‘PN kena ingat pengundi Melayu tidak selalu bersama’


‘PN kena ingat pengundi Melayu tidak selalu bersama’
HASHIM JASIN
Oleh MEDIA MULIA
20 Ogos 2024, 7:26 am

ARAU: Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan petanda kebangkitan parti berkenaan, sebaliknya isyarat kepada Perikatan Nasional (PN) agar tidak terlalu selesa beranggapan pengundi Melayu sentiasa bersama gabungan itu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kekalahan tersebut perlu dijadikan pengajaran dan aktiviti di kawasan-kawasan perlu dilaksanakan secara lebih aktif meskipun jika kerusi terbabit tidak dikuasai Pas.

Katanya, Pas perlu sentiasa aktif melakukan aktiviti bukan hanya tertumpu di kawasan atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili parti itu semata-mata.

“Saya tidak nampak kemenangan BN itu sebagai petanda kebangkitan mereka, mereka (BN) juga masih banyak kelemahan. Kita kalah sebab tidak banyak lakukan aktiviti.

“Walaupun kawasan itu bukan kawasan kita yang ditandingi Bersatu, namun aktiviti berterusan perlu sentiasa dilakukan. Ia sepatutnya menyedarkan kita agar jangan terlalu selesa,” katanya.

BN meraih kemenangan bergaya selepas calonnya Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri selepas memperoleh undian keseluruhan 9,091 undi sekali gus merampas semula kerusi DUN itu.

Mohd. Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon PN yang diwakili Bersatu menggunakan logo Pas, Mohd. Rizwadi Ismail.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.
Kata Hashim, kalah atau menang dalam sesuatu pilihan raya adalah perkara biasa namun apa lebih penting aktiviti di kawasan perlu dilaksanakan secara berterusan bukan pada waktu pilihan raya semata-mata.

Selain itu, beliau juga menasihati PN agar fokus ke depan dengan tidak lagi membangkitkan isu pemilihan Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Teguran Hashim itu rentetan daripada penularan video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengundang kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang terkilan atas tindakan Pengerusi PN itu yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin A-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Hashim berkata, Muhyiddin perlu mengawal perasaan untuk mengelak sebarang perkara yang boleh mengundang kontroversi khususnya membabitkan perkara yang menyentuh sentimen 3R iaitu Kaum, Agama, Institusi Diraja.

“Kita bakal berdepan banyak lagi pilihan raya pada masa-masa akan datang. Kalau boleh jangan wujudkan suasana keroh yang boleh mengganggu gerak kerja kita dalam menghadapi pilihan raya.

“Elak kenyataan yang berunsur seperti itu kerana ia bukan keutamaan sekarang. Kita patut lupakan (isu pelantikan Perdana Menteri) dan fokus ke depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Hashim berkata, apa yang berlaku di Nenggiri yang menyaksikan PN kalah perlu dijadikan sebagai pengajaran. – UTUSAN

Ulasan