Kerangka kawal selia internet, media sosial kini berkuat kuasa

Kerangka kawal selia internet, media sosial kini berkuat kuasa
KERANGKA kawal selia internet dan media sosial tidak memberi kesan kepada pengguna, sebaliknya hanya kepada penyedia platform yang perlu mendapatkan lesen.
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM dan ARIF AIMAN ASROL
2 Ogos 2024, 7:17 am

PETALING JAYA: Kerangka ka­wal selia perkhidmatan pesa­nan internet dan media sosial diwartakan serta berkuat kuasa semalam bagi memerangi pe­ningkatan kes jenayah siber.

Suruhanjaya Komunikasi Mul­timedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah tersebut diambil bagi memerangi jenayah penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang di berlaku di alam siber.

“Menerusi penguatkuasaan kerangka ini, semua pemberi perkhidmatan pesanan internet dan pemberi perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Mana-mana pemberi per­khidmatan yang beroperasi tan­pa lesen selepas tempoh ter­sebut adalah melakukan suatu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil,” katanya semalam.

MCMC berkata, pihaknya akan membangunkan garis panduan komprehensif yang memperincikan keperluan etika dan tanggungjawab mesti dipatuhi secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan di Malaysia semasa tempoh penangguhan.

Katanya, pemberi perkhidmatan dikehendaki memper­kenal langkah-langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna dan pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian serta meningkatkan penyederhanaan kandungan.


“Dalam membangunkan ga­ris panduan ini, rundingan awam dijalankan oleh MCMC. Semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam dijemput memberi maklum balas apabila proses rundingan awam dimulakan,” katanya.

Sementara itu, MCMC mene­gaskan bahawa pelaksanaan tersebut tidak memberi kesan kepada pengguna, sebaliknya hanya kepada penyedia platform yang perlu mendapatkan lesen.

“Pengguna sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang diper­tingkat dan pengalaman yang lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan.

“Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam ta­lian yang lebih selamat serta saluran aduan yang lebih jelas berkaitan kemudaratan dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Ko­munikasi, Fahmi Fadzil berkata, lesen mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet hanya dikenakan kepada pengendali platform media sosial, bukannya kepada individu atau golo­ngan pempengaruh.

Katanya, MCMC akan menerbitkan soalan lazim (FAQ) berkaitan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu untuk menjelaskan pelbagai perkara berkenaan lesen tersebut.

“Proses pelesenan ini bermula hari ini (semalam) bagi platform media sosial. Jadi ada beberapa pihak yang memberi pandangan yang sebenarnya jauh lari daripada realiti proses perlesenan tersebut.

“Saya ingin jelaskan bahawa pelesenan ini hanya terpakai kepada platform-platform media sosial, bukan kepada pengguna ataupun pempengaruh. Individu tidak perlu untuk mendapatkan lesen. Ia hanya terpakai kepada platform tersebut perkhidmatan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Ulasan