, maka tindakan boleh diambil terhadap ketua jabatan dan juga ketua pengarah.

Kita sendiri akan tulis surat kepada pihak berwajib sama ada kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) atau sesiapa yang berkenaan dengan mengatakan bahawa hasil siasatan kita ialah kegagalan ketua jabatan untuk memantau serta menyelia kes berkenaan.

Dan itu boleh diambil tindakan kerana ada surat daripada KPPA lengkap iaitu JPA 100-1/4/1 (20). Arahan baharu yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

TAHAN PANGKAT, GAJI DAN PELUANG BELAJAR

Pegawai sebegini boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja. Buat apa mahu simpan pegawai begini. Jangan buat sesuatu benda itu retorik.

Kalau kita tidak mahu jadi budaya, kita kena tegas. Kalau dalam satu guni beras ada bubuk, awak nak buang bubuk atau beras? Mestilah buang bubuk untuk selamatkan beras.

Apabila kita cuba tunjukkan simpati maknanya kita halalkan isu integriti. Maka sebab itu kita sudah hantar surat kepada SPRM; Ketua Audit Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya ditahan daripada apa-apa kenaikan pangkat, gaji dan peluang untuk belajar.

SIAPA PANTAU SPRM?

Kita tunggu Ombudsman Malaysia. Akta 700 ini yang mengekang dan dalam masa yang sama SPRM dikecualikan. Begitu juga dengan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan dikeluarkan PDRM daripada agensi seliaan EAIC dengan mengatakan proses siasatan dalaman mereka sudah mencukupi.

Pada saya, tidak boleh siasat satu-satu kesalahan yang berlaku dalam agensi dan jabatan atau agensi itu sendiri. Orang tidak akan percaya dan itu sendiri akan menggambarkan bahawa sesebuah agensi tidak menghormati prinsip integriti.
Contohnya mudah. Kenapa kita ada audit dalaman dan audit luar? Mengapa ada jawatankuasa bebas untuk menyiasat? Sebab kita ada perasaan ragu-ragu antara satu sama lain.



Sesiapa sahaja boleh mempersoalkan keabsahan satu-satu siasatan tersebut. Misalnya, SPRM sendiri. Kalau dalam aspek integriti, sepatutnya SPRM kena tunjukkan contoh terbaik atau dalam erti kata lain sesiapa sahaja boleh menyiasat.

Jadi menjawab persoalan itu, bagi saya ia adalah satu langkah terbelakang.

KUASA OMBUDSMAN MALAYSIA?

Kalau Ombudsman Malaysia wujud, maka tiadalah EAIC lagi. Maknanya akan ada agensi yang akan lihat isu integriti dan salah guna kuasa. Tiada lagi EAIC, tiada siasatan dalaman, tiada siasatan khas polis dan sebagainya, Segalanya di bawah Ombudsman Malaysia.

Tetapi sekiranya Ombudsman Malaysia ini tidak dibuat, kita terpaksa guna akta yang ada (Akta 700) dan membuat pindaan. Cuma, dibimbangi apabila dipinda (sekarang) dan Ombudsman Malaysia masuk, maka ia buang masa. Jadi kita sekarang dalam dilema mahu ke mana (hala tuju)?

AGENSI JANGAT SIASAT DIRI SENDIRI

Dulu ada kenyataan mengatakan bahawa SPRM diletakkan di bawah Parlimen. Kalau Ombudsman Malaysia dan SPRM pun bawah Parlimen apa salahnya. Boleh diletakkan di sebelah-sebelah.
Kalau nak tunjukkan agensi itu bersih janganlah siasat diri sendiri.

Mesti ada benda tidak betul. Sistem mengesahkan benda itu. Perlu ada audit dalam dan audit pihak luar. Kalau nak gunakan audit dalam dan luar, maknanya PDRM dan SPRM mesti beri kuasa kepada EAIC untuk ditunjukkan apa yang disiasat.

Saya beri contoh. SPRM kata siasatan akan dilaksanakan kepada pegawai agensi tersebut atas tuduhan sekian-sekian. Tapi apa yang disiasat? Kemudian kita (EAIC) boleh siasat balik.

Memanglah akan buat dua kerja. Namun, kita mahu puaskan pemegang taruh dan pihak lain bahawa sesebuah agensi tidak melindungi mana-mana pegawai.

Tapi apabila tidak mahu buat (siasatan), ini ada sesuatu yang tidak kena. Analoginya mudah, saya polis dan tangkap awak tepi jalan. Saya ada hak untuk periksa poket awak. Tapi kalau awak kata awak sendiri mahu periksa poket sendiri mesti ada sesuatu yang tidak kena. *

PINDA AKTA 700 ATAU OMBUDSMAN MALAYSIA?

Saya lebih suka Ombudsman Malaysia. Sebabnya dalam Ombudsman Malaysia ini, ia merangkumi dua perkara iaitu satu penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan.

Contoh bukan penguatkuasaan ialah aduan jalan berlubang, rumput tidak potong atau apa-apa isu yang tidak berkait dengan penguatkuasaan. Itu akan disiasat bahagian tertentu.

Tapi untuk penguatkuasaan ini, kita akan selesaikan mengikut prosedur ditetapkan. Sebab itu dalam Ombudsman Malaysia ini, kita mahukan sesuatu perkara yang lebih baik daripada EAIC dan barulah kita ada taring serta bergerak bebas. Macam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ada majlis mesyuarat dan mungkin panggil jawatankuasa integriti untuk mendengar isu berkaitan integriti serta cadangan.

Apabila kita letakkan Ombudsman Malaysia di bawah Parlimen, ia nampak bebas dan lebih baik daripada sekarang.

Walau apa pun iltizam ketua jabatan untuk ambil syor kita, perlu diingat, satu-satu tindakan itu dibuat bukan untuk orang itu sahaja tetapi untuk orang lain sebagai pedoman. – UTUSAN

Ulasan