Larian Obor Kemenangan Sungai Bakap ke Nenggiri
August 12, 2024
GUA MUSANG: Mengambil kira semangat sambutan kemerdekaan, PERIKATAN NASIONAL (PN) menganjur ‘Larian Obor Kemenangan Sungai Bakap ke Nenggiri’ bermula di Pusat Khidmat Adun Sungai Bakap di Sungai Jawi Pulau Pinang semalam.
Naib Presiden Bersatu, Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, larian itu sebagai simbolik bagi membawa semangat kebangkitan rakyat bersama PN dari Sungai Bakap ke Nenggiri.
“Terima kasih kepada #SetKito yang menyertai larian ini. Ambo tunggu di pusingan terakhir larian sebelum sampai ke ‘Grand Finale’ di Nenggiri pada Khamis ini,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Turut hadir pada pelancaran larian tersebut Pesuruhjaya PAS Pulau, Muhamad Fauzi Yusof, ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail dan ADUN Kulim, Wong Chia Zhen.
Program tersebut dianjur Pemuda PN untuk menyemarakkan lagi kesedaran dan cintakan negara untuk PRK DUN Nenggiri di tengah-tengah sambutan Bulan Kemerdekaan.
Ketua Armada Bersatu Nasional Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal pula berkata, kepimpinan PN Pulau Pinang dan Kedah membantu menjayakan larian tersebut.
“Insya-Allah larian tersebut akan diteruskan ke beberapa checkpoints penting sebelum diserahkan bendera kepada Presiden-Presiden PN di pentas Grand Finale,” katanya.
Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin pula menyifatkan Larian Obor Kemenangan Sungai Bakap-Nenggiri sebagai simbolik PN akan membawa semangat kemenangan di Sungai Bakap untuk diterjemah di Nenggiri 17 Ogos ini.
Menurutnya bermula dari Pusat Khidmat Adun Sungai Bakap, panji PN dibawa merentasi Perak dan Pahang dengan larian grand finale akan berlangsung pada Khamis ini di Nenggiri.
“Tahniah kepada semua wakil rakyat PN yang cukup bersemangat dengan turun dan berlari bersama-sama rakyat. Pertahan Nenggiri, Undi Bulan,” ujarnya.
#SetKito Pertahan Nenggiri Undi Bulan merupakan pasukan gerak kerja kempen PN di DUN Nenggiri yang melibatkan parti komponen gabungan terbabit. – HARAKAHDAILY 12/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan