Pembunuhan Haniyeh cetus risiko perang merebak ke luar Gaza
Ogos 2, 2024 @ 10:01am
Oleh Azmi Hassan
Memang agak pelik selepas 48 jam pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, Israel yang besar kemungkinan bertanggungjawab pembunuhan itu masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun peristiwa ini menggambarkan kehebatan Tel Aviv memburu dan membunuh pemimpin seteru mereka.
Agak memeranjatkan juga di sebelah pihak Iran yang mana Haniyeh menjadi tetamu rasmi kerana menghadiri upacara angkat sumpah Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian, Tehran masih membisu mengenai apa sebenarnya berlaku. Paling tidak bentuk serangan sama ada melalui dron atau peluru berpandu perlu dihebah secepat mungkin kerana maklumat itu sedia terpampang di tempat kejadian.
Mungkin Tehran dan Tel Aviv masing-masing menunggu naratif tersendiri demi menjamin kepentingan masing-masing. Menjadi tanda tanya kerana sebaik sahaja serangan dron di Beirut mengorbankan salah seorang pemimpin Hizbullah iaitu Fuad Sukhr, Tel Aviv tanpa lengah mengumumkan kejayaan mereka. Begitu juga apabila pejabat Konsulat Iran di Damsyik, Syria diserang April lalu, Tehran dengan begitu pantas menuding jari kepada Tel Aviv.
Tidak syak lagi Iran dan Israel masing-masing menunggu langkah seterusnya kerana kedua-dua negara seteru ini tidak mahu perang meletus secara besar-besaran. Apa yang tercetus selepas Konsulat Iran diserang iaitu berbalas menyerang melalui peluru berpandu dan dron boleh dianggap strategi ketenteraan yang terpaksa menjaga maruah kedua-dua negara.
Akan tetapi pembunuhan Haniyeh berada dalam situasi lebih kompleks dan sensitif. Ini kerana Haniyeh adalah pemimpin utama Hamas terbabit dalam rundingan gencatan senjata Perang Gaza yang mana Qatar dan Mesir sebagai pengantara, turut disertai Amerika Syarikat (AS) secara aktif.
Hamas sebenarnya bersetuju dengan pelan tiga fasa gencatan senjata tetapi Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu masih bermain tarik tali dalam hal kata putus dari Tel Aviv. Haniyeh dianggap pemimpin Hamas sederhana dalam ideologi perjuangan Palestin dan sanggup bertolak ansur bukan sahaja dalam kalangan rakan tetapi juga dengan musuh.
Umpamanya, Deklarasi Beijing dua minggu lalu yang mana Hamas dan Fatah serta 12 kumpulan pejuang Palestin lain bersetuju dengan terma perpaduan demi menghadapi Israel pasca Perang Gaza kerana Haniyeh banyak bertolak ansur dengan Fatah demi merealisasikan penduduk Gaza bebas membuat keputusan selepas Israel berundur.
Semua akur termasuk Washington bahawa Netanyahu mahukan perang di Gaza berlarutan kerana gencatan senjata atau perdamaian sudah pasti akan melemahkan kerajaan pimpinan beliau yang disokong parti berhaluan kanan dan ultra orthodox Israel yang tidak mahu negara Palestin berdaulat tertubuh.
Walaupun Iran selama ini tidak terbabit secara langsung dalam hal Perang Gaza, pembunuhan Haniyeh di Tehran mengubah segala-galanya. Walaupun kumpulan Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman terbabit secara langsung tetapi kedua-dua kumpulan ini dianggap proksi kepada Iran.
Kejadian berbalas serangan antara Iran dan Israel pada April lalu tidak terkait secara langsung dengan apa yang tercetus di Gaza tetapi terkait kerana serangan Israel terhadap pejabat konsulat Iran di Damsyik.
Justeru, pembunuhan Haniyeh di Tehran adalah cabaran secara langsung Tel Aviv kerana Israel sebenarnya mampu membunuh Haniyeh sama ada di Qatar atau Turkiye tetapi Israel sudah pasti tidak mahu bermusuh dengan kedua-dua negara ini. Haniyeh sering berulang alik di antara Qatar, Turkiye dan Iran tetapi persoalannya mengapa sekarang dengan Iran dipilih sebagai sasaran.
Kedua-dua persoalan itu mempunyai jawapan agak mudah kerana ketiadaan Haniyeh di sebelah pihak Hamas akan membantutkan rundingan gencatan senjata, manakala mengapa Iran menjadi sasaran pembunuhan pula berkemungkinan tindak balas dari Iran akan menjadi tidak seberapa jika apa yang tercetus April lalu diambil kira.
Akan tetapi hakikatnya, maruah Iran begitu tercalar pada kali ini dan tindak balas lebih berat sama ada dari Tehran, Hamas, Hizbullah dan Houthi tidak boleh ditolak ketepi. Sebab itu dalam masa 24 jam pembunuhan berlaku, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin yang sedang mengadakan lawatan ke Manila ketika itu, begitu pantas membuat kenyataan AS akan mempertahankan Israel jika diserang.
Harapan palsu kepada gencatan senjata
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken pula menyifatkan pembunuhan Fuad di Beirut dan Haniyeh di Tehran menyukarkan lagi rundingan gencatan senjata.
Tidak syak lagi jika diteliti kenyataan Austin dan Blinken ketika Tehran dan Tel Aviv masih membisu hal Haniyeh dibunuh, sudah begitu jelas peperangan di Gaza tidak akan reda dan hakikatnya juga jika Tehran, Hamas, Hizbullah dan Houthi bertindak balas, medan perang pasti akan melebar ke luar dari Gaza.
Begitu jelas AS sebagai rakan kongsi Israel gagal meredakan keadaan dan mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) tidak berjaya meredakan keadaan dan sebaliknya menjadi medan tuduh menuduh antara Iran dan Israel.
Tidak penting sama ada AS mengetahui lebih awal atau sebaliknya operasi membunuh Haniyeh, hakikatnya adalah AS sanggup mempertahankan Israel dalam apa juga keadaan tetapi pada masa sama meletak harapan palsu kepada rundingan gencatan senjata.
Begitu nyata sekali pendirian diluah Austin dan Blinken bertentangan dengan logik sambil menganggap dunia tidak peka dengan apa yang berlaku sebenarnya.
Menarik juga apabila Kementerian Luar China melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mengutuk pembunuhan Haniyeh, selari dengan pendirian Beijing yang mahu melihat penyelesaian kemelut Palestin dengan lebih adil.
Jika Beijing berjaya mendamaikan perseteruan antara Riyadh dan Tehran serta melaksanakan Deklarasi Beijing antara Hamas dengan Fatah, sudah tiba masanya negara Islam memberi sokongan kepada usaha Beijing.
Ulasan
Catat Ulasan