KM Selangor, Johor dikerah bantu mangsa banjir Melaka
August 14, 2024
MASJID TANAH: Khidmat Malaysia (KM) mengeluarkan arahan segera kepada KM negeri-negeri berhampiran sebaik mendapat maklumat kejadian banjir besar melanda Melaka terutama Parlimen Masjid Tanah.
Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, KM Selangor dan Johor telah memberi maklum balas untuk turun membantu bagi kerja-kerja membersihkan premis-premis terjejas banjir.
“Apabila berlaku bencana banjir dalam skala yang besar biasanya memang kita akan meminta bantuan negeri-negeri terdekat. Jadi untuk Melaka kita minta Johor dan Selangor untuk turun bantu Melaka,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan rekod, semenjak Khidmat Malaysia ditubuhkan itu adalah kali pertama NGO itu datang ke Melaka untuk misi bantuan banjir kerana jarang berlaku banjir besar di situ.
“Kita pun telah dapat laporan yang pertama daripada pimpinan PAS kawasan dan yang keduanya daripada orang awam.
“Mereka sebut bahawa banjir kali ni memang banjir luar biasa. Ada laporan kata lebih 10 tahun tak pernah berlaku banjir besar macam ni,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu membuat lawatan kerja meninjau aktiviti misi bantuan banjir Khidmat Malaysia bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam.
Jelas beliau, terdapat dua peringkat dalam misi banjir iaitu yang pertama ialah ‘Fasa Rescue’ iaitu untuk menyelamat dan memindahkan mangsa banjir dan yang kedua ‘Fasa Relief & Rehab’ iaitu untuk membersihkan kerosakan akibat banjir.
“Fasa Rescue kita tidak terlibat dan telah selesai. Jadi pada hari ini jadi semua petugas-petugas yang diuruskan atau oleh selaraskan oleh Khidmat Malaysia ni telah pun turun dan kita akan lihat sejauh mana keperluan untuk kita membantu.
“Sebab kalau dilihat sebahagian besar usaha pembersihan dah mula sejak banjir mula surut semalam. Kita datang ni untuk melakukan program pembersihan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan bersedia untuk tindakan selanjutnya sekiranya ada permintaan daripada pihak PAS kawasan untuk disambung dengan aktiviti-aktiviti lain yang diperlukan.
“Kita akan minta kerjasama daripada NGO-NGO kita untuk turun nanti. Kita minta pihak YDP PAS Kawasan untuk maklumkan apa-apa keperluan-keperluan, contohnya sumbangan rumah ke rumah dan sebagainya yang kita akan susuli lepas pada ini,” katanya.
Seramai 17 orang anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) dari Johor, enam orang dari Selangor dan 20 orang dari sekitar Melaka terlibat dalam misi bantuan tersebut dengan dibantu ahli-ahli PAS tempatan.
Antara pimpinan yang hadir dalam aktiviti tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Pengarah KM Masjid Tanah, Azmi Sambul, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dan Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Norfaizal Nordin. – HARAKAHDAILY 14/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan