Muktamar: Kompleks al-Makmur bakal dibanjiri ahli PAS



Muktamar: Kompleks al-Makmur bakal dibanjiri ahli PAS
August 17, 2024

Share
Kerja-kerja persiapan tempat Muktamar Tahunan PAS ke-10 di Kompleks al-Makmur, Kerdau, sudah 70 peratus selesai.

KUALA LIPIS: Berjujut perwakilan seluruh Malaysia akan membanjiri Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 yang dijadualkan berlangsung di Kompleks al-Makmur, Kerdau, Temerloh pada 14 dan 15 September depan.

Dengan objektif membina gelombang rakyat negeri ini untuk membuat perubahan landskap politik dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Pahang dipilih menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas Muktamar Tahunan PAS ke-65 diadakan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) Indera Mahkota, Kuantan pada 2019.
Ustaz Roslan Zainal

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Roslan Zainal segala persiapan sudah dan sedang giat dilaksanakan dengan tumpuan atau the point of view perwakilan kali ini pastilah ke arah tuan rumah dengan misi merealisasikan PAS Teraju Pahang pada PRU16.

Katanya, PAS Pahang telah mula melakukan persiapan sejak awal Mei lepas, terdiri daripada Jawatankuasa Induk Persiapan Muktamar dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kini sudah siap sekitar 70 peratus.

“Tumpuan kita menyiapkan tempat utama muktamar iaitu Kompleks al-Makmur di Kerdau meliputi dewan persidangan, pentas terbuka di samping tapak ekspo dan persembahan serta parkir yang bakal menjadi ‘spot’ utama dikerumuni,” ujarnya selaku Timbalan Pengarah 4 Jawatankuasa Induk Persiapan Muktamar.

Menurutnya, selain persidangan muktamar, pihak urusetia turut menyediakan pelbagai acara menarik sampingan antaranya, persembahan kebudayaan, pidato pimpinan PAS, kuliah Maghrib, pameran dan ekspo SG4, pesta makanan Asia dan gerai-gerai makanan serta jualan am.

Walau bagaimanapun pihaknya juga turut berdepan dengan beberapa masalah dan kekangan yang tidak dapat dielakkan tetapi berkat usaha dan kerjasama daripada semua pihak, isu itu dapat diatasi dengan memberi beberapa solusi.

“Masalah utama hanyalah penginapan perwakilan dan pemerhati namun akan diatasi dengan kaedah rumah keluarga angkat di kalangan ahli-ahli PAS sekitar Temerloh, Kerdau, dan Jerantut.

“Kita berharap dan menjangka akan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak termasuk pihak-pihak berkuasa tempatan, agensi penguatkuasaan undang-undang, dan agensi-agensi perkhidmatan awam dalam memastikan muktamar ini berjalan lancar tanpa sebarang provokasi tidak diingini,” jelasnya.

Sementara itu, Muktamar Dewan Pemuda dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 September diikuti Muktamar Dewan Muslimat pada 13 September di tempat sama dan Muktamar Dewan Ulamak pula pada 11 September bertempat di Kompleks Imam Syafi’e (KIAS) Temin, Jerantut. – HARAKAHDAILY 17/8/2024

Ulasan