Naik gaji: Jangan seperti mahu bunuh angsa yang keluarkan telur emas
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
25 Ogos 2024, 8:25 am
KAKITANGAN awam menerima berita gembira minggu lalu dengan kenaikan gaji. Namun di sebalik berita tersebut, timbul sedikit kebimbangan kemungkinan berlaku peningkatan harga barangan dan kos sara hidup.
Dan keadaan ini semestinya menimbulkan persoalan sama ada majikan di sektor swasta mampu ‘mengiringi langkah’ sebagaimana dilaksanakan kerajaan untuk mengimbangi peningkatan kos tersebut seandainya ia berlaku.
Wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan Malaysia (MEF) DATUK SHAMSUDDIN BARDAN bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto, M. FIRDAUS M. JOHARI
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah pihak swasta berdepan kekangan untuk menaikkan gaji sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini?
SHAMSUDDIN: Amalan yang kita buat di sektor swasta berbeza dengan sektor awam. Kalau ikut tradisi di sektor awam, biasanya gaji dinaikkan dalam tempoh lima ke enam tahun sekali.
Lebih-lebih lagi kalau tibanya Pilihan Raya Umum (PRU). Sudah tentu akan ada pertimbangan untuk meningkatkan gaji sektor awam. Namun untuk sektor swasta keadaan berbeza sama sekali kerana kita melaksanakan gaji secara berkala dalam satu tempoh tertentu. Malah ada juga sesetengah syarikat itu mereka buat setiap tahun.
Memanglah akan ada yang kata, itu kenaikan tahunan. Bagaimanapun, perlu diingat setiap kenaikan tahunan itu akan mengambil kira faktor produktiviti, keadaan gaji di pasaran dan paling penting prestasi pekerja serta syarikat.
Di sektor swasta, apabila prestasi pekerja tidak memuaskan syarikat tidak membuat semakan gaji kepada pekerja dan mungkin tiada kenaikan tahunan langsung. Ada sesetengah majikan yang buat peningkatan tiga tahun sekali kerana dalam Akta Kerja itu sekiranya ada perjanjian bersama (CA), ia sah laku dalam tiga tahun.
Justeru apa yang saya ingin katakan, sektor swasta telah meningkatkan gaji secara berkala sejak dulu lagi. Kalau ada kenaikan gaji sektor awam dan pekerja sektor swasta meminta perkara sama, saya rasa kita telah pun mendahului apa yang dilakukan oleh sektor awam.
Bagaimana penerimaan dan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam kalangan majikan swasta setakat ini?
Kalau kita melihat kepada gaji progresif, ini satu perkara yang dibentangkan di Parlimen dan apabila melihat sejarah model gaji ini , MEF pada mulanya terkejut dengan pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengatakan Malaysia mahu melaksanakan gaji progresif secara wajib. Selepas itu kita memang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Kalau ada pun ia hendaklah secara sukarela dan apabila perkara ini dibincangkan semula di Parlimen, kerajaan akhirnya bersetuju DGP ini dilaksanakan secara sukarela dan akan ada insentif untuk majikan. Oleh kerana niat dan hasrat untuk membantu syarikat kecil dan sederhana meningkatkan gaji kakitangan mereka, syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) banyak yang tidak serta.
Dan sudah tentu MEF berpandangan, kita sebagai wakil majikan dan salah satu cadangannya adalah kalau ada majikan diminta membuat latihan untuk pekerja, kerajaan perlu membantu syarikat menanggung kos latihan berkenaan.
Tetapi malangnya semasa pelaksanaan projek rintis, permintaan tidak dibenarkan dan kita masih berharap nanti apabila penilaian impak projek rintis dibuat pada September ini akan ada perbincangan lagi dengan harapan kerajaan mengambil kira faktor kos latihan berkenaan.
Untuk DGP ini, MEF meletakkan sasarannya iaitu 1,000 majikan. Akan tetapi ketika ini kurang 500 menyertainya. Dan ini kita faham kerana apa yang dilaksanakan mengelirukan majikan terutama apabila ada keperluan memenuhi tahap gaji tertentu untuk setiap sektor dan jenis pekerjaan.
Contoh, ada pekerjaan dalam sektor tertentu itu kerajaan kata, gajinya hendaklah tidak kurang RM1,810. Jadi, ada majikan terkilan sebab apabila diumumkan sistem itu, kerajaan pula mengatakan kalau gaji pekerja itu RM1,500 sehingga RM 4,999, mereka turut diberikan insentif.
Apa yang diharapkan bagi MEF, kita perlu buat sesuatu yang praktikal dan senang dilaksanakan. Sebagai contoh, kalau pekerja itu bergaji lingkungan RM1,500 sehingga RM4,999 sebulan, maka semua pekerja itu hendaklah diterima untuk skim yang dilaksanakan. Insentifnya sama.
Kalau kita buat mekanisme mudah seperti itu tanpa ada salah faham, saya rasa lebih banyak majikan ingin menyertai program berkenaan. Apa pun, MEF berharap perlu diadakan kajian semula DGP pada September nanti dengan proses yang lebih mudah.
Faktor lain yang saya rasa kritikal adalah majikan sangsi dengan kos program berkenaan. Ini disebabkan insentif hanya untuk tempoh yang lebih berbanding setahun. Selepas setahun ia bergantung kepada kemampuan kerajaan pada masa itu.
Jadi, ini faktor sekatan kepada majikan untuk menyertai program ini kerana kita tahu kalau majikan beri gaji tinggi dan pada masa sama kerajaan kata tiada duit pula ia pasti membebankan.
Bayangkan pada masa itu kita beri RM300 atau RM200 kenaikan sedangkan ia sudah melebihi kadar sepatutnya iaitu antara enam ke tujuh peratus setiap tahun. Ini membebankan.
Adakah penetapan gaji juga perlu dilaksanakan dengan mengikut sektor, jenis pekerjaan dan melibatkan bandar atau kawasan tertentu?
MEF sering katakan dalam hal berkaitan gaji, kita perlu lihat secara realistik apakah keupayaan majikan untuk menanggung kos-kos yang ditentukan itu. Kalau kita lihat kewangan di syarikat besar mereka tiada masalah. Tetapi sektor Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) agak sukar sebab ada kekurangan aliran tunai. Kalau pukul rata memang masalah.
MEF sarankan agar dapat melihat keperluan dan kemampuan majikan dengan mengambil kira tahap gaji ditetapkan. Kalau kita ambil contoh negara besar seperti Amerika Syarikat (AS), ada keadaan di mana sesetangah negeri itu mereka akan buat undang-undang khusus untuk kecualikan syarikat kecil dengan pemakaian gaji minimum yang ditetapkan.
Pada 2022 apabila kerajaan menetapkan RM1,500 gaji minimum, ia menyukarkan syarikat kecil. Malah, boleh dikatakan kira-kira 10 peratus daripada pekerja yang sepatutnya menerima gaji RM1,500 tidak lagi menikmati gaji itu sebab majikan lagi tidak mampu.
Walhal kita sepatutnya lebih praktikal bahawa PMKS ini perlu dibantu untuk memastikan ia kekal bertahan. Tambahan pula peratusan mereka agak besar daripada segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disamping menyumbang 48 peratus kepada sumber pekerjaan. Bayangkan kalau mereka tidak dibantu dan tutup. Itu yang MEF tidak mahu ia berlaku.
Kalau dilihat pada peningkatan gaji dalam tempoh hampir 10 tahun, ada peningkatan kira-kira 66 peratus dengan purata 6.6 peratus setiap tahun.Tetapi perlu diakui keperluan kos untuk sesetengah tempat memang tinggi. Jadi, saya berharap kerajaan melihat semula adakah gaji minimum itu perlu ditentukan tempat kerja dan juga sektor tertentu dengan keperluan berbeza.
Adakah terdapat tekanan dan desakan agar sektor swasta dapat meningkatkan gaji sebagaimana sektor awam?
Memang itulah keadaan sebenarnya sebab apabila gaji awam dinaikkan memang ada tekanan. Saya rasa kerajaan dan persatuan-persatuan pekerja hendaklah faham apa yang dilakukan sektor swasta dalam memastikan gaji pekerja itu sentiasa mengikut pasaran kerja kerana kalau majikan diminta membayar gaji berlebihan dan tidak ikut pasaran kerja, ini akan menyukarkan banyak syarikat.
Untuk sektor swasta yang penting kita mesti melihat kemampuan setiap majikan dalam melaksanakan apa juga bentuk gaji kerana syarikat ini berbeza-beza daripada segi keuntungan.
Tidak dinafikan memang ada desakan meminta agar ditambah kenaikan tahunan.
Bayangkan apa akan jadi kalau syarikat tidak untung masa itu. Perlu diingat memang ada syarikat yang tidak untung walau ekonomi baik dan meningkat. Macam mana syarikat yang tidak untung ini hendak dipaksa membayar gaji? Kalau dipaksa juga, apabila tiada keuntungan mereka berdepan detik sukar.
Daripada prinsip perniagaan, apabila melihat cost of fund, seandainya tidak memberi pulangan sebanyak 16 peratus syarikat akan fikir lebih baik jangan labur. Dan ini sesuatu yang harus difahami pihak pembuat polisi dan kesatuan. Jangan sampai kita dilihat seperti hendak membunuh seekor angsa yang mengeluarkan emas.
Di samping itu, isu produktiviti juga penting sebab hasrat Malaysia untuk berada pada 12 negara teratas dalam segi indeks kompetitif global. Tetapi malangnya kita menurun.
Macam mana hendak katakan kos meningkat tapi kadar kompetitif dalam kalangan pekerja terus menurun?
Jadi, kita perlu realistik dan buat polisi pragmatik. Syarikat yang untung dan mahu memberikan kenaikan tinggi silakan tetapi bukan secara paksaan.Setiap polisi perlu dibuat mengikut kemampuan setiap majikan dan setiap majikan ada kemampuan berbeza.
Jadi, apakah langkah terbaik untuk mengimbangi keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat ?
Pelarasan gaji ini dibuat agar pekerja sektor awam dapat memperbaiki taraf hidup mereka. Itu juga hasrat yang ingin dilakukan termasuk pekerja sektor swasta. Akan tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Belum lagi gaji naik, adakalanya harga barang naik. Kerajaan perlu buat polisi jelas bagaimana kenaikan gaji tidak menyebabkan kos sara hidup naik. Ini bukan senang.
Ia dapat diperbetulkan kalau kerajaan membantu meringankan kos operasi mereka sebab jika tidak kos akan pergi kepada pelanggan. Ini pada akhirnya masyarakat yang dapat gaji minimum itu dirasai segelintir saja manakala yang terbeban keseluruhan rakyat. Tetapi kalau kerajaan cakap mereka mahu bantu agar pekerja dapat gaji lebih dan majikan tidak terbeban, itu lebih baik
Mungkin kerajaan boleh memberikan doube tax deduction (potongan cukai berganda). Contohnya, kalau mereka membelanjakan RM100,000 untuk meningkatkan gaji minimum maka RM200,000 sebagai expenditure.
Kalau kita dapat lakukannya dalam satu tempoh tertentu, saya fikir itu wajar. Selain itu, sekiranya kerajaan mahu menaikkan gaji minimum secara berfasa, ia akan mengurangkan tekanan dalam kalangan pekerja swasta.
Ads by Kiosked
Katakanlah hasrat meningkatkan gaji minimum dalam RM100. Mungkin naikkan RM50 dulu tahun depan dan pada 2026 dinaikkan RM50 sekali lagi.
Presiden MTUC, MOHD. EFFENDY ABDUL GHANI
Tiada ‘keseimbangan hidup’ sebab gaji kurang
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah MTUC menerima desakan dalam kalangan pekerja sektor swasta untuk menaikkan gaji?
EFFENDY: Kalau tanya saya tiada tekanan. Sebaliknya, ia satu keadilan tidak kira sama ada untuk penjawat awam atau swasta. Lagipun dekat 13 tahun pekerja sektor awam tidak menerima kenaikan gaji. Macam kami di sektor swasta, memang ada Perintah Gaji Minimum dan gaji akan dikaji setiap dua tahun. Daripada situlah naik perlahan-lahan sampai ke RM1,500.
Bagi saya yang mewakili kumpulan pekerja swasta tiada rasa sifat cemburu. Kami melihat gaji penjawat awam itu umpama aras penentu kita juga di sektor swasta.
Apa yang kita buat di peringkat swasta adalah lebih pada kajian tentang gaji pokok di negara kita. Gaji pokok itu untuk diselaraskan dengan gaji lantai supaya tidak seperti dulu. Ada yang beri RM400 ada yang beri RM600.
Maknanya RM1,500 tanpa mengira sama ada pekerja asing atau tempatan. Kalau dalam sektor swasta pula, ia bergantung kepada keadaan. Kalau tengok gaji minima yang ada iaitu RM1,500 kita bimbang juga sebab ada yang tidak boleh bayar.
Bagi kita gaji itu perlu konsisten. kedua, saya lihat kalau syarikat mempunyai kesatuan sekerja, memang ada perjanjian bersama (CA). Jadi, CA itu bermakna setiap tiga tahun akan ada sesi libat urus seperti elaun, cuti dan sebagainya. Semua itu dalam CA. Ia lebih tinggi daripada Akta Kerja.
Adakah RM1,500 gaji minimum cukup dalam keadaan sekarang?
Kalau kita lihat gaji minimum itu tidak termasuk elaun. Itu bukan lah bermaksud gaji kehidupan atau gaji bersih. Daripada segi inflasi pun kalau hari ini tiada gaji minimum, peningkatan harga barang tetap berlaku.
Ads by Kiosked
Sebab itu, penguatkuasaan kerajaan penting dalam memastikan harga barang tidak naik. Kalau inflasi tinggi ketika gaji dinaikkan, kenaikan tidak bermakna kepada pekerja. Aspek kawalan harga barang memang penting. Sepatutnya tujuan dinaikkan antara mahu meningkatkan kuasa beli rakyat dan biarlah pulangan itu dinikmati bersama-sama.
Ada kesatuan kerja atau pihak lain mendesak MTUC untuk menuntut agar gaji pekerja sektor swasta dinaikkan?
Tiada. Kita sendiri terlibat dalam libat urus dengan Majlis Perundingan Gaji Negara. Dan sudah tentu kajian-kajian yang dibuat oleh pakar ekonomi dan akademik selaras dengan kos sara hidup. Cuma kajian luar, ia lebih tertakluk kepada unjuran pendapatan pekerja di bandar dan bukan gaji pokok. Bagi kami gaji pokok satu perkara.
Kedua, majikan yang berkemampuan, boleh ikut seperti kerajaan. Sebagai contoh beri elaun seperti elaun sara hidup (cola) dalam sektor swasta.
Bagi kita gaji tidak boleh membeza-bezakan. Sebab, kalau kata gaji luar bandar dalam RM1,500 dan dan gaji untuk pekerja yang duduk di bandar pula ialah RM1,800, bagaimana pula jika pekerja itu bertukar tempat?
Bagaimana pekerja swasta dapat menikmati keseimbangan hidup dan kerja dengan peningkatan kos sara hidup?
Kenapa berlakunya kekurangan work life balance? Kerana pendapatan tidak cukup dan elaun kerja lebih masa bertambah untuk meningkatkan pendapatan. Gaji pokok dengan gaji ini berbeza. Kalau kerajaan, mereka ada Cola.
Jadi, untuk memastikan pekerja dalam sektor swasta mencapai taraf work life balance, perlu ada elaun tertentu. Kalau kita lihat kerajaan sudah lama buat menerusi Pelaksanaan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS).
Dalam sistem ini ramai tidak faham. Ia tidak mengatakan bahawa gaji itu berdasarkan kepada kita punya produktiviti. Tapi ia kata bagaimana mahu meningkatkan produktiviti menerusi elaun kehadiran, elaun kesusahan, dan ada insentif tertentu.
Adakah perlu kerajaan perlu beri pelepasan cukai atau insentif?
Kita ada PLWS yang mengiktiraf syarikat terbaik. Sekurang-kurangnya ada juga penghargaan kepada syarikat yang melaksanakannya. Mana-mana syarikat yang berjaya ada baik diberikan cukai pelepasan dan beri keutamaan disediakan latihan kepada pekerja syarikat berkenaan. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan