PERIKATAN NASIONAL KLUANG BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA KECIL DUN MAHKOTA


KENYATAAN MEDIA
PERIKATAN NASIONAL KLUANG BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA KECIL DUN MAHKOTA

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Perikatan Nasional Parlimen Kluang (PN Kluang) yang bersidang pada malam tadi telah membuat beberapa keputusan penting khususnya yang berkaitan dengan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota akan diadakan tidak lama lagi.

2. Seperti mana yang telah diketahui umum, PRK DUN Mahkota perlu diadakan apabila ADUN Mahkota allahyarhamah Dato' Syarifah Azizah Syed Zain telah kembali ke rahmatullah pada 2 Ogos yang lalu.

3. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan bahawa hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota adalah pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September 2024.

4. PN Kluang memberikan fokus terhadap kesiapsiagaan untuk menghadapi PRK ini dengan membentuk jentera pilihan raya yang melibatkan ketiga-tiga parti komponen serta pengagihan peranan yang akan diselaraskan dari masa ke masa.

5. PN Kluang juga akan sentiasa akur dengan apa jua keputusan yang ditetapkan oleh PN negeri Johor dan PN Pusat termasuklah yang berkaitan dengan soal calon kerana apa yang penting adalah untuk memastikan PN akan berjaya memenangi PRK ini nanti.

6. PN Kluang akan terus mengeratkan hubungan sesama ahli parti komponen dengan semangat setiakawan yang telah terjalin selama ini iaitu semangat "Tiga Sekawan" yang telah diwujudkan sejak tahun 2021 lagi.

7. PN Kluang juga menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PN khususnya di Kluang untuk turut sama menghulurkan bantuan tenaga dan kewangan bagi merialisasikan hasrat untuk menawan DUN Mahkota.

Sekian, terima kasih.

Kenyataan bersama ;

Mohd Nor bin Lingan
Ketua Bahagian BERSATU Parlimen Kluang

Haji Mohd Nor bin Mohamad
Yang Dipertua PAS kawasan Kluang

Pang Wui Ming
Pengerusi GERAKAN Bahagian Kluang

Tarikh : 19 Ogos 2024

See less

Ulasan