RM4 bilion hutang pesalah trafik
MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Oleh AHMAD FADHLULLAH dan AIN SAFREE BIDIN
13 Ogos 2024, 8:00 am
KUALA LUMPUR: Hampir 41 juta saman trafik tertunggak melibatkan anggaran nilai RM4 bilion sejak 1990 sehingga Jun lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah lalu lintas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 51,128 jumlah saman bagi pelbagai kesalahan lalu lintas dengan nilai kira-kira RM5.1 juta melibatkan warga asing dari negara-negara jiran iaitu Singapura, Brunei dan Thailand.
Warganegara Singapura mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 35,011 saman membabitkan anggaran nilai RM3.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis pemberitahuan saman kepada pesalah trafik untuk pemakluman bagi menjelaskan tunggakan masing-masing.
Selain itu, katanya, pengguna jalan raya juga boleh disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya tidak menjelaskan saman tertunggak.
Menurutnya, ia melibatkan enam kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan alat komunikasi atau telefon semasa memandu, memotong barisan dan memandu serta menunggang laju.
“Sejak 1990 sehingga Jun tahun ini, sebanyak 40,962,240 saman melibatkan anggaran nilai RM4 bilion masih belum dijelaskan.
“Jadi, sila bayar segera sebelum diambil tindakan oleh mahkamah dan disenaraihitamkan oleh pihak JPJ.
“Sekarang nak bayar saman pun tidak perlu pergi ke balai polis, boleh bayar secara tanpa tunai melalui MyBayar,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bagi pesalah trafik warga asing pula, jelasnya, JSPT akan menggiatkan lagi Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) bagi mengesan dan mengenakan tindakan terhadap kumpulan itu semasa mereka memasuki atau meninggalkan negara ini.
Ditanya mengenai diskaun untuk saman tertunggak bagi menggalakkan orang ramai menjelaskannya, Mohd. Yusri memberitahu, tawaran itu buat secara terpilih dan pada masa-masa tertentu.
“Kita tidak buka (tawaran diskaun) sesuka hati dan ia atas dasar permohonan agensi,” ujarnya.
“Namun, masyarakat tidak perasan dalam tempoh sebulan mereka automatik boleh dapat diskaun 50 peratus dan (diskaun) ini ada tertera pada jadual di belakang kertas saman.
“Setiap tahun memang kita giat jalankan promosi untuk menggalakkan mereka bayar dan memang kita dapat banyak juga kutipan balik. Kutipan terakhir dianggarkan berjumlah ratusan juta ringgit,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan