Tumpu sektor perladangan dan komoditi negara
SEKTOR Agrikomoditi berjaya membawa ramai rakyat Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan dengan menawarkan banyak peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan sosioekonomi negara.
Oleh Meja Rencana
28 Ogos 2024, 9:00 am
SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN mempunyai tanggungjawab besar untuk melonjakkan kedudukan ekonomi negara merangkumi aspek penstrukturan semula ekonomi, pengukuhan ekosistem pelaburan dan perindustrian, peningkatan tahap pendapatan serta meluaskan jaringan perlindungan sosial. Dengan pendekatan yang holistik, kerajaan ini diyakini dapat mencapai matlamatnya dengan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.
Demi mencapai sasaran untuk memantapkan kedudukan negara di persada antarabangsa, kerajaan komited melaksanakan transformasi ekonomi dan tadbir urus; memperkasakan modal insan dan pendidikan; menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi; membangunkan infrastruktur serta menguruskan kewangan awam dengan berhemah. Usaha ini dapat diperhebatkan lagi dengan wujudnya sinergi rentas kementerian, jabatan, agensi, keterlibatan swasta serta pelbagai pemegang taruh dalam membangunkan ekonomi negara secara tuntas dan bersama.
Dalam perkara ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merupakan salah satu organisasi yang banyak menyumbang untuk pertumbuhan ekonomi. Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) digubal secara holistik untuk menetapkan hala tuju Sektor Agrikomoditi dalam tempoh 10 tahun akan datang. Dasar ini meliputi lapan komoditi utama iaitu sawit, koko, kayu-kayan, lada, getah, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf), biobahan api dan biojisim dengan memberi fokus dalam agrikomoditi.
Segala strategi dan pemboleh daya yang ditetapkan akan dilaksanakan untuk mencapai visi KPK iaitu Memajukan Agrikomoditi untuk Kelestarian dan Kemakmuran Bersama dan misi kementerian iaitu Meningkatkan Daya Saing Global Malaysia Menerusi Produk-Produk Agrikomoditi yang Bernilai Tinggi dan Lestari selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.
Selama beberapa dekad, sektor ini membawa ramai rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan, menawarkan banyak peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan sosiokonomi negara.
Bagi mendalami lebih lanjut komitmen KPK dalam mendokong gagasan Malaysia Madani untuk bersama-sama mencerdaskan ekonomi negara, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, Kuala Lumpur bakal menampilkan buat julung kalinya Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk berkongsi dan menyebarluas agenda, perancangan serta pelaksanaan terkini dasar-dasar awam berkaitan perladangan dan komoditi negara melalui penganjuran program yang akan diadakan pada 2 September ini akan membincangkan inisiatif yang telah dan akan diperkenalkan bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing agrikomoditi dalam usaha memperkukuhkan serta memperluaskan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Bual bicara ini juga akan menyentuh berkaitan konsep kepimpinan dan kolaborasi inklusif dalam melonjakkan keberhasilan industri komoditi utama negara.-UTUSAN
WAN NORAINI WAN MANSOR
Ketua Program Penilaian Kepimpinan Primer
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Ulasan
Catat Ulasan