Terpesongnya pejuang progresif
Oleh ARVEENT KATHIRTCHELVAN
1 Ogos 2024, 8:14 pm
BARU-BARU ini satu forum diadakan sempena Kongres Parti Sosialis Malaysia ke-26 bertajuk “Kuasa Ketiga: Peluang dan Cabaran”. Panelis forum ini terdiri daripada saudara Arul (Timbalan Pengerusi PSM), Rasid Abu Bakar ( Parti MUDA Johor) dan Hassan Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Parti Keadilan Rakyat).
Sebenarnya, saya amat teruja dengan kesudian Pak Hassan menyertai forum ini walaupun hubungan PKR dengan PSM telah merosot sejak 2018. Akan tetapi,
Pak Hassan dikenali sebagai seorang Ahli Parlimen yang amat berprinsip serta berjiwa kiri, suatu fakta yang meningkatkan kehormatan saya sendiri terhadapnya.
Forum bermula dengan ucapan Pak Hassan sebagai panelis utama. Daripada ayat pertamanya pun, boleh dirasai bahawa semua peserta dalam dewan keliru dan kecewa.
Pak Hassan yang dihormati dan dilihat sebagai Ahli Parlimen radikal kini sedang berucap dengan merujuk skrip ditulis tentang kehebatan kerajaan MADANI walaupun ada kekurangannya. Secara terbuka, Pak Hassan menyatakan bahawa kuasa ketiga tiada peluang langsung dalam pilihan raya yang akan datang, suatu fakta yang dihargai semua hadirin, dan menasihati kita semua menyokong dan mengadakan hubungan politik bersama khususnya PKR.
Pak Hassan mengguna retorik basi bahawa kerajaan MADANI lebih baik daripada Perikatan Nasional, kenaikan nilai ringgit serta kadar inflasi yang kurang antara kejayaannya dan calon-calon progresif seperti ahli PSM sendiri perlu masuk parlimen yang hanya dapat berlaku jika kami memilih menjalin hubungan dengan suatu daripada dua pakatan besar yang ada.
Menurutnya, PKR yang beliau mengesyorkan adalah merujuk kepada Anwar Ibrahim sendiri, kehebatannya serta keikhlasannya adalah lebih penting daripada menteri-menteri PKR lain yang teruk. Walaupun dititikberatkan
kegagalan MADANI sendiri seperti dengan penggunaan Akta Hasutan, Pak Hassan masih bersungguh-sungguh setia kepada Anwar serta menawarkan beliau sendiri sebagai pemujuk untuk penyertaan PSM dan parti kuasa ketiga lain dalam persefahaman politik bersama PKR.
Seperti yang diingatkan kepada Pak Hassan sendiri dalam forum ini, PSM tidak pernah menolak sebarang persefahaman politik bersama Pakatan Harapan. Malah, Pakatan Harapan sendiri yang menolak PSM dari penubuhannya walaupun PSM telah ada hubungan erat bersama Pakatan Rakyat sejak 1999.
Kita cuba bekerjasama pada tahun 2018 tetapi tidak diendahkan. Kita cuba lagi pada tahun 2023 untuk melawan Perikatan Nasional, tetapi PH lebih senang duduk bersama UMNO daripada PSM. Dalam pilihan raya sebelum tahun-tahun ini pun, anggota PH seringkali menolak penyertaan PSM.
Dalam pada itu, justifikasi kami menolak PH pun perlu difahami. Suatu poin yang dibawa Pak Hassan menarik perhatian saya atas sebab kepelikannya. Apabila ditanya tentang aspek kemerosotan demokrasi di bawah kerajaan MADANI, Pak Hassan menyatakan bahawa PKR merupakan suatu parti yang amat demokratik atas sebab mereka tidak meminda perlembagaan parti mereka untuk mengambil kesempatan akan Akta Anti Lompat Parti supaya
semua ahli parlimen PKR yang tidak bertindak sehaluan dengan keputusan parti dipecat dan kerusi parlimen mereka dikosongkan secara automatik.
Pak Hassan kata kelantangannya mengkritik partinya sendiri tidak pernah menyebabkannya hilang mana-mana jawatan atau keahliannya.
Saya sendiri menanyakannya akan fakta ini, jikalau situasinya bukannya menunjukkan bahawa PKR adalah suatu benteng demokrasi tetapi ianya mempergunakan imej beliau sebagai seorang ahli parlimen progresif untuk mendapat nama baik bagi parti sekali gus menutup kelemahannya seperti kenyataan Najwan Halimi rasis bahawa PSM adalah parti India estet yang tidak menggugat kedudukannya dalam PKR.
