Pembunuhan beramai-ramai di Bangladesh: Krisis kemanusiaan makin serius



Pembunuhan beramai-ramai di Bangladesh: Krisis kemanusiaan makin serius
August 5, 2024

Share
Muhammad Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Protes pelajar di Bangladesh yang bermula sebagai gerakan pembaharuan kuota, telah berubah menjadi kebangkitan massa yang besar akibat tindak balas kekerasan oleh kerajaan negara itu.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Muhammad Abdul Malik Abdul Karim berkata, pembunuhan beramai-ramai dan penindasan terhadap golongan pelajar yang mengadakan demonstrasi menunjukkan krisis kemanusiaan yang mendalam di negara itu.

“Perjuangan pelajar untuk keadilan dan hak demokrasi perlu diakui dan disokong oleh komuniti antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan, Bangladesh sebelum ini mempunyai sistem kuota sebanyak 56 peratus untuk sektor pekerjaan kerajaan, termasuk 30 peratus untuk anak cucu pejuang kemerdekaan, 10 peratus untuk setiap daerah, 10 peratus untuk wanita, lima peratus untuk kaum minoriti, dan satu peratus untuk orang kurang upaya.

“Pelajar telah lama berjuang menuntut pembaharuan sistem kuota ini. Pada tahun 1997, golongan pelajar di Bangladesh mula memprotes sistem kuota yang dianggap diskriminatif dalam pengambilan pekerjaan kerajaan.

“Mereka berpendapat bahawa sistem kuota ini tidak adil kerana memberi keutamaan yang terlalu besar kepada kumpulan tertentu seperti anak cucu pejuang kemerdekaan, wanita, dan kaum minoriti, tanpa mengambil kira merit atau kelayakan akademik mereka.

“Protes ini berlanjutan pada tahun 2007 dan 2013 di Universiti Dhaka, tetapi tidak diendahkan oleh pihak kerajaan,” jelas Abdul Malik.

Pada tahun 2018 ujarnya, gerakan protes ini mencapai kemuncaknya apabila ia merebak ke seluruh negara dan ribuan pelajar dari pelbagai universiti dan kolej menyertai demonstrasi besar-besaran menuntut pembaharuan sistem kuota ini.

Menurut beliau, tekanan yang semakin meningkat dari gerakan pelajar ini memaksa kerajaan untuk mengambil tindakan dan akhirnya, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed mengumumkan di Parlimen bahawa sistem kuota akan dihapuskan untuk pengambilan pekerjaan kerajaan kelas pertama dan kedua.

“Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan pelajar. Mereka sebenarnya menuntut pembaharuan dan penstrukturan semula sistem kuota, bukannya pemansuhan total.

“Namun, Perdana Menteri (Bangladesh) yang marah dengan desakan pelajar memutuskan untuk menghapuskan keseluruhan sistem kuota sebagai langkah drastik.

“Keputusan ini mencerminkan ketegangan antara pihak kerajaan dan pelajar, yang merasa tidak puas hati dengan cara kerajaan menangani isu ini,” ungkapnya.

Walaupun protes pelajar berlangsung secara aman, tambah Abdul Malik, kerajaan bertindak balas dengan kekerasan dan pada 12 Julai, polis menyerang demonstran di Universiti Comilla sehingga mencederakan sekurang-kurangnya 15 pelajar.

Pada 14 Julai pula ujarnya lagi, Perdana Menteri Bangladesh menghina pelajar dengan menyebut mereka sebagai ‘cucu Razakar’, yang membangkitkan kemarahan pelajar.

Pada 16 Julai pula tambahnya, kerajaan menutup semua institusi pendidikan dan mengerahkan pasukan keselamatan yang mula membunuh orang ramai secara rambang.

“Kebangkitan massa ini berlanjutan dan menjadi salah satu kebangkitan terbesar dalam sejarah Bangladesh.

“Polis, Batalion Tindakan Pantas (RAB), dan Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) tidak dapat menghentikan protes awam yang besar dan mula menggunakan peluru, gas pemedih mata, dan bom bunyi dari helikopter,” jelasnya lagi.

Sementara pada 18 Julai, tambah Abdul Malik, kerajaan Bangladesh memutuskan semua sambungan internet dan melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan meninggalkan negara dalam kegelapan.

“Media (sehingga 4 Ogos 2024) melaporkan sekurang-kurangnya 280 kematian, tetapi angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi. Pelajar yang cedera juga ditahan dan diseksa,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

Ulasan