Rakyat mahu UMNO berubah
Oleh OMAR ZIN, ASLINDA NASIR, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN dan ROSHIHAN ANNUAR YUB
22 Ogos 2024, 8:00 am
MUKADIMAH
KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menimbulkan persepsi bahawa sebahagian besar golongan muda memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding mana-mana parti lain, persepsi yang masih terkesan sehingga ke hari ini.
Sejak itu, ia persepsi yang cuba dicabar dan diubah oleh pelbagai pihak dalam beberapa pilihan raya kecil termasuk UMNO yang akhirnya berjaya menarik semula pengundi muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, DR. MUHAMAD AKMAL SALEH, ia mungkin salah satu mesej daripada rakyat iaitu kemahuan kepada perubahan.
Ikuti temubual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN, ASLINDA NASIR, ROSHIHAN ANNUAR YUB, AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN dan jurufoto FAUZI BAHARUDIN kelmarin sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024.DR. Akmal Saleh ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia di pejabat Ketua Pemuda UMNO kelmarin. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
PERSEPSI ORANG MUDA
ORANG muda ini dia tidak stick (setia) pada parti politik. Orang muda ini dia idealist, nak tengok apakah idea dan kita punya semangat perjuangan yang kita nak bawa? Contoh PRU15, gelombang hijau ketika ramai orang muda mula menyokong PN ketika itu dan lepas itu disambung pula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), saluran muda kita kalah semua, semua kalah, hampir ada orang mengatakan bahawa tidak akan mungkin lagi UMNO boleh kembali sebab orang muda tidak menyokong dan apabila saya ambil jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO ketika itu, cabaran paling besar adalah bagaimana hendak meyakinkan orang muda bahawa UMNO ini pilihan mereka.
Bayangkan, daripada 20 juta pengundi, yang jadi ahli parti mungkin hanya enam atau tujuh juta sahaja, selebihnya tidak berparti. Tapi mereka mengundi dan nak melihat siapa yang mereka rasakan layak untuk menjadi pimpinan mereka. Dulu, kena masuk parti baru boleh berpolitik, tapi zaman sekarang orang tidak minat nak masuk parti politik tetapi dia cakna dengan politik dan dia boleh mengundi. Lagi pula bila 18 tahun sudah automatik sudah boleh jadi pengundi.
Jadi, saya nampak ada ruang untuk UMNO diterima oleh orang muda. Rata-rata kata dia kenal UMNO, dia tahu sejarah UMNO tetapi dia tidak yakin dan tidak percaya dengan UMNO. Jadi, perubahan mesti bermula daripada diri sendiri. Sebab itu, saya minta semua pimpinan Pemuda, terutama YB muda, kamu perlu buktikan kepada rakyat bahawa orang tidak salah pilih.
Kita kena buktikan kepada rakyat bahawa ada lagi pemimpin dalam UMNO yang memang benar-benar nak berkhidmat. Orang muda ini dia tidak suka kalau orang politik ini dia terlalu berpolitik.
Jadi sebenarnya apa? Bercakap benar dengan rakyat di Malaysia terutama orang muda, dia nak tengok siapa pemimpin yang begitu. Kita duduk bersama kerajaan perpaduan tetapi jika ada polisi kerajaan yang saya rasa tidak menguntungkan rakyat, maka sayalah orang yang ke depan sendiri cakap. Ada pula yang tuduh saya pro PN, tetapi jika ada perkara-perkara ataupun polisi PN yang tidak menguntungkan politik dan negara serta rakyat, saya akan bantai juga. Jadi, mereka ini nak melihat ada pemimpin yang ada pendirian sendiri. Pemimpin yang berani bawa suara mereka tanpa rasa takut.
Inilah yang sudah lama sebenarnya rakyat kita rindukan. Kita ini dimomokkan selama ini, kalau nak sokong parti A, apa yang parti A buat semua betul, tak ada yang salah. Kalau parti B, kita nak sokong parti B, betul tak ada yang salah.
Dari segi landskap politik negara dan kematangan rakyat untuk memahami politik negara sudah berubah dan lebih matang. Mereka tahu mana yang baik dan buruk, jadi cabaran untuk orang politik, mesti ada daya usaha dan juga ada perkara dan idea yang boleh orang rasa boleh diterima. Yang paling penting, dia mesti berjiwa besar. Dia boleh menerima dia salah dan dia mengaku kesalahan dan memperbaiki, itu jauh lebih penting. Bukan sekadar yes man.