Respons Pak Hassan adalah sekali lagi memuji Anwar Ibrahim sebagai saudara lamanya dan suatu cerita di mana Anwar menghalang cubaan Fahmi Fadzil yang ingin mengambil tindakan disiplin terhadapnya.
Pak Hassan mengguna pengalaman beliau sendiri sebagai suatu ahli parlimen progresif dan cuba memulihkan reputasi PKR melalui pujian terhadap Anwar.
Malang untuknya bahawa kami adalah parti kiri yang cakna terhadap cubaan sebegini di parti lain. Selalunya, suatu parti kapitalis yang sedar bahawa orang ramai semakin menginginkan perubahan sistem yang tidak menguntungkan parti tersebut, akan cuba mengeksploitasi gerakan dan fahaman progresif untuk mempopularkan dirinya.
Atas sebab inilah, UMNO menggunakan Khairy Jamaluddin dahulu dan Parti Demokratik di Amerika Syarikat menggunakan Bernie Sanders serta Alexandra Occasia-Cortez (AOC). Bernie serta AOC dihidangkan sebagai nafas baharu politik AS dengan retorik kiri pada mulanya, tetapi tidak dapat menukarkan pendirian Parti Demokratik yang kapitalis dan kini, kedua-duanya sedang menyokong calon Presiden AS yang membantu Israel membunuh rakyat Palestin serta meneruskan kezaliman sistem mereka terhadap rakyat biasa.
Pak Hassan pun sebegini juga. PKR serta rakan-rakan politiknya hanya menggunakan figura seperti Pak Hassan sebagai pameran kepada orang ramai supaya mereka sendiri dilihat progresif. Senang cerita, Pak Hassan sedang dipergunakan untuk melindungi sistem dan membantutkan kemajuan sistem politik ke arah progresif.
PH adalah suatu pakatan yang pandai menggunakan keadaan semasa untuk kelangsungan politik mereka. Pada suatu masa, mereka menggunakan kezaliman UMNO, yang kini menjadi rakan politik mereka. Sekarang, mereka menggunakan Perikatan Nasional untuk menakutkan orang ramai supaya menyokong mereka.
Pak Hassan pula baru-baru ini mengkritik Ambiga Sreenevasan sebagai keterlaluan atas kenyataannya yang mengatakan MADANI adalah kerajaan diktator. Katanya, kerajaan ini tidak menggantung parlimen seperti kerajaan sebelumnya.
Katanya juga kerajaan ini membenarkan laporan atau dokumen penting negara dibahaskan di Dewan Rakyat secara sewajarnya biarpun tidak menguntungkan kerajaan memerintah. Akan tetapi, kesemua ini adalah contoh kosmetik yang tidak semestinya bermakna kerajaan ini progresif. Ia hanyalah suatu langkah impak rendah yang menjana nama baik tanpa adanya apa-apa impak nyata. Bukannya seperti isu pengosongan kerusi ahli parlimen pembangkang yang tiba-tiba menyokong Anwar Ibrahim. Mereka dibiarkan sahaja sebab impak pengosongan kerusi mereka itu adalah impak nyata.
Individu seperti Pak Hassan yang dilihat progresif adalah antara dua puak. Satu, puak oportunis menyamar sebagai progresif. Satu lagi, puak yang telah menerima apa-apa impak negatif jikalau dapa melakukan sedikit kebaikan.
Puak pertama itu adalah unsur jahat yang nyata. Puak kedua adalah naif serta dipergunakan unsur jahat. Puak kedua secara bertungkus-lumus menjaga dalang utama sebab telahpun percayai kepada suatu naratif palsu.
Puak kedua cenderung melihat langkah-langkah kosmetik sebagai kejayaan besar dan memercayai dirinya sebagai suatu ahli penting mereformasi gerakannya yang terpesong. Akan tetapi, mereka gagal faham bahawa mereka hanya menjadi bidak dalam permainan politik regresif.
Sebarang gerakan yang mampu mengubahkan sistem ini tidak diendahkan atas sebab puak ini memesongkan rakyat jelata menyokong gerakannya yang telah pengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya. Kita sebagai individu yang bekerja keras menggulingkan sistem kapitalisme perlu melihat Pak Hassan,
Bernie Sanders dan AOC sebagai contoh kan betapa halusnya anasir subversif gerakan haluan sampai memesongkan kita sendiri menyokongnya. Fakta yang nyata adalah parti-parti arus perdana sekarang hanya mengambil berat tentang kelangsungan politik masing-masing.
Tiadanya yang secara serius ingin membina suatu masa hadapan yang lebih aman dan adil bagi rakyat biasa. Laungan Reformasi kini hanya kedengaran gemanya sahaja, daripada ruangan progresif kosong.
Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis.
Ulasan
Catat Ulasan