Pembunuhan Ismail tidak padam obor perjuangan Palestin
ISMAIL HANIYEH
Oleh Meja Rencana
17 Ogos 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
MASYARAKAT dunia dan umat Islam yang selama ini bersatu hati dalam mendukung perjuangan kemerdekaan Palestin dan mengecam pembunuhan penduduk Gaza oleh rejim Zionis masih terkejut dengan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran, baru-baru ini.
Selain mengundang kesedihan dan simpati masyarakat dunia, kematian Ismail juga turut menarik perhatian antarabangsa kepada persoalan apakah yang akan berlaku selepas ini khususnya konflik peperangan di Gaza yang belum nampak sinar untuk mereda.
Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong semasa sesi tergempar Majlis Keselamatan menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai sabotaj ke atas kesungguhan pelbagai pihak untuk mewujudkan kedamaian.
Kebimbangan yang sama turut dikongsi Malaysia yang sekian lama bersolidariti bersama rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Ismail. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan ucapan di Dewan Negara menyatakan pembunuhan ini mempunyai beberapa implikasi yang amat besar terhadap kestabilan dan keamanan global yang mewujudkan ancaman peperangan serantau di Asia Barat.
Mohamad berkata pembunuhan Ismail yang merupakan perunding utama gencatan senjata itu membantutkan usaha untuk mencapai gencatan senjata dan mewujudkan keamanan yang kekal di Palestin.
Bagaimana mungkin usaha gencatan senjata dapat diteruskan apabila pemain dan perunding utama gencatan senjata itu dibunuh dengan kejam. Semua ini jelas menunjukkan matlamat sebenar rejim Israel iaitu untuk meneruskan agenda genosid, kezaliman dan keganasan terhahap rakyat Palestin.
Sejak konflik di Gaza bermula, dunia menyaksikan sendiri kekejaman rejim Zionis Israel melancarkan bersiri-siri serangan udara dan darat tanpa perikemanusian kepada penduduk Gaza. Dianggarkan lebih 40,000 nyawa terkorban, 90,000 cedera dan kemusnahan harta benda yang tidak terkira. Saya menganggap ini adalah bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pemimpin dunia yang berpengaruh dan pihak yang terlibat patut menyahut seruan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan peperangan dan melaksanakan sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Sejarah sudah tertulis, operasi ketenteraan dan penyalahgunaan kekerasan bukanlah pendekatan penyelesaian kerana ia hanya akan membawa kepada krisis yang lebih besar.-UTUSAN
MOHD. ZAINI OTHMAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Ulasan
Catat Ulasan