Inilah turning point yang kita lihat dan akhirnya berjaya di Nenggiri, yang mana daripada 20 saluran orang muda, kita menang 18 saluran. Dulu 20 saluran orang muda, kita kalah 20. Jadi, ini gaya politik matang, lebih segar yang dinanti-nantikan oleh orang muda. Saya percaya generasi muda yang ada hari ini boleh bawa budaya politik yang matang ini dan juga kepada perubahan yang lebih baik, tidak kira parti politik apa. Tapi kalau ada pimpinan muda tetapi masih lagi berfikiran jumud, masih lagi berfikiran macam dulu, saya percaya parti mereka ini dia orang akan tolak habis-habisan.
TITIK PERMULAAN?
Kita tahu kekuatan parti tidak begitu kuat. Dalam keadaan ini, kita kena mengakui, sebulan sebelum itu kita kalah di Sungai Bakap walaupun UMNO tidak bertanding tapi kita dalam kerajaan perpaduan. Kita kempen bersungguh, calon pun bagus. Tetapi masa itu, mungkin ada yang tidak kena. Jadi kita kalah dengan majoriti besar.
Sebulan lepas itu, dengan cara kita buat, kita boleh turnover tempat yang kalah di Nenggiri, kubu kuat Pas kita boleh menang, bukan menang sikit tetapi kita menang dengan majoriti tinggi. Bukan nak mendabik dada, tetapi disebabkan gaya yang kita bawa di Nenggiri kena di hati pengundi. Dia nak lihat pemimpin yang benar-benar boleh berkhidmat untuk mereka dan kita kemukakan pemimpin yang bagus, sudah ada track rekod dan kita tidak kempen maki orang, fitnah orang, inilah sebenarnya kita nampak dan saya percaya, kalau kita tidak terus buat perubahan, sokongan ini akan hilang.
DAP FAKTOR MENANG?
Sebenarnya sangat-sangat besar, ia satu faktor utama. Bila kita bincang dengan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), kalau boleh kita minta DAP tidak turun berkempen sebab itu sentimen. Sebab itu, bila ada orang cakap, bila UMNO duduk dengan DAP. UMNO kena ikut telunjuk DAP. Tapi saya nak beritahu, kita minta DAP tidak turun, kau jangan turun, sekarang ini siapa (ikut telunjuk)? Sudah dibuktikan.
Jadi orang di Nenggiri merasakan tidak ada isu DAP sangat. Sebab bila isu DAP dimainkan di Nenggiri, seolah-olah orang tidak lut. Sebab apa? DAP tidak ada di situ. Di Kelantan, DAP tidak ada langsung. Jadi bagi mereka, mereka mengundi bukan calon DAP, bukan calon Pakatan Harapan tetapi mereka mengundi calon UMNO sendiri.
Hari ini UMNO ada kekuatan dia sendiri. UMNO mesti kembali relevan. UMNO mesti kembali seperti dulu. Kalau UMNO boleh bekerja dalam keluarga UMNO yang utuh, kita boleh bawa naratif yang baik, calon yang baik. Insya-Allah, UMNO boleh kembali menjadi kerajaan yang dominan dengan Barisan Nasional seperti dulu.
KERJASAMA DENGAN PAKATAN HARAPAN
Kalau UMNO dengan Pakatan Harapan ini dia berbeza. Kalau di peringkat bandar mungkin pengundi boleh terima. Dekat kampung ini mungkin ada masalah sedikit, sentimen masih ada. Sebab itu di Nenggiri, kita minta DAP tidak datang sebab sentimen. Itulah realiti yang berlaku.
Saya tidak nafikan, ada cabaran terutama apabila Pakatan Harapan ialah parti yang kita tidak pernah kerjasama pun sebelum ini terutama DAP, parti yang kita lawan selama ini. Tapi antara cabaran terbesar bagi saya adalah bagaimana kita nak memahamkan pemimpin daripada Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan tentang UMNO. Ada kadang-kadang mereka terlepas cakap, dia ingat dia masih lagi menjadi kerajaan Pakatan Harapan tetapi mereka bukan kerajaan Pakatan Harapan. Mereka ini kerajaan perpaduan.
Kalau tidak ada UMNO, mereka tidak jadi kerajaan. Maka, kena hormatlah, ada perkara-perkara yang perlu sensitif. Saya rasa dari segi isu ekonomi dan polisi, tidak sepatutnya ada masalah.
Ada yang tanya, saya nak UMNO keluar daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan ke? Bagi saya politik ini perkara yang sangat subjektif dan politik ini dinamik.
Kalau kita tidak boleh bekerjasama, rakyat tidak suka. Nak buat apa lagi? Jadi macam dalam satu perkahwinan. Akhir sekali, Islam tetap membenarkan cerai walaupun itu pilihan terakhir. Sebab bila kita tidak sekufu, asyik bergaduh sahaja, tidak mahu dengar, maksudnya kita tidak boleh bersama. Mungkin berpisah itu yang terbaik. Jadi dalam politik pun saya anggap benda yang sama.
SERING LAWAN PRESIDEN?
Ramai yang menyatakan bahawa saya ada masalah dengan presiden. Saya tidak ada masalah pun dengan presiden. Malah untuk makluman, setiap kali kenyataan saya yang agak melawan arus ini, Datuk Seri Presiden tidak pernah marah saya. Malah bila kita jumpa, dia buat macam biasa. Dia kata saya faham pemuda. Go ahead. Bila Datuk Seri Presiden sendiri sudah beri seolah-olah blessing, sebab dia kata dia pun pernah jadi Pemuda dulu. Jadi bagi saya, sebab inilah pemuda-pemuda UMNO ini daripada dulu sampai ke hari ini, dia tidak boleh jadi pemuda lembik. Pemuda UMNO ini memang daripada dulu termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim masa jadi Ketua Pemuda UMNO, dia mesti agresif sebab Pemuda UMNO inilah yang akan mempertahankan maruah orang Melayu, jadi sudah tentulah tiba masanya hari ini, kalau saya terpaksa menongkah arus untuk mempertahankan maruah Melayu Islam, saya akan buat.
USUL PERHIMPUNAN AGUNG 2024
Kita akan bawa momentum Nenggiri ke DUN Mahkota. Kita nak beritahu, nothing is impossible. Tempat yang kita kalah, kita boleh menang. Kalau kita menang, insya-Allah kita boleh kekalkan kemenangan tetapi mesti ada satu syarat, mesti berani bawa suara rakyat. Yang paling penting sekali dalam perhimpunan agung kali ini, kita nak beritahu bahawa bagaimana calon Pemuda ini mesti datangnya calon Yang Berkhidmat, bukan Yang Berhormat semata-mata.
Ada beberapa lagi perkara yang kita akan bawa. Contohnya, kita nak bercakap mengenai masalah-masalah generasi kedua Felda. Ada yang akan kita sentuh mengenai TVET. Datuk Seri Presiden adalah Pengerusi TVET Negara dan alhamdulillah, Datuk Seri Presiden melantik dua orang wakil Pemuda dalam Majlis TVET Negara, sudah tentu TVET ini akan diperluaskan lagi, diberikan nafas jauh lebih baik untuk kita sebarkan kepada pemuda-pemuda seluruh negara untuk mereka menggunakan peluang TVET ini menjadi pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua atau pilihan ketiga. Ini antara isu yang akan kita bangkitkan dan insya-Allah akan dibahaskan dalam persidangan.
SUDAH BERSEDIA PRU16?
Kalau kita sama sahaja, tidak berani nak buat perubahan, tidak berani nak cakap benda yang betul. Masih lagi sama dengan stigma politik yang dulu, 200 tahun pun tidak berubah.
Kita nak tengok satu gaya politik yang matang. Rakyat sudah jemu dengan politik, asyik bercakap pasal politik sahaja. Rakyat sudah jemu dengan politik asyik mencaci kiri dan kanan. Kita nak melihat politik ini adalah alat untuk membantu rakyat. Bukan alat untuk mempertahankan diri.
Kita tengok apakah punca, mungkin ada beberapa perkara yang rakyat nak kita berubah. Kita kena bagi apa yang rakyat nak. Masa lawatan ke Jepun, saya jumpa dengan timbalan menteri luar Jepun iaitu salah satu pimpinan utama dalam parti LDP. Parti dia pernah kalah dua kali sama macam UMNO dan selepas itu dia menang bergaya, dalam tempoh lima tahun dia boleh menang dah. Jadi apa rahsia LDP? Dia jawab, kita kena bagi apa yang rakyat mahu. Rakyat nak perubahan, bagi perubahan.
Kedua, kena kekal ada dalam hati berjiwa besar untuk melakukan perubahan bila-bila masa sebab hari ini mungkin rakyat nak A, belum tentu lagi lima tahun rakyat nak A. Kalau bagi apa yang rakyat nak, insya-Allah. Yang paling penting sekali, asas negara, kita mesti menjaga agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu. Jaga majoriti. Bila jaga majoriti, majoriti tenang dan insya-Allah, dia akan menjaga keseluruhan rakyat Malaysia seperti zaman Barisan Nasional terdahulu. Saya percaya semangat BN terdahulu, boleh kita guna pakai untuk menjaga negara ini. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan