Kelantan ketuai kluster pendidikan SG4



Kelantan ketuai kluster pendidikan SG4
August 21, 2024

KOTA BHARU: Kelantan dipilih bagi mengetuai kluster pendidikan dan pembangunan modal insan dalam struktur empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) atau State Goverment 4 (SG4).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya Adun Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad.

Wan Roslan berkata, sejak PAS mentadbir Kelantan pada Oktober 1990 komitmen terhadap sektor pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi tunjang utama.

“Alhamdulillah, hari ini selesai bengkel halatuju SG4 bagi kluster Pendidikan dan Modal Insan, Kelantan dianggap sebagai negeri yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pendidikan.

“Kelantan dilantik sebagai tuan rumah dan saya diamanahkan sebagai pengerusi bagi kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 yang turut meliputi Kedah, Perlis dan Terengganu,” katanya di sini.

Bengkel tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang turut dihadiri wakil-wakil SG4.

Empat negeri terbabit sebelum ini bersetuju mewujudkan kerjasama dalam pelbagai kluster dan hasrat tersebut berjaya direalisasikan 2 September 2023.

Kerjasama tersebut berdasarkan bidang kuasa dan kepakaran empat negeri terbabit yang memberi tumpuan pembangunan sosio ekonomi serta peningkatan taraf hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

Ulasan