Royalti minyak tertakluk Akta Petroleum, bukan Akta Laut
August 1, 2024
Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU: Pembayaran royalti minyak tertakluk kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan bukannya Akta Laut Wilayah 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, setiap akta perlu dilihat berdasarkan semangat dan tujuan asal ia digubal.
“Ambe tengok mereka yang duk pertahan tak nak bagi royalti kepada Terengganu guna alasan Akta Laut Wilayah 2012.
“Akta Laut Wilayah ini digubal atas semangat nak jaga keselamatan negara sebab bukan bidang kuasa kerajaan negeri untuk jaga sempadan laut yang sentiasa diceroboh oleh nelayan asing. Kerajaan negeri mana ada polis, tentera dan maritim.
“Sebab itu ketika membentangkan rang undang undang ini dalam Parlimen pada 9 Mei 2012, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata: ‘Rang Undang-undang Laut Wilayah 2012 perlu dikuatkuasakan lagi bagi mengekalkan hak kedaulatan Malaysia ke atas laut wilayahnya dan bagi memastikan keutuhan sempadan laut Wilayah Malaysia terus terpelihara’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Akta Kemajuan Petroleum pula digubal untuk perkukuhkan ekonomi negara yang baru bertatih dengan menggunakan sumber milik negeri iaitu petroleum.
“Maka, Terengganu setuju serah hak milik petroleum pada Petronas untuk diuruskan, manakala timbal balasnya royalti mesti dibayar kepada negeri ini.
“Ini pencerahan kepada perbezaan Akta Laut Wilayah dan Akta Kemajuan Petroleum. Tambahan, bayaran royalti pula bukan 50 peratus bukan 40 peratus bukan juga 30 peratus tapi lima peratus sahaja. Itu pun buat-buat payah faham,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan