Muktamar Tahunan PAS ke-70 sebagai momentum PRU16
August 27, 2024
Khairul Faizi Ahmad Kamil
KUALA LUMPUR: PAS Cawangan Kerdau adalah pertama di negeri Pahang iaitu di Kampung Kerdau dan ditubuhkan pada tahun 1954.
Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pada perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur Kerdau Sept ini, akan dibuat gimik berkaitan dengan 70 tahun PAS Negeri Pahang.
“Untuk makluman, Jabatan Arkib saya selaku Pengerusi Jabatan Arkib PAS Pusat, kita sedang menyiapkan insya-Allah buku itu kita jangka akan siap pelancaran buku yang berkaitan dengan sejarah PAS Pahang yang bermula di Kampung Kerdau di Temerloh. Jadi banyak sejarah yang menarik.
“Dan kalau kita lihat daripada sudut penulisan buku sejarah, Pahang adalah negeri yang kurang dokumen yang kita dapat rujuk tentang perkembangan PAS di Pahang.
“Jadi insya-Allah buku ni memang tinggi nilai dia yang insya-Allah kita akan usaha untuk dilancarkan semasa muktamar nanti. Jadi itulah antara signifikan kenapa kita memilih Kerdau,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara HD bertajuk ‘Muktamar PAS kali ke-70: Apakah Realiti Masa Hadapan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)?’ di Pejabat Harakah di sini, hari ini.
Menurutnya, signifikan kedua negeri Pahang dipilih kerana ia sebuah negeri yang mempunyai jumlah wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tinggi iaitu sebanyak 17 kerusi.
“Yang kalau kita lihat berbanding dengan Umno ataupun BN, kita lebih kekuatan ada pada kita. Dan sudah tentulah kalau kita lihat sebelum ini PAS paling tinggi pun kita menang lapan kerusi.
“PAS dan Barisan Alternatif, kita menang lapan kerusi tetapi kali ini adalah jumlah kerusi yang paling besar. Dan insya-Allah ini akan kita jadikan sebagai momentum untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-16.
“Itu antara faktor-faktor kenapa kita memilih Pahang pada tahun ini untuk kita adakan muktamar kali yang ke-70,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata kali terakhir muktamar dibuat di Pahang adalah pada tahun 2019 di Stadium SUKPA, Kuantan yang mana pada masa itu ada satu kerjasama yang baik di atas nama Penyatuan Ummah dengan kerajaan di Pahang.
“Dan agak selesalah kita berada di stadium itu, sponsor yang agak menarik, stadium yang agak luas dan sebagainya.
“Dan tahun ini kita kembali sekali lagi ke Pahang tetapi kita akan adakan muktamar tersebut di Kompleks Al-Makmur Kerdau iaitu sebuah dewan yang boleh memuatkan lebih kurang 1,600 orang tanpa meja, kerusi saja 1,600.
“Dan keluasan tapak yang boleh kita menaikkan market tent, khemah kita boleh adakan program, acara, perniagaan dan sebagainya, kawasan cantik luas,” ujar beliau.
Katanya, cuma tempat muktamar tersebut berada di satu kawasan yang agak jauh dari bandar besar, iaitu paling dekat adalah Bandar Temerloh lebih kurang 20 kilometer. – HARAKAHDAILY 27/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan