Muhyiddin ulangi penegasan tiada niat hina institusi Raja
August 21, 2024
KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan.”
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi tampil menegaskan beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Raja.
Mantan Perdana Menteri itu berkata, ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini adalah fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara sepintas lalu; dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.
Dalam kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini, beliau menegaskan dengan berkata, “Terdapat pihak yang telah memutarbelit ucapannya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja.”
Sehubungan itu, beliau menyatakan, pihak polis telah mengambil kenyataan berhubung perkara tersebut pada hari ini (21 Ogos).
“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan fakta-fakta berhubung ucapan saya.
“Ucapan saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Raja di negara ini.
“Dalam kenyataan saya kepada pihak polis pada hari ini, saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.
“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, perkara tersebut telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
“Maka, dengan penjelasan saya kepada pihak polis beserta dokumen-dokumen penting yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin diambil keterangan oleh pegawai polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di pejabatnya, di sini.
Tempoh rakaman percakapan yang dilakukan oleh pihak polis adalah selama sejam.
Antara yang hadir di pejabat Muhyiddin ialah Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin. – HARAKAHDAILY 21/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan