Pelarasan gaji penjawat awam rangsang ekonomi


Pelarasan gaji penjawat awam rangsang ekonomi
KENAIKAN gaji akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui kecenderungan peningkatan perbelanjaan para penjawat awam. – UTUSAN
Oleh Meja Rencana
28 Ogos 2024, 9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN kenaikan gaji kepada 1.5 juta penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu ternyata menggembirakan penjawat awam yang tertunggu-tunggu berita tersebut sejak kali terakhir pelarasan gaji disemak pada 12 tahun dahulu.

Pelarasan gaji atau kenaikan gaji penjawat awam bukan sekadar memanfaatkan golongan penjawat awam semata-mata tetapi kelimpahannya memberi kesan positif rangsangan kepada ekonomi domestik. Kenaikan gaji yang lebih tinggi akan menyebabkan pendapatan boleh guna penjawat awam turut meningkat. Pendapatan boleh guna dan penggunaan pendapatan dilihat berkadar langsung yang mana jika pendapatan boleh guna meningkat, maka perbelanjaan pun ikut meningkat. Justeru itu, kuasa beli pun akan turut meningkat. Secara keseluruhannya, pelarasan gaji penjawat awam ini melibatkan peruntukan tambahan di pihak kerajaan sebanyak RM10 bilion. Meskipun peruntukan tambahan ini dilihat sebagai tambahan beban kewangan negara tetapi pada masa yang sama kenaikan ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui kecenderungan peningkatan perbelanjaan penjawat awam.

Ads by Kiosked

Peningkatan kuasa beli penjawat awam ini juga akan memberi impak positif terutamanya kepada sektor peruncitan yang dijangka akan mendapat manfaat terbesar hasil dari peningkatan penggunaan atau kuasa beli penjawat awam. Sektor-sektor lain seperti sektor perkhidmatan iaitu pelancongan, pendidikan dan penjagaan kesihatan serta sektor automotif juga bakal menikmati manfaat kenaikan gaji berkenaan kerana lebihan pendapatan boleh guna ini, maka penjawat awam mudah untuk mendapat kelulusan daripada institusi-institusi kewangan.

Rangsangan perbelanjaan domestik ini juga akan memberi kesan secara langsung di sepanjang rantaian ekonomi serta dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan apabila sektor-sektor ekonomi yang berkaitan memerlukan tambahan penawaran untuk memenuhi pertambahan permintaan. Tidak ketinggalan sektor perumahan dan hartanah juga akan kembali pulih apabila penjawat awam terutamanya yang belum lagi memiliki rumah atau tanah akan menggunakan lebihan pendapatan baharu ini untuk membiayai pembelian aset.

Penjawat awam perlu menzahirkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan iaitu dengan memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan sentiasa meningkatkan prestasi kerja.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat meminta penjawat awam terus memberikan komitmen tertinggi dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.Kenaikan gaji ini seharusnya menjadi suntikan motivasi kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan prestasi dan produktiviti. Hendaknya tidak ada lagi kedengaran komen-komen negatif berkaitan penjawat awam selepas pelaksanaan gaji baharu ini.

Perkara penting yang harus diingat oleh semua yang bergelar penjawat awam, kenaikan gaji ini hanya kepada yang memilih SSPA iaitu sistem yang berteraskan kepada prestasi dan tatakelakuan. Perdana Menteri memberi peringatan kepada semua penjawat awam bahawa pelarasan itu akan diagihkan secara terpilih iaitu kepada penjawat awam yang mencapai atau melebihi jangkaan prestasi sahaja.

Perdana Menteri selanjutnya menegaskan, mana-mana penjawat awam yang cemerlang akan mendapat ganjaran manakala sesiapa yang gagal mempamerkan prestasi baik akan dikenakan tindakan.-UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD@SAID
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis

Ulasan