PN raih peningkatan undi bukan Melayu di Sungai Bakap



PN raih peningkatan undi bukan Melayu di Sungai Bakap
August 5, 2024


GUA MUSANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap baru-baru ini menunjukkan berlaku lonjakan pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat Cina kepada Perikatan Nasional (PN).


Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, undi kaum Cina kepada PN meningkat sebanyak 10 peratus, India (35 peratus) dan paling ketara undi orang Melayu.

Katanya, peningkatan itu sebagai signal rakyat di Pulau Pinang khususnya DUN Sungai Bakap tanpa mengira kaum memprotes kerajaan PH-BN.

“Jadi pengundi DUN Nenggiri perlu menjadikan PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang bagi menyuntik semangat untuk meningkatkan lagi jumlah majoriti.

“Pengundi bukan sahaja mengekalkan kemenangan PN di Sungai Bakap, sebaliknya meningkatkan majoriti undi yang melibatkan pengundi pelbagai kaum,” katanya pada ceramah di RKT Meranto dekat sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, ADUN Rembia Datuk Muhamad Jailani Khamis dan calon PN Mohd Rizwandi Ismail.

Menurutnya juga perkembangan yang berlaku itu memberi isyarat bagi menghadapi PRU-16 kemungkinan gabungan parti lain akan menerajui negara.

“Pelbagai isu membuatkan rakyat marah terutamanya masalah air yang tidak selesai sejak berpuluh tahun lalu di Sungai Bakap,” ujarnya.

Katanya, rakyat di seluruh negara amat mengharapkan PN mengambil alih pucuk pentadbiran negara dari pemimpin yang gagal dan merompak hak rakyat. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

Ulasan